Saturday, October 22, 2022

GTA mula perbincangan bersama PN

bharian.com.my
Oleh M Hifzuddin Ikhsan 
hifzuddin@bh.com.my
- Oktober 22, 2022 @ 11:43am
Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

ALOR SETAR: Gerakan Tanah Air (GTA) mengesahkan sudah memulakan perbincangan bersama Perikatan Nasional (PN) bagi melihat kemungkinan bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata kedua-dua pihak kini berusaha mencapai persefahaman sebelum rundingan secara rasmi dapat dibuat.

Katanya, kerjasama itu mampu dicapai sekiranya kedua-dua pihak dapat mengetepikan perbezaan pendapat dan menetapkan matlamat dalam memastikan Barisan Nasional (BN) tidak menang pada PRU15.

"Ya, GTA dan PN memang ada melakukan perbincangan bagi melihat kemungkinan dapat bekerjasama pada PRU15, namun ia belum sampai ke tahap rundingan rasmi lagi setakat ini.

"Perbincangan masih di peringkat awal yang mana kita masih perlu menentukan konsep gabungan berkenaan dan setakat ini, respon PN adalah positif," katanya dalam sesi temu bual bersama media di Pejabat Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) di sini, semalam.

Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, pihaknya sedang menilai kemungkinan mempertimbangkan kerjasama bersama PN bagi menghadapi PRU15.

Dr Mahathir berkata, pihaknya sedia bekerjasama bersama PN, yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, jika gabungan itu sependapat dengan GTA serta tidak terbabit dengan perkara bertentangan dasar dan prinsip.

Mukhriz yang juga Presiden PEJUANG berkata, sekiranya dipersetujui, gabungan itu perlu dibuat segera kerana kedua-dua pihak kini kesuntukan masa berikutan penamaan calon PRU15 ditetapkan pada 5 November ini.

Katanya, apa yang penting kedua-dua pihak perlu melihat kemudaratan yang bakal dibawa BN sekiranya parti itu dapat membentuk kerajaan selepas PRU15.

"Kita melihat kerjasama ini boleh dibuat dalam bentuk gabungan politik (GTA dan PN), tetapi ia berkemungkinan agak sukar kerana kesuntukan masa.

"Tetapi mungkin boleh dibuat kerjasama dalam menghadapi pilihan raya jika kedua-dua pihak melihat kerosakan bakal dibuat BN dan UMNO sekiranya kembali mendapat kuasa," katanya.

Untuk rekod, GTA membabitkan kerjasama antara PEJUANG, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Ikatan India Muslim Nasional (IMAN).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-