Sunday, October 23, 2022

Adakah Anwar dengar cakap Zahid tolak kerjasama dengan Dr M?

agendaily.com
23/10/2022
Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan PH akan bekerjasama dengan GTA dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menghadapi PRU-15, 19 November depan.

Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, mungkin melegakan perasaan ‘cemburu’ dan bimbang Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ini kerana, Zahid telah menegur cikgunya itu berhubung sikap Dr Mahathir yang hanya mahu mempermain-mainkan Anwar, sebagaimana dilakukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Malam tadi, Anwar pada sidang media di Pulau Pinang menafikan bertemu Pengerusi Pejuang itu bagi membincangkan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA), menghadapi PRU-15, 19 November depan.

Kenyataan Anwar itu menyusul peringatan Zahid mengenai taktik Dr Mahathir yang didakwanya mempermainkan Presiden PKR itu.

Bagaimanapun, Anwar dilaporkan berkata beliau sanggup mengadakan perbincangan dengan sesiapa pun – bukan sahaja Dr Mahathir – jika mereka berkongsi matlamat yang sama.

“Jika ada keperluan untuk berjumpa saya, saya berada di Pulau Pinang hari ini, di Sabah esok dan mungkin di Sarawak lusa – tetapi bagi saya, adalah lebih baik untuk saya melihat rakyat,” kata Anwar.

Semalam, Zahid mengingatkan rakan baiknya itu bahawa Dr Mahathir telah melanggar janji untuk menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri (PM) kelapan, selain mencetuskan huru-hara politik dengan meletak jawatan secara tiba-tiba.

Zahid juga menyindir rakan baiknya itu, sambil mempersoalkan sama ada Anwar dan PKR terlalu lemah hingga sanggup diperdaya oleh Pengerusi GTA itu.

“Adakah Anwar dan PKR terlalu lemah hingga boleh cuba diperdayakan sekali lagi oleh Dr Mahathir? Mahathir seolah-olah cuba mengekang Anwar sekali lagi di sebalik janji manis untuk bekerjasama.

“Sebaliknya, konon PKR meletakkan ‘giant killer’ mereka untuk bertanding di Bagan Datuk. Saya amat mengalu-alukan pertandingan politik secara sihat. Namun siapa pula super giant killer yang PKR ingin letakkan untuk melawan Mahathir di Langkawi?

Kelmarin pula, Zahid mengajak rakyat ‘menendang’ PH – gabungan parti yang diketuai cikgunya itu, dalam PRU-15 selain yakin rakyat tidak akan terpedaya lagi dengan pujukan dan propaganda PH bertujuan memanipulasi fikiran rakyat ini.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa PH tidak pernah bersetuju menjalin kerjasama dengan GTA diterajui Dr Mahathir untuk menghadapi PRU-15, kecuali sekadar bersedia berbincang, khususnya berkaitan prinsip perjuangan.

“Bila kerjasama (dengan Dr Mahathir)? Siapa kata? Saya kata nak bincang, sesiapa pun boleh bincang,” kata Anwar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-