Showing posts with label Nabi Muhammad SAW. Show all posts
Showing posts with label Nabi Muhammad SAW. Show all posts

Sunday, October 9, 2022

Renung kembali perjuangan Nabi Muhammad bangun tamadun melalui kepimpinan terpuji

satuberita.my
By SatuBerita
-October 9, 2022
UMAT Islam diajak merenung kembali sejarah perjalanan hidup dan perjuangan baginda dalam menegakkan Islam dan membangunkan tamadun manusia melalui kepimpinan terpuji.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sempena sambutan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW, umat Islam juga dituntut memperbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda, ahli keluarga dan para sahabat.

“Sempena sambutan ulang tahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada setiap 12 Rabiulawal, marilah kita sama-sama merenung kembali sejarah perjalanan hidup dan perjuangan baginda dalam menegakkan Islam dan membangunkan tamadun manusia melalui kepimpinan terpuji.

“Kita dituntut memperbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda SAW, ahli keluarga dan para sahabatnya serta berdoa semoga kita termasuk dalam golongan orang yang mendapat syafaat Baginda di akhirat kelak.

“Selamat menyambut Maulidur Rasul 1444 Hijrah kepada seluruh umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan sempena Sambutan Maulidur Rasul hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, bagi meningkatkan rasa kasih dan sayang kepada Nabi Muhammad, umat Islam dituntut mempelajari sirah dan keperibadian Baginda, mengambil ibrah atau pengajaran, mengamalkan sunah-sunahnya dan menjadikannya sebagai pedoman dalam menjalani kehidupan seharian.

“Segala amalan ini akan menyuburkan rasa cinta dan kasih kepada baginda Rasulullah SAW di samping mengukuhkan lagi silaturrahim sesama kita.

“Semoga setiap amalan kita diterima Allah dan kehidupan kita senantiasa dalam lindungan-Nya, insya-Allah,” katanya.

Sunday, December 16, 2018

Pernahkah Nabi Tak Tunai Janji, Mufti Perlis Soal Khalid Samad

SUARA TV
Nur Effy
Suara Tanpa Sempadan
December 16, 2018


SHAH ALAM – Kenyataan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad yang mendakwa Nabi Muhammad SAW juga pernah tidak menunaikan janji, benar-benar mencetuskan suasana yang hangat.

Selepas dikritik pelbagai pihak, kini giliran Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula menegur Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Mohd Asri berkata, Khalid sewajarnya menjaga ungkapan serta menyemak dengan teliti nas-nas atau riwayat khususnya apabila mahu berbicara mengenai Rasulullah SAW.

“Berhubung dengan isu apakah Pesuruh Allah Nabi Muhammad SAW pernah terpaksa tidak menunaikan janji baginda untuk membawa para sahabat umrah semasa tahun Perjanjian Hudaibiyah?

“Pertamanya hendaklah kita yakin Nabi Muhammad SAW tidak pernah mungkir janji. Ya, baginda memang pernah berjanji ataupun memberitahu bahawa baginda dan para sahabat akan dapat bertawaf di Ka’abah.

“Namun, baginda tidak pernah memberitahu tahun tertentu.

“Ertinya, tiada sebarang janji Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa itu yang tidak tertunai. Bahkan janji baginda tertunai di mana selepas itu baginda dan para sahabat kembali semula menunaikan umrah,” katanya dalam satu menyataan di Facebook.

Terdahulu, Khalid ketika sesi penggulungan di Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Hotel Casuarina, Ipoh hari ini mendakwa Nabi Muhammad SAW juga pernah tidak dapat menunaikan janjinya, apatah lagi manusia.

Kata-katanya itu adalah merujuk kepada situasi di mana kerajaan PH sehingga hari ini masih gagal melaksanakan manifesto mereka selepas pilihan raya yang lalu.

Justeru kata Mohd Asri, mana-mana pihak dinasihatkan agar lebih berhati-hati apabila berbicara tentang Rasulullah SAW.

Tambahnya, kekhilafan dalam perkara tersebut boleh menyebabkan kesalahfahaman di kalangan umat Islam dan bukan Islam.

“Ada akidah yang mesti kita percaya bahawa baginda hanya berjanji apa yang Allah khabar kepada baginda. Mustahil Allah mewahyukan sesuatu janji kemudian tidak dapat berlaku.

“Di samping itu, hendaklah kita tahu bahawa di zaman ini dan dalam negara kita ada muslim yang kurang berpengetahuan dan masyarakat bukan muslim yang boleh tersalah faham terhadap Nabi kita Muhammad SAW jika kita tersalah memberikan maklumat.

“Bagi pihak yang tersilap atau tersasul, sila betulkan kenyataan dalam hal berkenaan. Semoga Allah bimbing kita semua,” katanya lagi.

-SuaraTv

Friday, September 1, 2017

Jemaah Haji Malaysia doakan negara stabil, sejahtera

ARAFAH: Jemaah haji Malaysia yang menjalani ibadah wukuf di Arafah pada Khamis, mendoakan supaya Malaysia kekal dengan nikmat kestabilan, kesejahteraan dan keselamatan. Pic: Bernama

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika membacakan doa berkenaan, sambil diaminkan jemaah haji Malaysia, turut berharap Malaysia serta pemimpin negara dilindungi daripada segala keburukan dan keaiban.

