11/09/2022
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 3 Ogos 2021.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata beliau belum berbincang dengan ‘Top Five’ UMNO berhubung tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
‘Top Five’ UMNO merujuk kepada Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan perdana menteri sendiri, lapor Bernama.
Katanya, selepas berbincang dengan ‘Top Five’, baharulah beliau akan berbincang dengan parti MCA dan MIC serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
“… kemudian ia perlu dibawa ke Kabinet sebab di bawah Perlembagaan, kena ada kelulusan Kabinet sebelum saya menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk (mendapat perkenan) membubarkan Parlimen.
“Itu prosedur yang perlu dipatuhi,” katanya semasa merucap pada Majlis Penyampaikan Peruntukan Masyarakat Cina dan India Parlimen Bera 2022 di Dewan Kompleks UMNO Bera di Padang Luas di sini hari ini.
Bagaimanapun, Zahid sebelum ini semasa Konvensyen Wanita BN pada Ogos lalu berkata ‘Top Five’ UMNO sudah berbincang berhubung tarikh PRU-15, malah berkata Ismail Sabri akan mematuhi permintaannya untuk membubarkan Parlimen bagi memberi PRU-15 diadakan segera.
Zahid berkata hasil perbincangan antara ‘top 5’ dalam UMNO, dijangkakan Perdana Menteri akan mendengar permintaan untuk tidak menunggu lama bagi mengadakan PRU-15 memandangkan beliau orang parti dan pasti akan mendengar cakap parti.
“Kita sudah bincang dengan ‘Top 5’ termasuk Perdana Menteri (PM) yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ini bacaan saya, pilihan raya pada tahun ini juga… bacaan PM, saya percaya beliau akan mendengar nasihat dan pandangan kita,
“Beliau (PM) orang parti dan sebagai pemimpin sudah pasti tahu masa sesuai kerana isu akan terus timbul dan direka yang mana pembangkang menjadikan budaya kebencian ditanamkan kepada parti kita,” katanya semasa konvensyen tersebut.
Spekulasi mengatakan berkemungkinan PRU-15 akan diadakan pada tahun ini juga selepas pembentangan Bajet 2023 yang diawalkan pada awal Oktober ini.
Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga difahamkan sudah menghantar memo dan memanggil sukarelawan untuk bertugas semasa PRU-15 depan, beberapa sukarelawan SPR yang bertugas semasa PRU-14 sebelum ini memberitahu sudah menerima makluman meminta mereka untuk bersedia dipanggil bertugas.
Senario satu lagi adalah sekiranya PRU-15 diadakan tahun depan, berkemungkinan masa yang sesuai adalah selepas sambutan Tahun Baharu Cina pada Januari.
Mengikut kalendar kebangsaan, sambutan Tahun Baharu Cina adalah pada 22 Januari 2023 dan berkemungkinan diadakan selepas tarikh tersebut, sama ada pada Februari atau Mac depan.
Namun, berdasarkan situasi semasa, kecenderungan PRU-15 diadakan lebih awal pada tahun ini semakin kuat.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.