Showing posts with label Mukhriz Mahathir. Show all posts
Showing posts with label Mukhriz Mahathir. Show all posts

Saturday, October 22, 2022

GTA mula perbincangan bersama PN

bharian.com.my
Oleh M Hifzuddin Ikhsan 
hifzuddin@bh.com.my
- Oktober 22, 2022 @ 11:43am
Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

ALOR SETAR: Gerakan Tanah Air (GTA) mengesahkan sudah memulakan perbincangan bersama Perikatan Nasional (PN) bagi melihat kemungkinan bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata kedua-dua pihak kini berusaha mencapai persefahaman sebelum rundingan secara rasmi dapat dibuat.

Katanya, kerjasama itu mampu dicapai sekiranya kedua-dua pihak dapat mengetepikan perbezaan pendapat dan menetapkan matlamat dalam memastikan Barisan Nasional (BN) tidak menang pada PRU15.

"Ya, GTA dan PN memang ada melakukan perbincangan bagi melihat kemungkinan dapat bekerjasama pada PRU15, namun ia belum sampai ke tahap rundingan rasmi lagi setakat ini.

"Perbincangan masih di peringkat awal yang mana kita masih perlu menentukan konsep gabungan berkenaan dan setakat ini, respon PN adalah positif," katanya dalam sesi temu bual bersama media di Pejabat Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) di sini, semalam.

Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, pihaknya sedang menilai kemungkinan mempertimbangkan kerjasama bersama PN bagi menghadapi PRU15.

Dr Mahathir berkata, pihaknya sedia bekerjasama bersama PN, yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, jika gabungan itu sependapat dengan GTA serta tidak terbabit dengan perkara bertentangan dasar dan prinsip.

Mukhriz yang juga Presiden PEJUANG berkata, sekiranya dipersetujui, gabungan itu perlu dibuat segera kerana kedua-dua pihak kini kesuntukan masa berikutan penamaan calon PRU15 ditetapkan pada 5 November ini.

Katanya, apa yang penting kedua-dua pihak perlu melihat kemudaratan yang bakal dibawa BN sekiranya parti itu dapat membentuk kerajaan selepas PRU15.

"Kita melihat kerjasama ini boleh dibuat dalam bentuk gabungan politik (GTA dan PN), tetapi ia berkemungkinan agak sukar kerana kesuntukan masa.

"Tetapi mungkin boleh dibuat kerjasama dalam menghadapi pilihan raya jika kedua-dua pihak melihat kerosakan bakal dibuat BN dan UMNO sekiranya kembali mendapat kuasa," katanya.

Untuk rekod, GTA membabitkan kerjasama antara PEJUANG, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Ikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Thursday, January 6, 2022

Mukhriz tak kenang budi, bidas PKR Selangor

agendaily.com
6/1/2022
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

PKR Selangor membidas Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai tidak kenang budi apabila bertindak mengkritik Presiden kesayangan mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar menyifatkan Mukhriz cepat lupa diri apabila sanggup mengeluarkan kenyataan menyinggung Ketua Pembangkang, Anwar yang dianggapnya sebagai pemimpin berwibawa walaupun gagal jadi Perdana Menteri (PM) sehingga kini dan tewas teruk dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

“Hari ini apa jua yang Mukhriz nyatakan tidak akan mampu memadam lipatan sejarah beliau menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan menjadi Menteri Besar Kedah hasil dukungan jentera PKR yang mengangkat idealisme serta perjuangan panjang Anwar melawan kezaliman penguasa.

“Kenyataan beliau yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) perlukan pemimpin baru adalah kenyataan bersifat jahat dan menunjukkan ketidakmatangan beliau selaku pemimpin politik masa depan negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Halimey seakan cuba mengungkit jasa PKR yang ketika itu bersama-sama dengan Bersatu mengharungi PRU-14 atas platform PH dan berjaya membentuk kerajaan pusat buat kali pertama.

Namun, harus difahami Anwar ketika itu berada dalam penjara dan semua bentuk kempen serta strategi politik ketika itu bergantung kepada bekas PM dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir ketika itu memimpin PH sehingga berjaya menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN), untuk rekod sepanjang Anwar menggepalai pembangkang mereka tidak pernah melangkah jauh sehingga berjaya membentuk kerajaan di peringkat pusat.

Tambah Halimey, Mukhriz haruslah berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana menurutnya PKR telah banyak berjasa kepada Pejuang.

“Belajarlah menghargai toleransi yang telah ditunjukkan PKR walaupun Pejuang bukanlah sebagai parti komponen PH.

“Di Selangor misalnya, Ahli Dewan Negeri Pejuang diberi peruntukan sama rata dan bebas menjalankan program politik tanpa sebarang sekatan di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari,” katanya.

Dalam satu temubual bersama BFM, Mukhriz menyifatkan Anwar bukan lagi calon untuk menjadi PM.

Beliau merasakan bahawa rasa masa Anwar sudah berlalu dan ramai yang telah menyatakan demikian dalam PH sendiri. Menurutnya, sudah tiba masanya untuk kumpulan baru mengambil alih.

Thursday, September 23, 2021

Bukti RM13 juta dipindah ke luar negara diserah kepada SPRM

agendaily.com
23/9/2021

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Dokumen dan slip yang didakwa bahan bukti berkaitan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah yang dikatakan dipindahkan ke akaun di luar negara sudah diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu disahkan Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap yang berkata pihaknya sedang meneliti bukti tersebut sebelum mengambil tindakan susulan. Ia diperoleh selepas pegawai SPRM menemui Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor semalam.

“Sebelum ini kita hanya mengetahui mengenai perkara ini melalui media sosial dan sumber luar sebelum SPRM berkunjung ke Pejabat Menteri Besar pagi semalam. Beliau memberi kerjasama yang baik.

“Kita sudah dapatkan beberapa dokumen penting berkaitan untuk penelitian awal, namun belum ada siasatan rasmi dibuat,” katanya dipetik laporan sebuah portal.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mendakwa wang milik MBI berjumlah RM13 juta dipindahkan ke akaun luar negara ketika Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih memegang jawatan MB Kedah.

Muhammad Sanusi berkata, wang berkenaan dipindahkan ke sebuah akaun bank di Kanada dan terdapat slip pemindahan masih disimpan pihaknya sebagai bukti.

Bagaimanapun, Mukhriz pula meminta Muhammad Sanusi membuat laporan polis dan kepada pihak SPRM berhubung dakwaan itu.

