Thursday, November 24, 2022

Anwar mungkin angkat sumpah PM ke-10 petang esok, kata Salahuddin

freemalaysiatoday.com
Shahrul Shahabudin dan Dineskumar Ragu
-November 23, 2022 11:49 PM
Salahuddin Ayub berkata, Anwar Ibrahim berpeluang diangkat menjadi perdana menteri ke-10 kerana akur titah Agong supaya diwujudkan kerajaan perpaduan.

KULIM: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dijangka mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 petang esok selepas selesai mesyuarat Majlis Raja-Raja, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Katanya, keyakinan itu susulan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menitahkan supaya diwujudkan satu kerajaan perpaduan bagi di mana ia tidak menjadi masalah buat PH, manakala di pihak PN, cadangan itu ditolak pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

“Dalam sidang akhbar, dalam kenyataan yang diberikan oleh pengerusi PN, semua rakyat Malaysia yang menyaksikan ucapan beliau yang boleh kita anggap penuh kesombongan. Beliau menolak kerajaan campuran yang disyorkan oleh Agong.

“Pada pandangan saya, Muhyiddin Yassin mewakili PN tidak ada kemungkinan dalam radar ini memungkinan DSAI (Anwar) berpeluang untuk jadi PM ke-10.

“Perkara ini saudara sekalian akan barangkali diumumkan pada petang esok selepas Mesyuarat Raja-Raja Melayu yang diadakan pada sebelah pagi esok. Kemungkinan besar pengumuman oleh Agong pada sebelah petang. PM ke-10 insyaAllah akan mengangkat sumpah pada malam esok atau selewat-lewatnya pada awal pagi esok,” katanya selepas mengumumkan calon PH bagi kerusi Parlimen Padang Serai.

Salahuddin berkata, pimpinan utama PH sedang berusaha di saat akhir bagi memastikan pelantikan Anwar sebagai perdana menteri berjalan lancar.

Sehubungan dengan itu, beliau juga turut mengingatkan pengundi di Padang Serai agar memberikan sokongan kepada PH bagi mengukuhkan sokongan kepada Anwar di Parlimen sekiranya beliau menjadi perdana menteri.

“Penambahan kerusi di Padang Serai menjadi sangat penting kerana kalau Anwar dilantik menjadi perdana menteri kesepuluh, perlu tambahan kerusi di Padang Serai supaya dapat majoriti yang lebih kukuh di Parlimen,” katanya.

Beliau juga turut menjelaskan kepada pengundi di Padang Serai bahawa kemenangan PH di kerusi tersebut juga penting bagi memberikan isyarat bahawa pengundi berbilang kaum di sana menolak fahaman perkauman yang dibawa oleh PN.

Pilihan raya bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH, M Karupaiya disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 16 Nov lalu.

Beliau merupakan bekas ahli Parlimen Padang Serai sejak tahun 2018 selepas memenangi kerusi tersebut pada PRU 14 dengan mengatasi calon BN, Leong Yong Kong dan calon PAS, Muhammad Sobri Osman dengan majoriti 8,813 undi.

Proses penamaan calon akan dijalankan esok di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech pada jam 9.00 pagi sehingga 10.00 pagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-