Sunday, October 30, 2022

Naib Presiden Bersatu, Rafiq keluar parti

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli
-October 30, 2022 4:29 PM
Sebelum ini, Mohd Rafiq Naizamohideen antara nama yang disebut-sebut bakal mewakili PN di kerusi Parlimen Tangga Batu pada PRU15.

PETALING JAYA: Naib Presiden Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen mengumumkan keluar parti serta-merta kerana kecewa tidak dapat bertanding di kerusi Parlimen Tangga Batu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Walaupun Perikatan Nasional (PN) belum membuat sebarang pengumuman, tetapi PAS Melaka semalam berkata, ia akan meletakkan calon di Parlimen Tangga Batu dan Jasin pada PRU15.

Sebelum ini, Rafiq yang juga bekas ADUN Paya Rumput dan ketua Bersatu Bahagian Tangga Batu antara nama yang disebut-sebut bakal mewakili PN di kerusi Parlimen itu.

Rafiq berkata, beliau sedih kerana segala usahanya di Tangga Batu seperti tidak hargai parti.

Beliau berkata, surat peletakan semua jawatannya dalam Bersatu dan PN sudah dihantar kepada Presidennya, Muhyiddin Yassin.

Katanya, sebelum ini beliau dijanjikan akan bertanding di kerusi Tangga Batu, tetapi kecewa apabila dimaklumkan dirinya akan dicalonkan di Parlimen Bagan Datuk.

“Beberapa hari lepas, saya dihubungi Timbalan Pengerusi Bersatu (Ahmad Faizal Azumu) memaklumkan tak dicalonkan dan ditawarkan bertanding beberapa kerusi alternatif lain, termasuk di Bagan Datuk yang ditandingi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya rasa sedih segala usaha, khidmat selama enam tahun di Tangga Batu tak dinilai secara adil,” katanya sambil menambah beliau merasakan struktur Bersatu tidak akan dihormati ahli lagi.

Pada pilihan raya negeri Melaka November 2021, Rafiq yang berpindah dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput ke Telok Mas, tewas dalam saingan empat penjuru kepada calon Barisan Nasional, Abdul Razak Abdul Rahman yang menang dengan majoriti 2,076 undi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-