Sunday, October 9, 2022

Renung kembali perjuangan Nabi Muhammad bangun tamadun melalui kepimpinan terpuji

satuberita.my
By SatuBerita
-October 9, 2022
UMAT Islam diajak merenung kembali sejarah perjalanan hidup dan perjuangan baginda dalam menegakkan Islam dan membangunkan tamadun manusia melalui kepimpinan terpuji.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sempena sambutan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW, umat Islam juga dituntut memperbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda, ahli keluarga dan para sahabat.

“Sempena sambutan ulang tahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada setiap 12 Rabiulawal, marilah kita sama-sama merenung kembali sejarah perjalanan hidup dan perjuangan baginda dalam menegakkan Islam dan membangunkan tamadun manusia melalui kepimpinan terpuji.

“Kita dituntut memperbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda SAW, ahli keluarga dan para sahabatnya serta berdoa semoga kita termasuk dalam golongan orang yang mendapat syafaat Baginda di akhirat kelak.

“Selamat menyambut Maulidur Rasul 1444 Hijrah kepada seluruh umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan sempena Sambutan Maulidur Rasul hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, bagi meningkatkan rasa kasih dan sayang kepada Nabi Muhammad, umat Islam dituntut mempelajari sirah dan keperibadian Baginda, mengambil ibrah atau pengajaran, mengamalkan sunah-sunahnya dan menjadikannya sebagai pedoman dalam menjalani kehidupan seharian.

“Segala amalan ini akan menyuburkan rasa cinta dan kasih kepada baginda Rasulullah SAW di samping mengukuhkan lagi silaturrahim sesama kita.

“Semoga setiap amalan kita diterima Allah dan kehidupan kita senantiasa dalam lindungan-Nya, insya-Allah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-