Showing posts with label TPM. Show all posts
Showing posts with label TPM. Show all posts

Sunday, December 4, 2022

Tengoklah nanti apa jadi pada kes mahkamah Zahid, kata Wan Saiful

agendadaily.com
41/2/2022
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 Tahun 2022 Persatuan Kebajikan Veteran 9 Rejimen Renjer Diraja (PKV 9 RRD) di Mardi Seberang Perai, semalam (3 Disember 2022).

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan mengajak rakyat memerhati dan meneliti apa yang akan berlaku kepada kes-kes yang dihadapi Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi setelah dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Menurutnya pelantikan Zahid itu mencetuskan kebimbangan ramai berkaitan pelbagai pertuduhan dihadapinya, termasuk rasuah.

Untuk rekod, perbicaraan kes rasuah Zahid yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) ditangguhkan ke Januari tahun depan sementara menunggu rayuan berhubung keputusan kenyataan saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan 21 hari untuk perbicaraan iaitu 16 hingga 19 Januari; 30 hingga 31 Januari; 7 hingga 9 Februari; 27 hingga 30 Mac; 10 hingga 13 April; dan 15 hingga 18 Mei.

Zahid, 69, mula dibicarakan pada 18 November 2019 terhadap 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.

Pada 23 Januari lalu, Hakim Sequerah memerintahkan Zahid membela diri terhadap semua tuduhan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata berbeza dengan Perikatan Nasional yang hanya menerima sokongan daripada mereka yang terpilih sahaja daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN), jika mendapat peluang membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Menurutnya, Perikatan Nasional tetap tegas menolak kluster mahkamah daripada awal menyertai kerajaan demi merealisasikan suara dan keinginan rakyat.

“Kita amat tegas, sebab kita hanya menerima sokongan daripada mereka yang terpilih sahaja dalam UMNO dan BN yang mana kluster mahkamah memang kita tolak. Jadi, kita tidak berbincang atau tidak menjemput semuanya yang dari awal kita ketepikan.

“Oleh sebab itu, kalau tengok sokongan atau akuan bersumpah (SD) yang kita dapat dari UMNO dan BN, hanya antara 10 hingga 15 orang. Apa pun, kini (kerajaan telah dibentuk dan Ahmad Zahid sudah dilantik), cuma kita bimbang apa akan berlaku pada kes-kes beliau.

“Kita tengoklah apa jadi nanti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 Tahun 2022 Persatuan Kebajikan Veteran 9 Rejimen Renjer Diraja (PKV 9 RRD) di Mardi Seberang Perai, semalam.

Wan Saiful berkata Kabinet yang dibentuk Anwar juga antara lain sebagai usaha untuk memperkukuhkan kedudukan Zahid dalam UMNO.

“Dalam UMNO sendiri ada kebangkitan untuk menolak mereka yang bergelumang dengan kes mahkamah, namun apa yang dilakukan Anwar ialah membantu Zahid dengan memperkukuhkan kedudukan Zahid dalam UMNO,” katanya.

Wan Saiful turut menyifatkan pembentukan Kabinet baharu sebagai ujian buat negara dan berharap rakyat dapat membuat penilaian terbaik.

“Saya sebenarnya salah seorang yang menyatakan bahawa saya gembira duduk di sebelah pembangkang dengan ‘our heads held up high’, maksudnya kita duduk di sebelah pembangkang yang bermaruah dan berwibawa.

“Jadi saya gembira dengan keadaan ini dan kalau sekiranya kita nak bentuk kerajaan pun biarlah kita bentuk atas dasar prinsip, bukan atas dasar menjual segala-galanya semata-mata untuk mendapatkan jawatan,” katanya.

Friday, December 2, 2022

Insya-Allah Zahid bakal jadi TPM, kata sumber Umno

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Dec 2, 2022 12:24 PM
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, hampir pasti menganggotai kabinet pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan jawatan sebagai timbalan perdana menteri.

Menurut sumber dalaman Umno, ahli Parlimen Bagan Datuk itu dicalonkan parti terbabit untuk memegang jawatan berkenaan selaras dengan kedudukannya selaku ketua parti.

"Hampir pasti presiden Umno akan jadi timbalan perdana menteri, insya-Allah. Itu saja saya boleh cakap," katanya kepada .

Jika ia menjadi kenyataan, Ahmad Zahid akan menjawat tugas sebagai timbalan perdana menteri buat kali kedua.

