Thursday, October 6, 2022

PM selesai menghadap Agong, isu bubar parlimen terus menjadi teka-teki

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 6, 2022 5:37 PM
Persoalan sama ada parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat terus menjadi teka-teki selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan Istana Negara.

Ismail sebelum itu menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan kira-kira sejam.

Ismail melambai kepada media apabila memasuki perkarangan istana kira-kira jam 3.49 petang.

Bagaimanapun, Ismail dan rombongan pengiringnya tidak berhenti bercakap kepada media ketika meninggalkan istana kira-kira jam 4.45 petang.

Terdahulu, Ismail berkata perkara berkaitan pembubaran parlimen akan dibincangkan semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hanya jika masa mengizinkan.

Anggota media mula berkampung di luar pintu pagar istana seawal jam 7.30 pagi berikutan laporan Ismail akan menemui Baginda petang ini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pagi tadi melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN).

Lawatan itu berlangsung ketika Umno terus mendesak agar Ismail membubarkan parlimen dengan segera.

Bagaimanapun, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) menyokong pilihan raya umum (PRU) ke-15 diadakan hanya selepas musim tengkujuh timur laut, yang berlangsung dari November hingga Mac.

Dalam lawatan itu, dilaporkan bahawa Agong diberi taklimat mengenai cuaca akhir tahun dan situasi banjir oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-