Mukhriz berkata, beliau memandang serius dakwaan terbabit kerana ia memberi gambaran buruk terhadapnya dan kerajaan negeri terdahulu ketika beliau menerajui Kedah.

Wednesday, September 22, 2021

Mukhriz cabar Sanusi lapor polis, SPRM

bharian.com
Oleh Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my
 September 22, 2021 @ 6:55pm


ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencabar Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemindahan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah ke luar negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu, berkata beliau memandang serius mengenai dakwaan sebelum ini kerana ia memberi gambaran buruk terhadapnya dan kerajaan negeri terdahulu ketika beliau menjadi Menteri Besar.

"Saya juga akan membuat pertimbangan untuk tindakan susulan berhubung dakwaan Menteri Besar Kedah berdasarkan pandangan penasihat undang-undang.

"Tentunya sebarang kenyataan dibuat mestilah ada bukti tetapi apabila dakwaan liar dibuat dan dilaporkan secara meluas ia memberi gambaran buruk kepada saya sendiri, parti diwakili dan kerajaan terdahulu.

"Sedangkan, banyak perkara yang tidak jelas dalam kenyataan itu namun ia telah menimbulkan satu persepsi apabila lihat nama saya, angka RM13 juta, pemindahan wang dan Kanada, maka ada orang akan buat kesimpulan bahawa saya curi duit MBI," katanya pada sidang media dalam talian di sini, hari ini.

Mengulas lanjut , Mukhriz juga meminta Muhammad Sanusi membuat permohonan maaf dan menarik balik dakwaan terbabit sekiranya tidak mempunyai bukti dan membuat dakwaan tanpa asas.

ADUN Jitra itu berkata, beliau menerima banyak mesej dan panggilan dari rakan termasuk media sejak semalam yang bertanyakan perkara yang hangat diperkatakan sedangkan dakwaan itu tiada asasnya.

"Dalam sidang media Menteri Besar hari ini, keadaan terbalik pula apabila Muhammad Sanusi menafikan dia menyatakan wang dimasukkan akaun di Kanada, kemudian dia menyatakan secara peribadi saya tidak tahu mengenai perkara itu," katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi memaklumkan kesediaannya memberikan kerjasama kepada SPRM berhubung pemindahan wang RM13 juta milik MBI Kedah ke luar negara.

Sunday, December 27, 2020

Muhkriz bidas Anwar, tidak akan sokong PM dapat kuasa dengan SD pemimpin korup

themalaysialife.com
December 27, 2020 9:26 am

Seorang perdana menteri yang mendapat sokongan pemimpin Umno yang korup tidak akan mendapat sokongan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), kata Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir.

Presiden penaja Pejuang itu berkata ini kerana parti tersebut tegas menentang rasuah yang dilabelnya sebagai “musuh nombor satu orang Melayu.”

Bercakap pada majlis ceramah Pejuang di Kedah malam tadi, Mukhriz berkata Pejuang akan berada di pihak yang bertentangan dengan pimpinan Umno seperti Najib Razak, Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor dan “pemimpin korup” yang lain.

“Di mana mereka berada, kita tidak ada.

“Dia nak ikut mana-mana, konon tiba-tiba nak tanda tangan SD (akuan bersumpah) sokong pihak-pihak tertentu untuk jadi perdana menteri, kita tidak ada di situ,” kata bekas menteri besar Kedah itu.

Walaupun tidak menyebut nama kenyataan Mukhriz itu jelas merujuk kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang telah berusaha mendapatkan sokongan mencukupi untuk menjadi perdana menteri.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata dia yakin Anwar dapat melakukan ini, dengan salah satu jalannya mungkin melalui SD.

Ahli Parlimen Umno Ketereh, Annuar Musa juga mendakwa terdapat usaha di dalam parti itu untuk mengumpulkan SD menyokong Anwar.

Pada Oktober, Najib melobi Umno dan BN untuk menyokong presiden PKR.

Bagaimanapun, pemimpin DAP dan Amanah mendesak PKR untuk tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang atau membuang masa dengan ahli parlimen oportunis dan memfokuskan untuk menyatukan pembangkang.

Mukhriz juga menyatakan kebimbangan mengenai kerjasama DAP dan Umno dalam menjatuhkan bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

“Dua kumpulan yang tidak pernah boleh duduk sekali… Tiba-tiba pasal nak jatuhkan menteri besar boleh bersekali.

“Mungkin boleh ada keadaan-keadaan tertentu kerjasama boleh dibuat (tapi) bagi kita langsung tak boleh,” katanya.

Bagaimanapun, ahli parlimen Jerlun tidak menyokong Pejuang bertanding dalam pilihan raya akan datang sebagai kekuatan ketiga – berkata ini bukan pilihan yang sesuai.

Pada masa sama, dia belum melihat bagaimana pembangkang akan bekerjasama dalam pilihan raya akan datang.

“Mungkin tiada lagi Pakatan Harapan pada PRU15,” katanya memetik konflik dalaman di dalam gabungan pembangkang.

Ini sekali lagi merujuk kepada konflik mengenai rancangan Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Warisan telah menggesa perubahan dalam kepemimpinan pembangkang, yang tampaknya mendapat sambutan bagi sesetengah pihak dalam PH.

sumber: https://www.malaysiakini.com/news/556654

Thursday, December 24, 2020

Pejuang terbuka bentuk gagasan rasmi sertai PRU ke-15

malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 10:18 am

Nota editor: Berita ini asalnya memetik laporan disiarkan Sinar Online dan kemudian diubah selepas Malaysiakini melihat semula klip video rakaman temu bual Mukhriz Mahathir berkenaan.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan menyertai pilihan raya umum (PRU) akan datang sebagai calon bebas, kata presiden penajanya, Mukhriz Mahathir.

Sebaliknya kata bekas menteri besar Kedah itu, Pejuang mempunyai beberapa pilihan dan sedang membuat pertimbangan bagi mencari langkah terbaik.

Menurut Mukhriz Perjuang memang terbuka untuk memastikan parti itu menyertai PRU akan datang sebagai "gagasan yang rasmi".

"Sebaik-baiknya kita (Pejuang) mestilah sebahagian daripada satu parti politik.

"Ada beberapa pilihan, kita akan pertimbangkan kesemuanya," kata Mukhriz dalam temu bual dengan Sinar Harian semalam.

