Wednesday, October 19, 2022

UMNO sudah jadi parti pentingkan individu, bukan rakyat: Musa Hitam

agendaily.com
19/10/2022
Tokoh politik veteran yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO Tun Musa Hitam.

Tokoh politik veteran Tun Musa Hitam berpendapat UMNO kini berubah daripada parti nasionalisme kepada materialisme serta mementingkan individu tertentu semata-mata, menenggelamkan kepentingan rakyat.

Malah, beliau juga berpendapat UMNO tidak akan mampu menubuhkan kerajaan dan mungkin menjadi parti minoriti selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Menurutnya daripada sebuah parti yang penuh semangat nasionalisme sebelum ini UMNO telah menjadi sebuah parti materialisme dan mementingkan individu semata-mata.

“Pada pendapat saya UMNO tidak akan mampu tubuhkan kerajaan dan mungkin jadi minoriti selepas ini, ” katanya pada Program Bicara Tokoh: Kecelaruan Politik Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Johor, di Kota Tinggi, semalam (Selasa, 18 Oktober 2022).

Menurutnya UMNO kini dilihat sedang menghadapi dilema dan krisis kepimpinan paling buruk pernah dihadapi parti itu.

“Kita harus sedar hakikat daripada sebuah parti politik yang penuh semangat nasionalisme, kini budaya baharu parti telah bertukar kepada nafsu materialisme, kekayaan dan kepentingan individu semata-mata.

“Kepentingan masyarakat kini tenggelam dan tidak menjadi keutamaan lagi. UMNO juga sedang menghadapi krisis kepimpinan… yang tak pernah dihadapinya,” katanya menurut laporan BH hari ini.

Bekas Timbalan Presiden UMNO itu berpendapat, ahli UMNO harus bangkit menentukan arah tuju parti itu selepas ini, dan bukannya berdiam diri untuk menyelamatkan kedudukan masing-masing.

“Jika kita tak buat sesuatu dan tak pandai memilih, hanya guna emosi dan sentimen sahaja atau kita terus guna kekayaan dan wang demi meraih kuasa macam dulu. Maka akan habislah hayat dan riwayat UMNO selepas ditolak rakyat,” kata Musa.

Mengenai PRU-15, beliau berpendapat tidak ada satu pun gabungan benar-benar yakin

Menurutnya hasil analisis dan pemerhatiannya mendapati semua parti mengambil sikap berhati-hati dan tidak yakin nasib mereka.

“Pada saya semuanya (parti) takut dan tidak tahu kemungkinan bakal berlaku. Ia berikutan keadaan politik negara yang berada dalam kecelaruan malah rakyat juga menjadi celaru dan keliru.

“Keadaan sekarang ini, setiap parti pun tidak begitu pasti apa hasilnya (PRU-15) dan bagaimana rakyat akan buat pilihan nanti. Semua parti juga saya lihat masih ambil sikap tunggu dan lihat. Selepas keputusan PRU-15 barulah mereka akan mengorak langkah masing-masing,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-