Kali pertama dia menjadi timbalan perdana menteri ialah semasa kerajaan dipimpin Najib Razak.

Sebelum ini, spekulasi memang sudah bertiup kencang dengan mengaitkan Ahmad Zahid sebagai timbalan Anwar selaras dengan peranan serta sokongan tokoh terbabit kepada presiden PKR itu menjadi perdana menteri.

Beberapa pemimpin Umno seperti Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii, turut berpendapat Ahmad Zahid wajar mendapat jawatan berkenaan bagi menstabilkan kerajaan.

Semalam bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa, berkongsi pandangan sama dengan merujuk kepada kedudukan Ahmad Zahid sebagai pemimpin tertinggi dalam hierarki parti.

Katanya, perdana menteri tidak boleh memandang enteng sokongan Umno yang membolehkan terbentuknya kerajaan perpaduan.

Pagi tadi perdana menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara dipercayai bagi mempersembahkan barisan kabinet kerajaan pimpinannya.

Senarai Kabinet dijangka akan diumumkan perdana menteri petang nanti selepas mendapat perkenan Agong.

Seorang lagi sumber yang rapat dengan presiden Umno turut mengesahkan Ahmad Zahid dicadangkan sebagai timbalan perdana menteri.

"Ya, nama presiden dicadangkan sebagai timbalan perdana menteri," katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, sumber memberitahu Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan turut ada dalam senarai kabinet Anwar.

Selain Mohamad turut dijangka mendapat tempat ialah Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Abdul Ghani.

Difahamkan BN akan mendapat lima jawatan menteri dan enam timbalan menteri.

Wednesday, November 30, 2022

Dari segi moral Tok Mat lebih sesuai jadi TPM, kata Penganalisis politik

agendaily.com
30/11/2022
Dr Syed Agil Alsagoff berpendapat Datuk Seri Mohamad Hasan lebih layak diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri berbanding Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan lebih layak menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) jika diperhatikan dari sudut moral, berbanding presiden parti itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kata penganalisis dan pemerhati politik

Ini kerana majoriti undi beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu di Parlimen Rembau meningkat sebanyak 15,533 undi, berbanding yang diperoleh penyandang terdahulu Khairy Jamaluddin, manakala Zahid pula menurun sebanyak 4,725 undi.

“Berdasarkan pencapaian peribadi kedua-dua tokoh ini, maka ramai berpendapat, dari sudut moral adalah lebih bagus untuk UMNO memilih Mohamad sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

“Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Mohamad juga menunjukkan prestasi gemilang mengemudi parti sebagai satu-satunya negeri mempertahankan dan merampas kerusi dimiliki oleh lawan UMNO walaupun di semua negeri lain kerusi UMNO merudum.

“Zahid menang dengan majoriti 348 undi di Parlimen Bagan Datuk berbanding majoriti 5,073 undi di kerusi sama dalam PRU-14,” kata Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media & Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff.

Beliau turut mengimbau kembali ketika PRU-14 apabila Barisan Nasional (BN) melalui UMNO hanya menang tiga kerusi di Negeri Sembilan, iaitu Parlimen Jelebu dengan majoriti 2,045 undi oleh Datuk Seri Jalaluddin Alias; Parlimen Jempol dengan majoriti 1,631 undi (Datuk Salim Sharif) dan Parlimen Rembau dengan majoriti 4,364 undi (Khairy).

Namun, katanya pada PRU-15, ketiga-tiga kerusi ini dipertahankan oleh UMNO dengan majoriti undi lebih baik di mana Parlimen Jelebu dengan majoriti 8,125 undi (Jalaluddin), Parlimen Jempol (majoriti 5,857 undi – Datuk Shamshulkahar Mohd Deli) dan Parlimen Rembau (majoriti 19,897 undi Mohamad).

Malah, Dr Syed Agil berkata dalam PRU-15, UMNO merampas kerusi dimiliki lawan iaitu di Parlimen Kuala Pilah melalui Datuk Adnan Abu Hassan dan Parlimen Tampin melalui Datuk Mohd Isam Mohd. Isa.

“Menarik untuk diperhatikan, walaupun empat daripada lima calon UMNO tersebut adalah muka baharu, kesemuanya menang selesa tidak seperti di kerusi-kerusi di negeri- negeri lain yang muka-muka baharu diturunkan kecundang teruk.