Mukhriz merupakan bekas timbalan presiden Bersatu yang memilih untuk berpisah daripada parti yang diasaskannya bersama beberapa tokoh lain itu selepas kumpulan penyokong Muhyiddin Yassin membawa Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

Dia bersama beberapa pemimpin lain - termasuk Dr Mahathir Mohamad yang pernah dilantik sebagai pengerusi Bersatu - kemudian menubuhkan Pejuang.

Bagaimanapun sehingga kini pendaftaran Pejuang belum diluluskan oleh kerajaan.

Pada 29 Okt lalu Setiausaha Agung Pejuang Amiruddin Hamzah berkata sebanyak tujuh permohonan pendaftaran dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) namun pihaknya belum mendapat jawapan bertulis mengenai status mereka.

Untuk rekod ROS terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri yang kini diketuai Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.

Justeru, Pejuang membuat permohonan semakan kehakiman untuk memaksa ROS membuat keputusan berhubung status pendaftaran parti terbabit pada 10 Dis lalu.

Menurut Mukhriz Pejuang sedar mereka tidak boleh memasang impian terlalu tinggi.

"Kita kena muhasabah diri, kena ukur baju di badan sendiri... kita pasang cita-cita terlampau tinggi padahal kita tidak berkemampuan, nak berjuang seorang memang sukar tetapi keputusan atau pendekatan itu akan dilaksanakan sebelum PRU ke-15 nanti," katanya.

Monday, June 29, 2020

Sudah jelas Dr Mahathir mahu anaknya jadi PM – Ronnie

By Kasthuri Jeevendran
- 28 June 2020

Ronnie Liu.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa sedang cuba memecah belahkan Pakatan Harapan (PH) lagi untuk memastikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti

Pendedahan beliau semalam jelas sekali mendedahkan agenda peribadinya untuk menaikkan anaknya, kata Ahli Jawatankuasa Pusat DAP (CEC) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sg Pelek, Ronnie Liu menerusi laman sosial Facebook beliau.

Menurut Ronnie, sudah terang lagi bersuluh, cadangan beliau mencalonkan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri kesembilan itu hanya sekadar ‘penyamaran’ Dr Mahathir untuk lindung agenda sebenarnya.

“PH kini akan berdepan dengan keadaan bahaya berlakunya perpecahan kerana isu jawatan Perdana Menteri ini.

“Hakikatnya, walaupun andainya PKR bersetuju untuk cadangan Shafie menjadi Perdana Menteri sekalipun, beliau tidak mempunyai ‘angka’ untuk dipersembahkan kepada Yang DiPertuan Agong. Ini adalah fakta.

“Malah hubungan antara Warisan dan PH juga mungkin akan retak kerana perbincangan berhubung calon Perdana Menteri ini.

“Ini juga mungkin salah satu daripada agenda Tun Mahathir. Anda tidak akan sesekali tahu apakah sebenarnya dalam kepala dan fikiran ‘jahatnya’ itu,” tulis Ronnie.

Semalam, Tun Mahathir mendedahkan dirinya bersama-sama DAP dan Amanah serta Warisan bersetuju mencalonkan Shafie sebagai Perdana Menteri.

Dedah Tun Mahathir, keputusan tersebut dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan tidak rasmi bersama Shafie; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan beberapa Ahli Parlimen lain seperti Anthony Loke, M. Kulasegaran, Liew Chin Tong dan Tan Kok Wai dalam satu pertemuan di Rumah Tetamu Sabah dekat sini dua hari lalu.

Kata Ahli Parlimen Langkawi itu, mereka turut bersetuju untuk mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1 manakala anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2.

Ujar Ronnie, dengan mencadangkan nama Mukhriz, pastinya Dr Mahathir akan sedaya-upaya memastikan anaknya menjadi Perdana Menteri dan bukannya Anwar..

“Agenda Tun Mahathir dari awal lagi ialah memastikan Anwar tidak sesekali menjadi Perdana Menteri walau apapun.

“Sebenarnya bukan saya seorang sahaja yang tampil merasakan persepsi ini dan perasaan ini, Tun Mahathir telah buktikan apa yang saya katakan dan rasakan ini benar,” tegasnya. 

MalaysiaGazette

Thursday, May 28, 2020

Bersatu pecat Mahathir, Mukhriz dan tiga yang lain


Pengerusi Bersatu yang dipertikaikan, Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presidennya, Mukhriz Mahathir dan tiga yang lain hari ini dipecat daripada parti itu.

Berdasarkan surat yang dilihat Malaysiakini, kelima-lima mereka dipecat atas alasan duduk di bangku pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Surat berkenaan ditandatangani oleh setiausaha kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.

Tiga pemimpin lain yang sehaluan dengan Mahathir iaitu Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta anggota Majlis Tertinggi Bersatu Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah turut dipecat.

Mahathir merupakan pengerusi Bersatu, manakala Mukhriz merupakan timbalan presiden parti itu.

Menurut surat berkenaan, keputusan untuk memecat mereka dibuat berdasarkan artikel 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan Bersatu yang menyatakan status individu sebagai anggota akan diberhentikan serta-merta sekiranya didapati menyatakan hasrat mereka untuk meninggalkan parti atau secara rasmi bergabung dengan parti politik lain.

Menjawab pertanyaan media, seorang pembantu kepada Mahathir berkata bekas perdana menteri itu meninggalkan pejabatnya di Putrajaya dan belum melihat salinan surat berkenaan.

Khabar angin mengenai rancangan menyingkirkan Mahathir dan penyokongnya berlangsung sejak awal bulan ini dengan mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu - yang kemudian ditangguhkan - dipercayai akan menyokong keputusan itu.

Bersatu berpecah selepas 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan presiden partinya, Muhyiddin Yassin mengetuai majoriti pemimpinnya membentuk Perikatan Nasiona (PN).

Mahathir merancang untuk melakukan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin dan duduk di bangku pembangkang bersama empat anggota Parlimen Bersatu yang lain semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.


Wednesday, May 27, 2020

Mukhriz pura-pura tak tahu ganti rugi RM1.5 bilion dituntut pembalak, kata MB

Predeep Nambiar
-May 27, 2020 10:06 PM

Pulau Pinang, Kedah dan Perlis sangat bergantung kepada Sungai Muda, di mana sumber airnya datang daripada hutan simpan sekitar, untuk bekalan air mereka. (Gambar Facebook)

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bekas menteri besar tahu sepenuhnya bayaran ganti rugi RM1 bilion kepada kira-kira 40 pemegang konsesi balak selepas hak pembalakan di hutan simpan kekal ditarik balik.

