Nora Mahpar
-August 13, 2022 10:00 AM
Penganalisis berpendapat, walaupun kerjasama DAP dan Umno mampu dibentuk, namun sukar ia bertahan lama.
PETALING JAYA: Penganalisis politik berpendapat kemungkinan kerjasama antara Umno dan DAP selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sukar direalisasikan kerana hala tuju dan ideologi parti itu jauh tersasar.
Mujibu Muis dari Universiti Teknologi Mara berkata, usaha meyakinkan akar umbi kedua-dua parti pasti menjadi masalah besar kerana pendekatan Umno yang konservatif, manakala DAP selesa dengan corak politik agresif serta liberal.
“Ideologi DAP yang lebih liberal tidak sesuai dengan Umno dan sebaliknya. Jika bekerjasama, selesakah mereka? Ini masalah paling berat buat Umno.
“Sukar untuk melihat bagaimana Umno mampu meyakinkan akar umbinya menerima kerjasama dengan DAP, sedangkan ideologi politik Umno yang bertentangan sering menjadikan DAP sebagai musuh abadi,” katanya kepada FMT.
Mujibu Abd Muis.
Beliau juga menjangkakan DAP turut berdepan risiko besar kehilangan undi atas pagar kerana kerjasama dengan parti “kleptokrat” – sesuatu yang sering dilabel terhadap Umno sepanjang pertembungan mereka.“Alasan kestabilan semata-mata tidak cukup kuat untuk meyakinkan mereka untuk menerima kerjasama politik tersebut.
“DAP sudah tentu berisiko hilang undi atas pagar, terutama kelompok pengundi yang progresif dan rasional. Kalau ini berlaku, ada kebarangkalian undi itu lari kepada parti lain,” katanya.
Mujibu berpandangan kerjasama itu jika mampu dijayakan sekali pun, gabungan itu mungkin tidak bertahan lama.
“Tidak mustahil boleh bekerjasama, tapi mungkin akan rasa janggal dan tak kekal lama.
“DAP mungkin lebih sesuai dengan PKR berbanding Umno kerana kekuatan mereka lebih seimbang berbanding Umno yang sentiasa maju menjadi ‘abang besar’ dalam Barisan Nasional (BN).”
Azmi Hassan.
Turut senada, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara yang berpendapat, walaupun secara teori kerjasama itu mampu mewujudkan kerajaan stabil bersandarkan pengaruh besar dua parti itu, sentimen syak wasangka “di bawah” akan menyukarkan usaha itu.“Sukar direalisasikan kerana sejarah lampau itu tidak akan memungkinkannya…bakal timbul masalah di akar umbi kerana sejarah antara Umno dan DAP terlampau lama.
“Sejarah hitam yang pahit akan sukarkan akar umbi Umno. Jika (Umno) sukar menerima Bersatu dan (Presiden PKR) Anwar Ibrahim kerana sejarah lampaunya, maka lebih sukar lagi terima DAP kerana sejarahnya lebih hitam, lebih berat berbanding sejarah hitam dengan Bersatu dan Anwar,” katanya.
Pada 7 Ogos lalu, FMT melaporkan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook “membayangkan” sebarang kerjasama dengan Umno hanya akan berlaku selepas PRU15, mengambil kira perubahan drastik politik negara sejak PRU 2018, dengan ketiadaan parti dominan tunggal.
Katanya, kemungkinan kerjasama antara parti berbeza menjadi lebih tinggi.
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan pula berkata, parti itu mengambil sikap neutral untuk tidak menolak atau mengiyakan kerjasama boleh dibentuk bersama DAP selepas PRU15.
Beliau berkata, kenyataan Loke itu dilihat sebagai “pengiktirafan” DAP terhadap kekuatan Umno.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.