“Oleh itu, pastilah Mohamad mempunyai kelebihan tertentu sehingga berjaya mengemudi UMNO Negeri Sembilan menunjukkan prestasi cemerlang dalam PRU-15 walaupun di negeri-negeri lain gelombang undi Melayu dikatakan menuju ke Perikatan Nasional,” katanya menurut Utusan.

Menurutnya kewibawaan Mohamad mengemudi UMNO negeri ini pastilah boleh dihubungkan dengan prestasi amat bagus yang beliau tunjukkan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari 25 Mac 2004 sehingga 9 Mei 2018.

Katanya dalam tempoh pentadbirannya, Negeri Sembilan mencatatkan pertumbuhan sosioekonomi yang pesat dan kesan positifnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat. Ekonomi negeri yang berasaskan pertanian berjaya ditukar kepada pembuatan melalui pengwujudan beberapa taman industri.

Selain itu, Dr Syed Agil berkata dalam konteks janji dan tuntutan pelbagai pihak supaya Kabinet kerajaan perpaduan dibarisi tokoh-tokoh yang tidak mempunyai apa-apa kes mahkamah, maka amat tepat sekali jika Mohamad dinamakan sebagai TPM mewakili BN, setidak-tidaknya sehingga Zahid dibebaskan daripada semua pertuduhan.

“Begitu juga latar belakang Mohamad yang teguh dalam bidang ekonomi, dengan pengalaman di Bank Negara Malaysia, Malayan Banking Berhad, Arab Malaysian Merchant Bank Berhad, Bank Bumiputra Malaysia Berhad, serta pendedahan korporat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Cold Storage Malaysia Berhad dan Pengarah Urusan Cycle and Carriage Bintang Berhad, pastilah akan memberikan beliau aset besar untuk membantu memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Saturday, November 26, 2022

Calon TPM: Zahid layak ikut hierarki parti, kata ahli MKT Umno

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-November 26, 2022 12:30 PM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dicadang dilantik menjadi timbalan perdana menteri dalam pimpinan kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Razlan Rafii.

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi layak diangkat sebagai timbalan perdana menteri berdasarkan kedudukannya dalam hierarki parti, kata Ahli Majlis Kerja Tertingginya, Razlan Rafii.

Beliau berkata, keputusan mengenai pelantikan jawatan TPM itu perlu dibuat dengan ‘kembali’ kepada hierarki dan keputusan parti.

“Kita serah kepada parti, jika ikut hierarki parti, presiden akan jadi TPM. Semua pihak harus tenang dan kembali kepada hierarki dan keputusan parti,” lapor Berita Harian.

Mengulas berhubung kes mahkamah dihadapi Zahid, Rafii berkata, semua pihak harus adil dalam membuat penilaian.

“Jika nak kata presiden ada kes mahkamah, berbalik kepada apa yang dikatakan perdana menteri bahawa ia tidak diambil kira jika belum disabitkan kesalahan.

“Maksudnya, PH akan berbincang dengan parti komponen. Perdana menteri pastinya tahu ada beberapa pemimpin yang ‘diciptakan’ kesnya untuk pembunuhan karakter,” katanya.

Sebelum ini, nama Timbalan Presiden Umno Hasan disebut-sebut sebagai pemimpin paling sesuai menjadi TPM dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Antara yang menyebut Mohamad yang lebih dikenali ‘Tok Mat’ paling sesuai menjawat kedudukan itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Turut berpandangan sama ialah Exco Pemuda Umno Muhamad Muqharabbin Moktarrudin yang menyifatkan Ahli Parlimen Rembau itu layak atas kredibilitinya, apatah lagi pemimpin berkenaan diterima baik rakyat dan parti.

Pada masa sama, Razlan berkata, pihaknya yakin Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan berbincang dan merujuk kepada pimpinan parti komponen dalam kerajaan perpaduan bagi tujuan berkenaan.

Monday, October 24, 2022

Zahid janji tiga jawatan TPM, Ismail Sabri kata tunggu menang dulu

agendaily.com
24/10/2022
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan menjadi Perdana Menteri?

Barisan Nasional (BN) perlu menang terlebih dahulu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baharu isu berhubung tawaran tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) boleh dipertimbangkan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri kerajaan sementara itu mengulas berhbung kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang berkata tiga jawatan TPM akan diwujudkan yang terdiri daripada wakil negeri Sarawak dan Sabah jika berjaya menang PRU-15 nanti.