Beliau berkata demikian selepas bekas menteri besar, Mukhriz Mahathir mendakwa beliau tidak tahu mengenai tuntutan berbilion ringgit yang belum dijelaskan kepada pemegang konsesi dan tidak pernah dengar tuntutan sedemikian ketika memegang jawatan itu.

Mukhriz berkata demikian selepas Sanusi mencadangkan pemberian hutan ganti kepada pemegang konsesi untuk membalak bagi mengelakkan bayaran tuntutan ganti rugi berjumlah RM1 bilion kepada pembalak.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Hari ini, Sanusi berkata, jumlah ganti rugi itu kini meningkat kepada RM1.5 bilion yang perlu dibayar kepada 40 syarikat pembalakan memiliki 131 konsesi pembalakan daripada kerajaan negeri.

Katanya, keadaan ini timbul selepas kerajaan terdahulu memutuskan untuk menghentikan pembalakan di kawasan tertentu di Hutan Simpan Kekal Ulu Muda pada 30 Ogos 2018.

Beliau berkata, hak pembalakan kepada 40 syarikat itu diberikan untuk kawasan hutan seluas 22,098ha. Negeri itu sudah menerima premium RM107.5 juta daripada pemegang konsesi itu dengan RM79.5 juta belum dijelaskan.

Sanusi berkata, jumlah kawasan yang diwartakan sebagai hutan simpan ialah 107,197ha.

Katanya, untuk mengelakkan Kedah membayar ganti rugi RM1.5 bilion, Jabatan Perhutanan sudah menghantar cadangan menawarkan hutan ganti kepada syarikat itu untuk menjalankan aktiviti pembalakan.

“Saya tak kata saya sudah membuka kawasan pembalakan baru. Saya kata saya hanya mempertimbangkan pilihan ini.

Bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, Mukhriz “berpura-pura” tidak tahu mengenai isu hak pembalakan ketika Jabatan Perhutanan memaklumkan Jawatankuasa Hasil Bumi dan Sumber Asli Kedah yang dipengerusikan Mukhriz sebagai pengerusi pada 5 Mei lalu.

“Mukhriz tahu mengenai isu pembalakan ini. Tetapi dalam kes ini, beliau berpura-pura tidak tahu mengenainya.

“Saya memimpin sebuah kerajaan yang mengendalikan isu ini sekarang. Saya tidak akan menyembunyikan masalah dan berpura-pura tiada isu langsung, memberi tanggapan semuanya baik di bawah pentadbiran saya.”

Beliau memuji tindakan Mukhriz mewartakan beberapa kawasan di Hutan Simpan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air.

“Tetapi di dalamnya, ada kawasan yang diluluskan untuk pembalakan. Dan juga ini bukan hutan asli, tetapi yang diterokai sejak 30 tahun lalu.

“Ini diputuskan kerajaan yang berkuasa 2 minggu lalu, bukan kerajaan yang saya terajui sekarang. Sesetengah konsesi diluluskan 2 tahun lalu dan ada yang sejak 10 tahun lalu.”

Sanusi kemudiannya menggunakan analogi petani malas terhadap kepimpinan Mukhriz. Katanya, seorang petani malas hanya akan membersihkan jalan yang dilaluinya dan mengabaikan baki tanahnya, menyebabkan ia dipenuhi lalang.

Katanya, semak itu kemudiannya menjadi rumah kepada ular, kala jengking dan haiwan berbahaya lain yang akan membawa masalah kepada pemilik serta kawasan sekitarnya.

Beliau berkata, Mukhriz kemudiannya akan kelihatan terkejut dengan masalah yang timbul.

“Bekas MB itu terus bertanya: ‘Bila masalah ini berlaku?’ Yalah, bila anda selalu naik kapal terbang pergi balik ke Kuala Lumpur, anda akan jadi orang terakhir yang tahu mengenai perkara sedemikian.”

Dalam perkembangan lain, Sanusi turut meminta Mukhriz menyelesaikan isu kewangan Kelab Bola Sepak Kedah yang disifatkan “sakit” dari segi kewangan, sebelum meletak jawatan sebagai presidennya.

Katanya, di bawah kepimpinan Mukhriz, kelab itu mengambil komitmen kewangan besar.

FMT cuba menghubungi Mukhriz untuk mendapatkan komennya.

Sunday, May 17, 2020

Mukhriz letak jawatan MB

Predeep Nambiar
-May 17, 2020 10:30 AM


ALOR SETAR: Mukhriz Mahathir hari ini mengumumkan peletakan jawatan menteri besar Kedah ke-13, selepas Pakatan Harapan hilang sokongan majoriti.

Gabungan itu hilang sokongan majoriti selepas 6 Adunnya beralih menyokong pakatan yang dipimpin PAS awal minggu ini.

Ini kali ke-2 beliau meletakkan jawatan ketua kerajaan negeri itu, kali pertama pada Februari 2016 susulan perselisihan dengan perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Adun Jitra dari PPBM itu mengangkat sumpah menteri besar selepas Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum 2018.

Gabungan itu menang di Kedah dengan 19 kerusi berbanding 17 kerusi pembangkang. PAS mengetuai blok lawan dengan 15 kerusi, manakala Umno 2 kerusi.

Kerajaan baru sudah dijangka akan terbentuk selepas ketua pembangkang, Muhammad Sanusi Md Nor dari PAS, mengumumkan beliau peroleh sokongan 23 Adun, majoriti dalam kalangan 36 wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau berkata wakil rakyat yang menyokong PN menandatangani akuan berkanun.

Adun Sidam, Robert Ling dan Adun Lunas, Azman Nasrudin baru-baru ini mengumumkan keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Perikatan Nasional.

Sanusi berkata PN juga mendapat sokongan 4 wakil rakyat PPBM, tanpa Mukhriz dan Adun Anak Bukit, Amiruddin Hamzah.

Mukhriz, ‘sudah jatuh ditimpa tangga’


DRAMA politik di Kedah sejak Selasa lalu nampaknya mengesot ke penghujung. Apa pun Mukhriz Mahathir tidak boleh salahkan orang lain.

Tindakannya sejak awal lagi menyimpang dengan Bersatu Pusat.
Bersatu sudah mengumumkan keluar Pakatan Harapan (PH). Itu mukadimah yang berlaku.

