FMT Reporters
-August 26, 2022 11:48 PM
Najib Razak berkata beliau berjuang untuk rakyat walaupun selepas kehilangan kuasa.
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak tidak pernah menyesal menjadi seorang yang budiman dalam politik dan hanya mahu memberikan yang terbaik kepada negara dan rakyat.
Dalam nota yang ditulis sebelum dipenjarakan pada Selasa lalu dan dikongsi di laman Facebooknya malam ini, Najib berkata, beliau mendapati paling teruk dalam politik apabila keikhlasan dibalas dengan khianat.
“Saya rasa dalam politik, anda tidak sepatutnya bersikap “gentleman” (budiman). Tetapi itulah personaliti saya, bagaimana saya boleh menjadi sesuatu yang bukan diri saya? Apa yang saya mahu lakukan adalah memberikan yang terbaik dan melakukan apa yang saya mampu,” katanya.
Dalam catatan itu juga, Najib bercakap mengenai zamannya sebagai perdana menteri keenam dan menyenaraikan pencapaiannya termasuk menggandakan saiz ekonomi daripada RM700 bilion kepada RM1.4 trilion, dan membina aset Khazanah Nasional, Tabung Haji, KWSP dan Petronas.
Najib berkata, beliau juga memastikan bantuan tunai diberikan secara adil kepada lebih ramai orang setiap tahun dan pelbagai inisiatif dilancarkan untuk membantu rakyat termasuk Klinik 1Malaysia, Pusat Transformasi Bandar dan projek perumahan awam.
Najib juga menulis mengenai pembinaan lebuh raya tanpa tol atau perkhidmatan keretapi moden yang menghubungkan seluruh Lembah Klang, Sabah dan Sarawak.
Katanya, beliau telah berjuang untuk rakyat, walaupun ketika tidak lagi berkuasa, mendesak pengeluaran KWSP bagi mereka yang bergelut selepas pandemik Covid-19.
“Tidak mengapa jika tiada yang menghargai. Begitulah kesudahan dalam kehidupan. Saya beri yang terbaik, saya cuba yang terbaik.
“Kini berhadapan dengan dugaan yang berat menguji saya dan keluarga. Saya hadapi. Mungkin inilah harga pengorbanannya,” katanya.
Selasa lalu, Najib dihantar ke penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadap tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan pecah amanah jenayah dalam kes SRC International.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, atau penjara lima tahun jika ingkar.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.