“Tak tahu lagi, biar kita menang PRU dulu. Kalau benda ini dalam manifesto, tentu sahaja kita pastikan ia dilaksanakan.

“Kita tunggu lepas menang dulu. Baru kita bincang,” katanya dipetik laporan media hari ini.

Jelasnya lagi, perkara dibangkitkan Zahid itu akan dibincangkan terlebih dahulu dan perlu menunggu sehingga tiba hari keputusan PRU-15.

“Tentu sahaja kalau teruskan dengan cadangan ini, manifesto kita ini, tentunya nama itu dari Sabah. Kalau wakil Sabah, tentunya Sabah bagi nama. Kalau wakil sarawak, kerajaan Sarawak akan bagi nama. Kita akan bincang.

“Tapi tunggu dulu lah. Biar undi kita dulu,” katanya lagi.

Semalam, Zahid mencadangkan gabungan itu melantik tiga TPM jika ia memenangi PRU pada 19 November.

Selain Zahid, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengutarakan cadangan yang hampir sama untuk mewujudkan jawatan TPM bagi mewakili negeri borneo tersebut.

Namun, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengkritik BN dan Pakatan Harapan (PH) kerana membuat janji untuk mewujudkan jawatan tersebut dan menyamakannya dengan tawaran “mi segera” untuk memenangi Sabah dan Sarawak.

Sunday, January 9, 2022

Hanya ahli parlimen Umno yang layak jadi TPM – Pemuda Umno

perakinsights.com
January 9, 2022 

Pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai sebahagian rombakan kabinet yang didakwa akan dilakukan dalam tempoh terdekat mestilah dalam kalangan ahli Parlimen UMNO.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Masri berkata, walaupun isu ini sekadar desas-desus, namun ahli Parlimen UMNO dirasakan lebih sesuai untuk menjawat jawatan nombor dua pentadbiran negara.

“Jadi, sekiranya spekulasi ini ternyata benar maka jawatan itu perlu datang daripada parti yang memiliki ramai ahli Parlimen yang berkelayakan dan berkemampuan, iaitu UMNO.

“Kita yakin Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO dapat bantu dengan ikhlas dan bersatu hati dalam kabinet Perdana Menteri berbanding parti lain,” katanya kepada Sinar Harian selepas Program Jom Gunting Rambut Percuma di Masjid Al-Rahmah Taman Wira, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata sedemikian ketika mengulas laporan sebuah media bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob dilapor akan melantik Timbalan Perdana Menteri yang baharu sebagai sebahagian rombakan Kabinet dalam masa terdekat.

Beliau menegaskan Perdana Menteri memerlukan ahli Parlimen UMNO yang memiliki banyak pengalaman sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri yang membantunya dalam mentadbir negara.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Alor Setar berpandangan, rombakan kabinet merupakan hak Perdana Menteri dan bukannya ketentuan parti.

Bagaimanapun, katanya, tumpuan seharusnya diberikan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang berbanding rombakan kabinet kerana menteri tidak menunjukkan prestasi yang baik.

Thursday, August 19, 2021

Setiausaha PAS Selangor kata syor Kit Siang mungkin cara komunis

agendadaily.com
19/8/2021

Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir mengingatkan Lim Kit Siang pemilihan Perdana Menteri bukan seperti pemilihan parti.

Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir menempelak pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang yang mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri (TMP), jika Perdana Menteri (PM) datang daripada gabungan parti politik berbeza.

“Demokrasi versi mana pula yang Kit Siang cadang ni? Calon PM datang dari parti dan kelompok yang berbeza. Bila undi kalah tiba-tiba cadang yang nombor dua dilantik jadi TPM,” katanya.

Sambil menyifatkan cadangan itu sebagai ‘ajaran sesat dalam demokrasi berparlimen’ beliau mengingatkan Kit Siang bahawa pemilihan PM bukan seperti pemilihan dalam parti.

“Mungkin itu amalan parti sosialis atau komunis tetapi dalam amalan demokrasi berparlimen kita tidak begitu, mustahil Kit Siang yang duduk berdekad-dekad dalam Parlimen tidak tahu,” katanya mengulas lanjut.

Hari ini de facto DAP itu mencadangkang pembentukan ‘kerajaan perpaduan’ dan ketua pembangkang itu dilantik menjadi TPM, jika hanya dua calon yang ada untuk mengisi jawatan PM.

