Tuesday, August 16, 2022

PBM sedia runding sebelum BN buat keputusan permohonan jadi rakan komponen

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 16, 2022 
Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad berkata, permohonan parti itu menyertai BN demi kestabilan dan keharmonian politik Malaysia.

PETALING JAYA: Parti Bangsa Malaysia (PBM) berkata, pucuk pimpinannya sedia berunding dengan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN), jika timbul sebarang isu yang perlu dijelaskan sebelum gabungan itu membuat keputusan berhubung permohonan menjadi rakan komponennya.

Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad berkata, permohonan PBM untuk menyertai BN demi kestabilan dan keharmonian politik Malaysia.

Katanya, perubahan positif hanya akan dicapai jika negara ditadbir gabungan yang kukuh dan mampu memperjuangkan aspirasi Malaysia sebagai negara berbilang kaum.

“Sebagai gabungan parti paling lama di Malaysia, sudah tentu BN perlu membuat keputusan dengan memberikan pertimbangan terhadap pelbagai perkara sebelum mencapai konsensus untuk menerima kemasukan baharu.

“PBM menghargai keputusan BN untuk membincangkan perkara ini dengan lebih teliti, sebelum keputusan rasmi dikeluarkan kelak.

“PBM ingin menyampaikan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Dewan Tertinggi BN atas kesungguhan mereka dalam membincangkan perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Malam tadi, Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata, gabungan itu belum membuat keputusan berhubung kemasukan PBM atau mana-mana parti baharu sebagai rakan komponen baharu kerana semua permohonan sedang diperhalusi urusetia BN.

Presiden MCA, Wee Ka Siong pula mendedahkan terdapat enam parti yang memohon untuk menyertai BN, manakala Presiden MIC, S A Vigneswaran berkata, lebih daripada satu permohonan parti diluluskan.

PBM yang diketuai Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pada Selasa lalu, partinya akan menerima apa saja keputusan BN berhubung permohonannya yang dihantar Julai lalu.

Sesetengah pemimpin BN seperti Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil dilaporkan berkata, kerjasama dengan parti seperti PBM dan DAP tidak mungkin dijalin kerana mereka terdiri daripada “penipu dan pengkhianat”.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-