Sebagai Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz sedia maklum. Keputusan keluar PH muktamad. Soal sah atau sebaliknya itu isu kedua.

Peliknya tiba-tiba Mukhriz mahu bergantung hayat kepada PH di Kedah. Semua orang jadi pening. Sarjana politik pun tidak dapat merumus teori mana yang Mukhriz gunakan. Tidak berlaku dalam sejarah politik sebelum ini.

Sekiranya sejak awal Mukhriz mengikut kehendak majoriti, mungkin tidak berlaku 4 Adun Bersatu belot. Malah kedudukan Mukhriz sebagai MB mungkin tidak tergugat.

Sifir itu sudah berlaku di Perak. Ahmad Faizal Azamu pada 10 Mac lepas
meletak jawatan. Ia berlaku selepas kerajaan PH di Perak tumbang.
Pada PRU lepas PH menguasai 30 kerusi Dun di Perak. PH terdiri daripada DAP (18), PAN (6), PKR (4) dan Bersatu (2).

Manakala pembangkang pula – Umno 25 kerusi, PAS (3) dan Bebas (1).
Namun selepas Adun PAN dan DAP keluar parti, akhirnya kerajaan PH tumbang.

PN Perak sekarang menguasai 35 kerusi. Dominasinya Umno 25 kerusi, PAS (3), Bersatu (4) dan tiga kerusi Bebas termasuk bekas DAP dan PAN.
Biarpun Bersatu ada 4 Adun, namun Ahmad Faizal selamat di kerusi menteri besar. Istana melantiknya semula.

Sedangkan ada dua lagi calon MB Perak iaitu Saarani Mohamad (Umno) dan Razman Zakaria (PAS) dalam senarai awal.

Ternyata percaturan Faizal mengena. Sepatutnya Mukhriz boleh mencontohi model itu. Namun kerana terlalu mengikut percaturan bapanya, akhirnya dia kecundang.

Jejaki Selangor

TIBA-tiba selepas hilang sokong Mukhriz meluahkan dia dikhianati ‘kawan-kawan’.

“Biasalah perasaan bila dikhianati kawan-kawan, sebelum ini berlaku di pusat dan sekarang di negeri. Nampaknya pengkhianatan berlaku macam-macam cara,” katanya seperti dilapor portal berita.

Mungkin Mukhriz lupa percaturannya sejak awal lagi silap. Teori dirintis Ahmad Faizal tidak mahu dimanfaatkan. Sebaliknya dia membuat percaturan sendiri.

Seandainya Mukhriz membawa Bersatu bersama Muafakat Nasional di Kedah, mungkin kedudukannya selamat. Bersatu di Kedah ada 6 Adun.
Apabila digabung dengan PAS dan Umno bermakna jumlahnya 23 Adun.

Itu belum lagi dikira 2 lagi Adun PKR yang tidak sebulu dengan Anwar Ibrahim.

Apabila dicampur dua bekas Adun PKR bermakna kekuatan PN bertambah kepada 25. Malangnya Mukhriz tidak memanfaatkan peluang itu.

Hari ini menteri besar dua kali itu umpama jatuh ditimpa tangga. Menjejaki apa yang dialami bapanya. Juga dua kali bergelar perdana menteri.

Namun akhirnya meletak jawatan di tengah jalan.
PN yang didominasi PAS sekarang memiliki 23 Adun. Mereka iaitu 15 daripada PAS, Bersatu (4), Umno (2) dan dua bekas PKR.

Sudah ‘geger’ di serata tempat esok kerusi Mukhriz di Wisma Darul Aman akan diduduki orang lain. Biarpun berkali-kali mengaku masih lagi MB, namun ia tidak lebih sebagai syok sendiri.

Nasi sudah jadi bubur. Kegemilangannya bapanya semakin pudar. Kata bekas pegawai tadbir diplomatik, Ashaari Mamat, zaman Dr Mahathir sudah berlalu.

Kisah yang menimpa Mukhriz sekadar mengulangi apa yang berlaku di Johor, Melaka dan Perak.

Namun harus ingat episod politik tidak terhenti di Kedah sahaja. Lambat laun akan menular ke Selangor. Khabarnya 10 daripada 19 Adun PKR di negeri itu merupakan pentaksub Azmin Ali.

PH sekarang memiliki 43 Adun, manakala PN pula 13. Kemungkinan kedudukan boleh bertukar PH 33 – PN 23.

Tidak dapat ditolak Adun DAP dan PAN pun intai peluang. Tunggulah episod seterusnya.

 – HARAKAHDAILY
    17/5/2020

Gambar Muhamad Sanusi hadir raptai angkat sumpah tersebar



GAMBAR yang tular ini seolah-olah mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah petang ini.

Ia menunjukkan Muhamad Sanusi telah hadir untuk raptai majlis angkat sumpah.

Portal Kedah Gazette melaporkan majlis raptai berkenaan dilaporkan diadakan di Wisma Darul Aman petang semalam.

Jika itu menjadi kenyataan, maka sekali lagi Datuk Seri Mukhriz Mahathir terpaksa melepaskan jawatan itu.

Majlis angkat sumpah itu dijangka berlangsung pada pukul 4 petang ini.

Sebelum ini dilaporksn spekulasi mengenai kedudukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah dikatakan bakal terjawab petang ini.

Dikatakan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenari, Muhamad Sanusi Md Nor akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yan baharu bagi menggantikan Mukhriz.

Kedudukan Mukhriz tergugat selepas hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran tindakan dua ADUN daripada PKR bertindak keluar dari parti itu.

ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee dan ADUN Lunas, Azman Nasrudin mengumumkan keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Memetik laporan Kedah Gazette difahamkan nama Mohamad Sanusi merupakan satu-satunya yang disenaraikan sebagai bakal dilantik Menteri Besar Kedah.

Portal berita itu melaporkan majlis mengangkat sumpah Menteri Besar akan berlangsung pada pukul 2 petang ini di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Dikatakan ia akan dimulai dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim melafazkan surat pengisytiharan pelantikan Menteri Besar.

Selepas itu Menteri Besar yang baharu akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan menandatangi surat sumpah tersebut.

Sultan Sallehuddin kemudian akan mengurniakan tauliah pelantikan.

Pada Selasa lalu, 23 ADUN Kedah menyatakan hilang keyakinan terhadap Mukhriz.