“Sekiranya hanya ada dua nama untuk jawatan Perdana Menteri, seorang boleh dilantik sebagai Perdana Menteri dan seorang lagi sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk membentuk kabinet perang yang melibatkan semua kuasa politik di Parlimen untuk memenangi perang melawan penularan wabak Covid-19 sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 dalam masa 18 bulan,” kata Kit Siang dalam kenyataan hari ini.

Cadangan Kit Siang itu muncul tatkala Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar gagal meraih sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen (MP) bagi membolehkan beliau dilantik mengetuai kerajaan baharu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Persaingan bagi mendapatkan sokongan bagaimanapun tamat jam 4 petang semalam, setelah semua MP mengutuskan Surat Akuan Berkanun (SD) masing-masing yang menyatakan sokongan kepada seorang sahaja Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik ke jawatan Perdana Menteri, kepada Istana Negara.

Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua Ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada bekas TPM dalam Kabinet Muhyiddin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menghadap baginda hari ini untuk pengesahan, sekali gus menandakan Ahli Parlimen Bera itu memperoleh sokongan lebih ramai MP berbanding Anwar.

Mengulas lanjut, Roslan Shahir mencadangkan Kit Siang menasihatkan pemimpin di dalam PH supaya bertenang dan terus menjadi anggota pembangkang yang bertanggungjawab.

“Memandangkan calon PH sudah kalah dan gagal mengemukakan strong, formidable and convincing numbers, sebagaimana beliau sebelum ini dakwa ada, Kit Siang perlu ajak anak-anak didiknya agar bertenang, terima kekalahan dan menjadi anggota pembangkang yang bertanggungjawab.

“Cukup-cukuplah berpolitik. Izinkan PM dan kerajaan baru ini menjalankan tugas mereka. Lets move on,” katanya.

Tuesday, August 3, 2021

TPM, menteri kanan berkumpul di rumah Muhyiddin

malaysiakini.com
Diterbitkan 3 Aug 2021, 10:16 pm

Beberapa jam selepas sejumlah ahli parlimen Umno menyatakan pendirian mereka untuk tidak lagi menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, kediaman presiden Bersatu itu dikunjungi sejumlah tokoh berprofil tinggi.

Terletak di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, tinjauan Malaysiakini mendapati antara individu yang datang ke situ termasuklah Naib Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Turut dilihat ialah kenderaan membawa Peguam Negara Idrus Harun.

Pemimpin lain ialah Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Tidak ketinggalan Menteri Pendidikan merangkap Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita Bersatu Rina Harun, Presiden MIC SA Vignewswaran and Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Pertemuan lewat malam itu diadakan selepas Presiden Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan dia sudah menyerahkan bukti kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai kedudukan Muhyiddin yang didakwanya tidak lagi mendapat sokongan majoriti di parlimen.

Petang tadi Ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah, menjadi anggota kabinet pertama menyahut gesaan Umno agar melepaskan jawatan daripada kerajaan seperti diputuskan parti.

[Laporan lanjut menyusul]

Saturday, July 24, 2021

Walaupun difitnah, TPM bantu Lokman Adam terima rawatan di HAT

agendadaily.com
24/7/2021

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam sedang dirawat di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa memfitnah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, kini sedang dirawat di hospital selepas dinasihati Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Lokman yang mempunyai masalah kesihatan dan juga obesiti menjadi kontak rapat kepada seorang rakannya dikenali sebagai “Pablo” yang meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19.

Badannya mulai lemah, mengalami kesukaran untuk berjalan, dan tiada selera makan sehingga hilang 10 kilogram berat badan namun enggan dirawat di hospital sehingga lah Ismail Sabri sendiri membantunya untuk dibawa ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.

“Atas usaha rakan-rakan politik saya terutamanya Senator Datuk Seri Ali Timbalan Speaker Dewan Negara meminta bantuan Datuk Syed Mohd Fazmi (Setiausaha Politik) Menteri Pertahanan dan YAB TPM sendiri, Abang Long Mail (Ismail Sabri), barulah saya setuju untuk dimasukkan di hospital (HAT) ini semalam,” kata beliau.

Lokman enggan dirawat di hospital biasa kerana tidak percaya dengan khidmat doktor kerajaan.

Lokman sebelum ini membuat tuduhan terhadap Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO cuba meyakinkan Ahli Parlimen UMNO untuk menjadi calon Bersatu sekiranya tidak dipilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Susulan itu, Syed Mohd Fazmi membuat laporan polis terhadap Lokman.

