Tuesday, August 23, 2022

Tindakan Najib mohon tukar hakim di saat akhir, taktik berniat jahat - Sithambaram

bharian.com.my
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali 
ajohari@bh.com.my
- Ogos 23, 2022 @ 2:25pm
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram, hadir pada rayuan terakhir Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

PUTRAJAYA: Tindakan Datuk Seri Najib Razak, yang memohon supaya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya, adalah satu lagi taktik berniat jahat untuk mengganggu prosiding.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, turut mempersoalkan mengapa pihak pembelaan tidak memfailkan permohonan awal lagi berhubung perkara itu sedangkan sudah mengetahui mengenai hantaran di laman Faceebook oleh Zamani Ibrahim, yang didakwa Najib sebagai suami Tengku Maimun, pada 17 Ogos lalu.

Malah, katanya, hantaran itu diterbitkan pada 11 Mei 2018, justeru, pihak pembelaan sudah tentu sudah mengetahui mengenainya lebih awal dan mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau berkata, pembelaan boleh mengemukakan bantahan ketika prosiding rayuan akhir bermula, namun memilih untuk tidak berbuat demikian, sebaliknya menunggu perkembangan prosiding sebelum bertindak di saat-saat akhir.

"Peguam jenayah memang cemerlang menggunakan taktik sedemikian untuk melengahkan prosiding mahkamah.

"Pembelaan melakukan helah demi helah yang diumpamakan sebagai taktik ahli silap mata melalui permohonan untuk menggugurkan Tengku Maimun apabila permohonan sebelum ini tidak memihak kepadanya.

"Adalah tidak masuk akal bahawa seseorang yang boleh mengetahui mengenai hantaran di Facebook itu empat tahun lalu, hanya memasukkan perkara itu dalam afidavitnya beberapa hari lalu. Ini jelas menyalahgunakan proses mahkamah.

"Dengan itu, saya memohon permohonan ini, secara langsung tidak layak dipertimbangkan dan perlu ditolak mentah-mentah," katanya.

Sithambaram berkata, jika pembelaan bertindak lebih awal dan memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya tidak perlu berhujah mengenai rayuan akhir terlebih dahulu yang tidak mengikut kebiasaan.

Peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik, bagaimanapun berkata, bukannya pembelaan yang enggan berhujah tetapi tidak diberikan tempoh yang sewajarnya untuk bersedia dengan hujahan itu

"Saya katakan banyak kali, tempoh masa yang wajar patut diberikan kepada kami. Saya tidak pernah kendalikan kes itu sebelum ini. Saya rasa sedih kerana situasi ini berlaku," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-