FMT Reporters
-September 11, 2022 12:15 PM
Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin berkata, gabungan itu mahu mengembalikan Kota Belud sebagai kubu kuat BN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Sabah hanya memilih calon boleh menang, boleh diterima dan disukai rakyat untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), termasuk di Parlimen Kota Belud, kata pengerusinya, Bung Moktar Radin.
Bung, yang juga timbalan ketua menteri Sabah, berkata langkah ini bagi memastikan BN dapat merampas semula kerusi itu yang jatuh ke tangan Warisan pada 2018.
Katanya, jentera BN akan memastikan kejayaan calonnya di Kota Belud tanpa mengira siapa yang dicalonkan nanti.
“Kota Belud ini kubu kuat BN dan kita akan kembalikan kedudukan itu, BN akan tanding di Kota Belud. Calon kita akan pilih yang boleh menang dan boleh diterima serta disukai rakyat Kota Belud.
“Apa yang penting, jentera BN harus siap sedia, cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri perlu turun kerja untuk pastikan kemenangan calon BN,” katanya pada pelancaran Program Gelombang Biru BN Kota Belud dan Tuaran semalam, menurut Berita Harian.
Kelmarin dilaporkan bahawa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Abdul Rahman Dahlan memberi bayangan akan kembali bertanding di kerusi Parlimen Kota Belud pada PRU15.
Bekas menteri persekutuan itu, yang tewas kepada calon Warisan, Mohd Azis Jamman di Parlimen Sepanggar pada PRU14 dipetik berkata, namanya ada dalam senarai calon Umno dan BN bersama pemimpin lain.
Sementara itu, Bung Moktar berkata, pemimpin dan ahli BN perlu bersatu hati bagi memastikan kemenangan calon pada PRU15.
“Belajarlah daripada kesilapan lalu. BN sudah pernah kalah pada 2018, antara puncanya adalah sabotaj, potong-memotong, sebab tidak setuju dengan calon yang dipilih parti.
“Kalau ini berlaku lagi, jangan harap Kota Belud ada pembangunan. Kita tengok Warisan, selama ia memerintah sebelum ini, apa yang dia buat di sini?
“Siapa yang terpilih menjadi calon, maka kita sokonglah beramai-ramai,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.