Wednesday, November 30, 2022

Dari segi moral Tok Mat lebih sesuai jadi TPM, kata Penganalisis politik

agendaily.com
30/11/2022
Dr Syed Agil Alsagoff berpendapat Datuk Seri Mohamad Hasan lebih layak diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri berbanding Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan lebih layak menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) jika diperhatikan dari sudut moral, berbanding presiden parti itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kata penganalisis dan pemerhati politik

Ini kerana majoriti undi beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu di Parlimen Rembau meningkat sebanyak 15,533 undi, berbanding yang diperoleh penyandang terdahulu Khairy Jamaluddin, manakala Zahid pula menurun sebanyak 4,725 undi.

“Berdasarkan pencapaian peribadi kedua-dua tokoh ini, maka ramai berpendapat, dari sudut moral adalah lebih bagus untuk UMNO memilih Mohamad sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

“Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Mohamad juga menunjukkan prestasi gemilang mengemudi parti sebagai satu-satunya negeri mempertahankan dan merampas kerusi dimiliki oleh lawan UMNO walaupun di semua negeri lain kerusi UMNO merudum.

“Zahid menang dengan majoriti 348 undi di Parlimen Bagan Datuk berbanding majoriti 5,073 undi di kerusi sama dalam PRU-14,” kata Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media & Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff.

Beliau turut mengimbau kembali ketika PRU-14 apabila Barisan Nasional (BN) melalui UMNO hanya menang tiga kerusi di Negeri Sembilan, iaitu Parlimen Jelebu dengan majoriti 2,045 undi oleh Datuk Seri Jalaluddin Alias; Parlimen Jempol dengan majoriti 1,631 undi (Datuk Salim Sharif) dan Parlimen Rembau dengan majoriti 4,364 undi (Khairy).

Namun, katanya pada PRU-15, ketiga-tiga kerusi ini dipertahankan oleh UMNO dengan majoriti undi lebih baik di mana Parlimen Jelebu dengan majoriti 8,125 undi (Jalaluddin), Parlimen Jempol (majoriti 5,857 undi – Datuk Shamshulkahar Mohd Deli) dan Parlimen Rembau (majoriti 19,897 undi Mohamad).

Malah, Dr Syed Agil berkata dalam PRU-15, UMNO merampas kerusi dimiliki lawan iaitu di Parlimen Kuala Pilah melalui Datuk Adnan Abu Hassan dan Parlimen Tampin melalui Datuk Mohd Isam Mohd. Isa.

“Menarik untuk diperhatikan, walaupun empat daripada lima calon UMNO tersebut adalah muka baharu, kesemuanya menang selesa tidak seperti di kerusi-kerusi di negeri- negeri lain yang muka-muka baharu diturunkan kecundang teruk.

“Oleh itu, pastilah Mohamad mempunyai kelebihan tertentu sehingga berjaya mengemudi UMNO Negeri Sembilan menunjukkan prestasi cemerlang dalam PRU-15 walaupun di negeri-negeri lain gelombang undi Melayu dikatakan menuju ke Perikatan Nasional,” katanya menurut Utusan.

Menurutnya kewibawaan Mohamad mengemudi UMNO negeri ini pastilah boleh dihubungkan dengan prestasi amat bagus yang beliau tunjukkan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari 25 Mac 2004 sehingga 9 Mei 2018.

Katanya dalam tempoh pentadbirannya, Negeri Sembilan mencatatkan pertumbuhan sosioekonomi yang pesat dan kesan positifnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat. Ekonomi negeri yang berasaskan pertanian berjaya ditukar kepada pembuatan melalui pengwujudan beberapa taman industri.

Selain itu, Dr Syed Agil berkata dalam konteks janji dan tuntutan pelbagai pihak supaya Kabinet kerajaan perpaduan dibarisi tokoh-tokoh yang tidak mempunyai apa-apa kes mahkamah, maka amat tepat sekali jika Mohamad dinamakan sebagai TPM mewakili BN, setidak-tidaknya sehingga Zahid dibebaskan daripada semua pertuduhan.

“Begitu juga latar belakang Mohamad yang teguh dalam bidang ekonomi, dengan pengalaman di Bank Negara Malaysia, Malayan Banking Berhad, Arab Malaysian Merchant Bank Berhad, Bank Bumiputra Malaysia Berhad, serta pendedahan korporat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Cold Storage Malaysia Berhad dan Pengarah Urusan Cycle and Carriage Bintang Berhad, pastilah akan memberikan beliau aset besar untuk membantu memulihkan ekonomi negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-