Oleh Amirul Aiman Hamsuddin
bhnews@bh.com.my
- September 13, 2022
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. -Foto fail NSTP
KUALA SELANGOR: Langkah Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bersedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dianggap satu percaturan taktikal dan strategi yang baik.
Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berpendapat parti komponen dalam PH juga harus melebarkan kerjasama dengan parti yang seiringan dan mempunyai misi, visi serta tujuan perjuangan yang sama dengan pakatan politik itu.
"Kita sudah nyatakan bahawa parti komponen mesti memperkukuhkan segera PH dengan menumpukan kepada kerja mendekati dan menyantuni rakyat dan pengundi.
"Isu seperti ini perlu dibincangkan secara baik di belakang tadbir menerusi proses perbincangan," katanya kepada BH.
Sebelum ini, Syed Saddiq memaklumkan parti itu bersetuju menyertai PH sebagai antara parti komponen dalam gabungan itu bagi menghadapi PRU-15.
Bagaimanapun, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik berkata, PH memberi komitmen untuk segera mempertimbangkan permohonan MUDA.
Sehingga kini, katanya, pemimpin utama PH belum mengadakan pertemuan termasuk bagi membincangkan mengenai permohonan itu.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, parti politik yang mahu menyertai gabungan itu perlu seiring dari sudut tanggungjawab, objektif dan tujuan perjuangan.
"Kemungkinan pada PRU-15 nanti, tidak akan ada satu parti yang boleh berdiri sendiri.
"PH dan MUDA pastinya mahu melihat pembinaan semula negara khususnya dari sudut ekonomi dan tadbir urus membanteras salah guna kuasa serta rasuah," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.