"Hindarilah kami daripada segala kemungkaran dan kemaksiatan. Pimpinlah kami sekalian ke jalan yang engkau (Allah) reda buat selama-lamanya," katanya semasa membacakan doa selepas menyampaikan khutbah Arafah pada hari wukuf, Khamis.

Turut hadir Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Seri Johan Abdullah dan Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Dalam doa tersebut turut dipohonkan supaya rakyat Malaysia dan pemimpin negara dikurniakan sifat terpuji.
"Hiasilah diri kami dengan akhlak kesopanan yang tinggi, tanamkanlah ke dalam jiwa kami rasa rendah diri," pintanya.

Rakyat Malaysia juga diminta menzahirkan kesyukuran atas nikmat pembangunan dan kemerdekaan Malaysia.

"Kekalkanlah pembangunan yang telah kami laksanakan sama ada yang berbentuk material atau spiritual (kerohanian). Martabatkanlah negara kami dan seluruh rakyat dengan kemuliaan di sisi-Mu Allah," mohonnya.

Jemaah haji Malaysia turut bersyukur dengan kemajuan yang diperoleh itu hasil kemerdekaan dan kebijaksanaan pemimpin yang dianugerahkan oleh Allah SWT.

"Hindarkanlah kami daripada segala rupa bentuk kemungkaran dan kemaksiatan, peliharalah kami daripada segala bencana. Kurniakanlah kami dengan hikmah dan kebijaksanaan serta ketajaman fikiran agar kami (rakyat) dapat terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara," mohon beliau.

Terdahulu, Asyraf Wajdi menyampaikan khutbah Arafah di salah satu maktab perkhemahan jemaah haji Malaysia. Khutbah Arafah juga dibacakan serentak oleh beberapa tokoh agama di 13 lagi maktab perkhemahan pada hari wukuf itu.

Dalam khutbah itu, Asyraf Wajdi berkata kekuatan sesebuah negara hanya akan berada di puncak kejayaan apabila perpaduan dan kesatuan dijaga sebaiknya mengikut apa disabdakan Nabi Muhammad SAW dalam khutbah Wada' di Arafah.

Beliau berkata khutbah Arafah itu membawa umat Islam mengingati akan bagaimana jatuh dan bangunnya sesebuah kerajaan Islam serta mereka perlu bermuhasabah diri bahawa segala perkara tersebut terjadi disebabkan diri mereka sendiri.

Katanya khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di Arafah, harus dihayati oleh umat Islam pada hari ini agar meresap dalam jiwa mereka.

Wukuf adalah rukun haji yang dilakukan dengan seluruh jemaah berada di padang Arafah pada satu waktu yang sama iaitu mulai tergelincirnya matahari (waktu Zuhur) pada 9 Zulhijjah (31 Ogos) sehingga sebelum fajar pada 10 Zulhijjah.

Dianggarkan lebih dua juta umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di Arafah untuk menjalani ibadah wukuf, rukun yang jika ditinggalkan menyebabkan haji tidak sah. Cara pelaksanaan ibadah wukuf ini adalah dengan berdiam diri (dan berdoa) di padang luas di sebelah timur luar kota Makkah.

Pada hari wukuf itu juga lebih 1,000 jemaah haji Malaysia mengambil bahagian dalam majlis khatam al-Quran sempena World#QuranHour 2017.

- Bernama

Saturday, January 3, 2015

Contohi sifat amanah Rasulullah dalam pentadbiran - Azizah

KUALA LUMPUR 3 JAN: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru pemimpin Islam di negara ini agar mencontohi sifat amanah yang ditunjukkan junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad saw.

Dalam peruntusan khas sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, Azizah turut menggesa pemimpin umat Islam supaya menjauhi rasuah yang boleh merosakkan negara.


“Di dalam pemerintahan, kita harus mencontohi sifat Rasulullah iaitu amanah. Kita harus telus, berhemah dan bertangggungjawab.

“Kita juga harus berusaha mengelak dan menghapuskan segala unsur-unsur rasuah yang boleh merosakkan pentadbiran kita,” katanya.

Beliau menyifatkan Muhammad sebagai seorang reformis agung yang berjaya mengubah dunia dengan pengembangan dakwah Islam, meliputi dua pertiga dunia.

“Mesej yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w amat jelas, iaitu baginda membawa rahmat kepada seluruh alam, meliputi semua umat manusia yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang, bangsa dan agama,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu turut menyeru pemimpin umat Islam di seluruh dunia agar bermuhasabah dan kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan konflik yang melanda dunia Islam.

Katanya, umat Islam mutakhir ini menghadapi pertembungan fikrah, apabila masih terdapat mereka yang tidak memahami contoh dan akhlak baik yang dibawa Nabi.

“Akibatnya, peperangan, pembunuhan dan kezaliman terus berlaku di Syria, Iraq, Mesir dan beberapa negara lain.

“Mereka hanya menamakan diri mereka kumpulan Islam, tetapi sayangnya mereka melakukan tindakan yang bercanggah dengan ajaran Nabi Muhammad s.a.w,” ujarnya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-