Mohamad Sanusi yang juga ketua pembangkang di DUN, dalam sidang media berkata, kesemua ADUN termasuk empat dari Bersatu dan dua dari bekas ADUN PKR telah menandatangani akuan berkanun bagi menyatakan hilang keyakinan mereka terhadap Mukhriz. 

SM

Friday, May 15, 2020

23 ADUN Perikatan Nasional selesai menghadap Sultan Kedah

Oleh M Hifzuddin Ikhsan 
        dan Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my

ADUN PN yang hadir ketika majlis mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman pagi ini.
 - Foto ihsan pembaca

ALOR SETAR: Seramai 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) selesai mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman hari ini.

Difahamkan, majlis menghadap dilakukan dalam tiga sesi bermula jam 10 pagi dan didahului lapan ADUN termasuk Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Mereka dikatakan menghadap selama kira-kira 30 minit sebelum kumpulan kedua masuk pada jam 10.30 pagi dan kumpulan ketiga pada jam 11 pagi.

Semua ADUN terbabit adalah 15 dari PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), UMNO (dua) dan Bebas (dua).

Kenderaan yang membawa Sultan Kedah kemudian dilihat keluar dari Wisma Darul Aman pada jam 12.15 tengah hari.

Sementara itu, 12 ADUN Pakatan Harapan (PH) dijadual menghadap Sultan Kedah pada jam 3 petang ini.

Difahamkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak akan hadir pada majlis menghadap petang ini.

Majlis menghadap hari ini diadakan berikutan krisis politik negeri yang membabitkan kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar.

Ia susulan PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan daripada 23 ADUN di negeri ini, Selasa lalu.

Terlalu baik sangka punca saya jadi mangsa pengkhianatan, kata Mukhriz

Adam Abu Bakar
-May 15, 2020 7:29 AM

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir.

PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir berkata, beliau mudah untuk menjadi mangsa pengkhianatan rakan disebabkan sikapnya yang terlalu mudah berbaik sangka terhadap individu yang mendampinginya.

“Saya antara orang selalu baik sangka. Saya tidak suka gaduh-gaduh, berkelahi dengan orang, tetapi kadang-kadang ada orang beritahu saya, atas sifat itu saya kerap menjadi mangsa pengkhianatan, seperti yang saya lalui kebelakangan ini,” katanya dalam Wacana Pasca Covid-19, di Facebook Live malam tadi.

Wacana yang turut menampilkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari itu disiarkan secara langsung di laman Facebook Pakatan Harapan, DAP dan Dapsy.

Menurut Mukhriz, pengkhianatan dilakukan rakan yang dianggapnya seperti keluarga secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap keyakinan diri dan menyebabkan beliau sukar mempercayai orang lain.

“Bayangkanlah bagaimana hendak berinteraksi dengan orang lain, meluaskan hubungan persahabatan dengan orang baru dikenali.

“Sekarang ini kita melalui keadaan di mana rakan seperjuangan boleh tikam belakang. Jadi bila jumpa orang baru, sudah tentu ada sifat was-was,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan dibangkitkan moderator, timbalan ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Howard Lee mengenai situasi di negeri Kedah, yang menurutnya berada dalam keadaan kurang stabil susulan percaturan politik dan usaha merampas kuasa pentadbiran.

Sebelum ini, Mukhriz berkata beliau masih merupakan menteri besar Kedah, di sebalik kenyataan demi kenyataan menyatakan beliau sudah kehilangan sokongan majoriti.

Menurut Mukhriz, beliau akan terus menggalas jawatan itu, sehingga usul tidak percaya diluluskan di Dewan Undangan Negeri.

Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baru selepas mendapat sokongan 23 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk daripada PPBM.

Ketua pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, 23 Adun terbabit adalah 15 daripada PAS, PPBM (4), Umno (2) dan 2 bekas Adun PKR.

Thursday, May 14, 2020

Letak jawatan Mukhriz, jangan menyusahkan rakyat, istana – Mahdzir Khalid

by - Cinca


Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir disaran supaya melepaskan jawatan sebagai menteri besar Kedah kerana beliau sudah kehilangan majoriti untuk terus menerajui pentadbiran negeri itu.

Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid, berkata itu langkah terbaik yang perlu diambil Mukhriz demi kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri serta tidak "menyusahkan banyak pihak".

"Sepatutnya dengan tidak menyusahkan banyak pihak termasuk istana, beliau meletak jawatan terlebih dulu.

"Kalau dia (Mukhriz) masih ada ahli (majoriti) yang cukup, dia boleh terus kekal sebagai menteri besar.

"Namun, kalau tak cukup (majoriti) sepatutnya letak jawatan," katanya Mahdzir yang juga bekas menteri besar Kedah kepada Malaysiakini, hari ini.

Hari ini, Mukhriz mempertahankan yang beliau masih menteri besar Kedah walaupun pembangkang mendakwa beliau telah hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Suasana politik di Kedah masih lagi terkawal, saya masih lagi menteri besar dan kerajaan masih lagi wujud, maka tidak benarlah dakwaan dari mana-mana pihak bahawa kerajaan ini telah jatuh semalam," katanya dalam sidang media di Wisma Darul Aman, Kedah, hari ini.

Mukhriz yang juga Adun Jerlun berkata terdapat prosedur yang perlu diikut untuk menukar kerajaan.

PH Kedah dan Mukhriz hilang majoriti selepas Adun Sidam dan Lunas mengumumkan keluar PKR (bawah) dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Susulan perkembangan itu, PAS Kedah mengumumkan PN mempunyai majoriti mudah, serta mendapat sokongan empat Adun Bersatu, untuk menubuhkan kerajaan baru.

Untuk rekod ini kali kedua kedudukan Mukhriz sebagai menteri besar tergugat, kali pertama berlaku ketika beliau bersama Umno.

Krisis dalaman Umno membabitkan Mukhriz dan kepimpinan utama ketika itu menyaksikan beliau meletak jawatan menteri besar Kedah pada 3 Feb 2016.

Read more: https://cin-ca.blogspot.com/2020/05/letak-jawatan-jangan-susahkan-istana.html#ixzz6MLLHWvtD

Saturday, April 25, 2020

Mukhriz nafi arah laporan polis terhadap Ebit Lew

FMT Reporters
-April 25, 2020 5:33 PM

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir dan pendakwah bebas Ebit Lew.

PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir menafikan tuduhan pihaknya atau wakil pejabatnya membuat laporan polis yang membawa kepada siasatan terhadap pendakwah bebas Ebit Lew.

Mukhriz berkata, beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak untuk membuat laporan tersebut.

“Saya kesal dengan tularan meluas di media sosial yang mengaitkan saya dan Pejabat Menteri Besar Kedah dengan tohmahan kononnya dermawan dan tokoh motivasi Ustaz Ebit Lew disoal-siasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman susulan laporan yang difailkan oleh seorang pegawai saya.

“Siasatan dalaman juga mendapati tidak ada pegawai saya, pentadbiran mahupun politik, membuat laporan polis, walaupun atas kapasiti peribadi.

“Pihak saya turut difahamkan polis bertindak dalam bidang kuasa yang dibenarkan untuk memanggil Ustaz Ebit Lew memberikan apa-apa keterangan yang diperlukan bagi maksud tertentu walaupun tiada laporan difailkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mukhriz berkata pihaknya sedang mempertimbang untuk menyaman mana-mana pihak yang membuat tuduhan tersebut termasuk di media sosial yang menyebabkan namanya dan pentadbiran kerajaan negeri tercemar.

“Saya ingin menjelaskan di sini bahawa pentabiran kerajaan negeri Kedah tidak menyekat mana-mana pihak yang membuat kebajikan demi kesejahteraan masyarakat, asalkan ia mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan, termasuk peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan serta panduan penjagaan kesihatan bagi mengelak jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Lew yang bermurah hari membantu rakyat negeri jelapang padi itu.

Semalam, Lew mengumumkan menghentikan bantuan secara langsung kepada golongan memerlukan ketika PKP dikuat kuasakan, tetapi beliau akan terus membantu golongan tidak berkemampuan dengan memindahkan wang ke akaun mereka.

Beliau berbuat demikian selepas dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman semalam berhubung laporan pihak mempertikaikan bantuannya.

Lew sebelum ini aktif membantu individu memerlukan sejak PKP bermula 18 Mac lalu, termasuk memberikan pelbagai sumbangan kepada petugas barisan hadapan.

Beliau turut berkongsi catatan di Facebook mengenai kunjungannya ke sebuah rumah usang dan kotor dengan seorang lelaki warga emas ditemui terlantar, tetapi ada pihak mempersoalkan peranan pihak berkuasa seperti kerajaan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Negeri Kedah serta masyarakat sekeliling dalam membantu keluarga itu.

Katanya, beliau menggunakan wang sendiri sebanyak RM1 juta untuk membantu golongan memerlukan dan petugas barisan hadapan.

Saturday, February 29, 2020

'Bohong untuk jadi PM?' - Mukhriz persoal jumlah MP Bersatu sokong Muhyiddin


BERITA

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir mempersoalkan majoriti sokongan terhadap Muhyiddin Yassin, apabila bukan semua anggota parlimen Bersatu menyokong presiden parti itu sebagai perdana menteri.

Mukhriz berkata enam anggota parlimen Bersatu menyuarakan sokongan kepada Mahathir.

Selain beliau dan Mahathir sendiri, Mukhriz berkata anggota parlimen tersebut ialah Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Syed Saddiq (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah).

"Bagaimana diakui 36 anggota parlimen Bersatu menyokong Muhyiddin sebagai PM jika ada enam penyokong Mahathir?

"Bohong untuk jadi PM?" soal menteri besar Kedah itu di Facebook.

Hantaran itu turut disertakan dengan kenyataan media Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya yang menyatakan parti itu menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri dan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang "dihadiri oleh 36 ahli parlimen".

Bersatu hanya mempunyai 26 ahli parlimen sebelum 10 ahli parlimen yang meninggalkan PKR yang diketuai Mohamed Azmin Ali menyertai parti itu.

Bagaimanapun pengiraan Mukhriz itu mungkin tidak lagi relevan.

Terdahulu hari ini Maszlee mengisytiharkan sokongannya terhadap Mahathir.

Bagaimanapun tiga jam kemudian, Maszlee kemudian mengumumkan beliau bersyukur Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri.

Eddin pula pada mulanya dilaporkan sedang menuju ke Yayasan Albukhary, tempat pemimpin PH berkumpul, namun dilihat hadir ke kediaman Muhyiddin.

Saturday, July 13, 2019

BILA MUKHRIZ DIGELAR “MAT BLUR” OLEH PENYOKONG ANWAR



Pelik melihat reaksi berlebihan penyokong-penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap wawancara Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama Nikkei Asian Review.

Bila dilihat kepada kandungan wawancara tersebut, kenyataan Datuk Seri hanyalah bersifat biasa-biasa sahaja di mana apa yang disebut adalah:
“Saya tidak bercita-cita tinggi, saya tidak menetapkan matlamat bahawa saya mesti menjadi seorang perdana menteri satu hari nanti seperti yang dibuat oleh sesetengah orang lain.” (“I’m not really ambitious, I don’t set myself a course that I must become a prime minister one day as some other people do.”)

Kenyataan ini adalah kenyataan umum sahaja yang tidak merujuk kepada sebarang nama, apa lagi bila istilah yang digunakan adalah merujuk kepada bilangan yang banyak bukan hanya kepada seorang individu sahaja, iaitu “sesetengah orang lain” (“some other people”).

Amat mengejutkan juga bila kenyataan umum begini boleh mendorong Setiausaha Khas Datuk Seri Anwar, R Suresh Kumar, begitu terasa sekali hingga menyebut “warga PKR sangat sedih dan terkejut dengan wawancara (ini)” kerana “walaupun Mukhriz tidak menyebut nama Anwar, namun secara umum wawancara itu memberi perspektif bahawa Anwar semakin tamak untuk menjadi perdana menteri”.

Begitu juga bila ia boleh mendorong penyokong kuat Datuk Seri Anwar, Shahbudin Husin, begitu terasa sekali hingga boleh menyebut Datuk Seri Mukhriz “memang selalu “blur” dalam banyak perkara sehingga kerap digelar “Mat Blur” oleh mereka dalam BERSATU sendiri”, malah sehingga ke tahap memperlekehkan Datuk Seri Mukhriz dengan menyebut “kalau pun Mukhriz mengatakan beliau mahu menjadi Perdana Menteri, bukan saja pemimpin BERSATU sendiri akan berfikir lebih daripada sekali untuk menyokongnya, malah barangkali Tun Mahathir sendiri akan merenung wajah anaknya itu dengan lebih lama tanpa mengelipkan matanya”.

