Thursday, October 6, 2022

‘Tarikh bubar Parlimen tidak dibincangkan’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 6, 2022 6:41 PM
Tarikh pembubaran Dewan Rakyat tidak dibincangkan semasa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Perkara itu disahkan oleh sumber yang rapat dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan disokong oleh maklumat yang diperoleh Malaysiakini daripada pihak istana.

Ketika ditanya jika tarikh pembubaran dibincangkan dengan Seri Paduka, sumber PMO menjawab ringkas:

"Tak dibincangkan".

Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin memberitahu Malaysiakini bahawa majlis menghadap hari ini hanyalah taklimat pra-kabinet.

“Hari ni cuma (taklimat) pra-kabinet. Isu-isu pra-kabinet, mesyuarat mingguan,” katanya ketika dihubungi.

Sambil berkata dia tidak mengetahui setiap perincian perkara yang dibincangkan, Ahmad Fadil juga berkata pihak istana tidak menerima sebarang titah berhubung pembubaran Parlimen.

“Tuanku tak titah buat statem apa-apa kenyataan,” katanya sambil menambah ini berkemungkinan bermakna kerajaan akan meneruskan pentadbirannya seperti biasa dan membentangkan Bajet 2023 esok.

Ismail Sabri sebelum ini berkata dia akan membincangkan perkara itu dengan Yang di-Pertuan Agong sekiranya mempunyai masa untuk berbuat demikian.

Umno pada Jumaat lalu memutuskan bahawa pilihan raya umum akan datang mesti diadakan tahun ini, dan Ismail Sabri akan memohon perkenaan Seri Paduka untuk membubarkan Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Spekulasi bertiup kencang bahawa perdana menteri akan membubarkan Parlimen sebelum bajet dibentangkan.

Ismail Sabri selaku naib presiden Umno kini dilaporkan di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, dan sedang mengadakan perbincangan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin parti lain.

[Berita penuh menyusul]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-