Penat sekali dengan pertikaian yang semacam tidak akan pernah habis ini.

Dr. Kamarul Yusoff

Azmin setuju dengan Mukhriz - tiada tempoh muktamad 2 tahun

Alyaa Alhadjri
Diterbitkan Hari ini 12:29 tengahari 


Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali hari ini membayangkan beliau setuju dengan kenyataan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir bahawa tiada persetujuan muktamad untuk peralihan kuasa berlaku dalam tempoh dua tahun.

Diminta mengulas kenyataan Mukhriz yang dilaporkan Nikkei Asian Review, Azmin tersenyum dan hanya berkata "setuju".

Beliau ditemui pemberita ketika mula beredar daripada Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, selepas melancarkan Graduan Aspire Career Fair hari ini.
Azmin ditanya sama ada beliau bersetuju bahawa tiada ketetapan muktamad bahawa Dr Mahathir Mohamad perlu menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun.

"Tiada perjanjian peralihan kuasa perlu berlaku dalam tempoh dua tahun.

"Mungkin ada cadangan seperti itu, tapi tiada yang dinyatakan di atas kertas atau perjanjian secara lisan," kata Mukhriz dua hari lalu seperti dipetik.

Dalam wawancara itu, Mukhriz juga berkata persetujuan umum dalam Pakatan Harapan ialah Mahathir perlu diberikan masa untuk meperbaiki masalah ekonomi negara sebelum berundur.

Terdahulu, Azmin bercakap kepada pemberita mengenai isu-isu ekonomi dan acara hari ini.

Beliau kemudian berhenti sebelum ditanya berkenaan perkara lain dalam perjalanan ke keretanya.

Friday, July 12, 2019

'Wawancara Mukhriz beri gambaran Anwar tamak kuasa'

B Nantha Kumar
Diterbitkan Hari ini 2:49 tengahari


Wawancara Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir bersama Nikkei Asian Review memberikan gambaran Anwar Ibrahim tamak kuasa, meski pun nama MP Port Dickson itu tidak disebut, kata Setiausaha Khas Presiden PKR, R Suresh Kumar.

Menyifatkan wawancara anak perdana menteri itu menyasarkan 'serangan' terhadap Anwar Ibrahim, Suresh Kumar meminta Mukhriz supaya menghormati permuafakatan dalam PH apabila memberi kenyataan pada masa akan datang.

"Kami warga PKR sangat sedih dan terkejut dengan wawancara Mukhriz yang berkata bahawa dia tidak bercita-cita tinggi seperti individu lain yang sudah menetapkan tekad untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.

"Walaupun, Mukhriz tidak menyebut nama Anwar, namun secara umum wawancara itu memberi perspektif bahawa Anwar semakin tamak untuk menjadi perdana menteri," katanya kepada Malaysiakini.

Pegawai presiden PKR berkata pendapat peribadi MP Jerlun itu yang menyebut "tidak bercita-cita menjadi perdana menteri" itu dihormati tetapi Mukhriz tidak perlu memperkecilkan orang lain untuk mengangkat dirinya sendiri.

"Anwar tidak pernah tamak atau menetapkan tekad menjadi perdana menteri. Ia adalah satu keputusan diambil oleh Pakatan sejak PRU12 yang lalu."

"Kalau, Anwar tamak kuasa, saya percaya Anwar boleh mengambil peluang selepas jawatan perdana menteri ditawarkan kepada Kak Wan (Dr Wan Azizah Wan Ismail)," katanya lagi.

Menurut Suresh Kumar, menjadi pengetahuan umum, selepas PH menang pada PRU14, Wan Azizah ditawarkan menjadi perdana menteri.

"Tapi, Wan Azizah dan Anwar bersama-sama menolak tawaran tersebut dan mencadangkan Tun M (Dr Mahathir Mohamad) sebagai perdana menteri kerana itu adalah telah dipersetujui dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan walaupun tiada dinyatakan di atas kertas.

"Ia cuma perjanjian secara lisan. Dan kami (PKR) menghormati perjanjian tersebut. Harap saudara Mukhriz membuat yang sama," katanya lagi.

Suresh Kumar berkata hubungan presiden PKR dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad masih akrab.

Terdahulu, Mukhriz berkata bersedia untuk menggalas tugas yang lebih besar dalam pentadbiran kerajaan persekutuan namun tidak semestinya sebagai perdana menteri.

"Saya terbuka (untuk berkhidmat di peringkat persekutuan) dan ia sebenarnya bergantung kepada kepimpinan ketika itu sama ada saya yang terbaik," katanya dalam wawancara bersama Nikkei Asian Review.

Mukhriz berkata beliau tidak bercita-cita tinggi seperti individu lain yang sudah menetapkan tekad untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.

"Saya tidak terlalu bercita-cita tinggi, saya tidak tetapkan bahawa saya mesti menjadi perdana menteri satu hari nanti seperti yang dilakukan orang lain," katanya tanpa menyebutkan nama khusus.

Menteri besar Kedah itu juga berkata beliau tidak akan berkhidmat dengan tanggapan bahawa suatu hari nanti akan menjadi perdana menteri.

"Saya tidak akan cuba angkat diri sendiri seolah-olah saya sudah ditetapkan perlu menjadi perdana menteri suatu hari nanti," katanya.

Mukhriz, 54, juga berkata tiada garis masa tertentu yang dipersetujui bapanya, yang meraikan hari lahir ke 94 semalam, untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Tiada perjanjian peralihan kuasa perlu berlaku dalam tempoh dua tahun.

"Mungkin ada cadangan seperti itu, tapi tiada yang dinyatakan di atas kertas atau perjanjian secara lisan," katanya.

Sementara itu, Suresh Kumar memberitahu hubungan PKR dan Bersatu masih baik.

"Saya rasa ia cuma pandangan peribadi Mukhriz. Bukan pendirian parti Bersatu.

"Sebab, saya masih nampak banyak pemimpin dan ahli Bersatu datang bertemu Anwar dan menyatakan sokongan bakal perdana menteri negara ini," jelasnya.

Untuk rekod, menjelang PRU-14, dilaporkan ada persetujuan dalam kalangan pimpinan PH supaya Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri selama dua tahun sebelum digantikan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-