“Setelah meneliti isi kandungan video itu saya dapati dengan jelas pemilik akaun Facebook tersebut membuat fitnah dan hasutan terhadap Ismail Sabri bermula minit ketiga sehingga akhir video,” katanya selepas membuat laporan polis pada 5 Julai.

Beliau berkata siasatan perlu dilakukan terhadap Lokman mengikut akta-akta berkaitan dengan fitnah iaitu Akta Hasutan 1948 , Akta Anti Berita Tidak Benar (Akta 803) dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia1998 kerana membuat tuduhan terbuka.

Friday, July 9, 2021

Apa agaknya Zahid bincangkan masa jumpa TPM? Suruh letak jawatan?

agendadaily.com
9/7/2021


Apa agaknya yang diceritakan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini? Adakah beliau memaklumkan keadaannya yang 'stress'?

Ketika membuat sidang media mengumumkan penarikan diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi langsung tidak mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Zahid juga tidak mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri menerusi laman Facebooknya seperti setiap pagi, petang dan malam digunakannya untuk menimbulkan sentimen kebencian rakyat terhadap kerajaan PN.

Cuma selepas beberapa jam kemudian baharulah Zahid mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri. Itupun hanya melalui kenyataan media Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Namun, hari ini tular gambar Zahid dengan berpakaian jubah menemui TPM. Kita bersangka baik mungkin beliau ingin mengucapkan tahniah itu secara peribadi.

Atau beliau meminta nasihat TPM bagaimana untuk menghilangkan ‘stress’?

Namun, hakikat yang berlaku sebelum pertemuan petang tadi, di mana beliau tidak terus mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri selepas pengumuman oleh Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin, kekal menjadi sisi negatif dirinya.

Rakyat akan dapat menghidu ‘kemarahannya’ kepada kerajaan PN dan PM sehingga tempiasnya turut terkena menteri-menteri dan timbalan menteri yang menganggotai Kabinet Muhyiddin.

Di sebalik pertemuan dengan TPM itu ramai juga yang tertanya-tanya apakah tujuannya? Adakah beliau sedang berbincang secara baik untuk menyerahkan jawatan Presiden UMNO kepada Ismail Sabri, selepas menerima tekanan daripada beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) yang tidak menyokong penarikan sokongan terhadap PN?

Jika itu yang dibincangkan seharusnya ia menjadi kenyataan secepat mungkin bagi memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap UMNO yang kini dilihat semakin teruk berpecah gara-gara Zahid.

Ia sebagaimana dinyatakan ahli MT, Datuk Zahidi Zainul Abidin bahawa Zahid perlu meletak jawatan supaya memulihkan kembali kepercayaan rakyat, terutama pengundi, terhadap UMNO.

Ahli Parlimen Padang Besar itu percaya jumlah undi yang akan diperoleh calon UMNO akan turun selagi Zahid kekal sebagai presiden kerana rakyat akan merujuk tuduhan mahkamah terhadapnya.

“Zahid masih lagi mempunyai kes mahkamah yang akan memberi impak negatif terhadap imej UMNO,” katanya.

Malah, sejak kebelakangan ini Presiden UMNO itu sudah dilihat tidak boleh memimpin parti itu lagi kerana lebih banyak melanggar keputusan yang diputuskan sebulat suara.

Antaranya keputusan UMNO adalah tidak memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, beberapa pendedahan dibuat pemimpin senior UMNO seperti bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz, dan Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim, menunjukkan Zahid menyokong Anwar, dengan memujuk Ahli Parlimen UMNO untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar.

Disebabkan kedudukannya sebagai Presiden, yang juga menguasai majoriti suara dalam MT, tidak ada pemimpin lain, hatta Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan, yang berani menentangnya.

Beberapa pihak berharap pertemuan dengan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO petang tadi dapat membuka ruang Zahid menyerahkan segera jawatan Presiden kepada TPM.

Atau adakah Zahid mendesak Ismail Sabri meletak jawatan TPM?

Friday, February 19, 2021

Jawatan TPM: Umno akan tergadai jika terima tawaran Muhyiddin

Oleh MALAYSIA DATELINE
February 19, 2021


Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil memberi amaran kepada sesiapa yang menerima tawaran Timbalan Perdana Menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dilihat sebagai menggadaikan Umno untuk kepentingan diri sendiri.

Dalam satu kenyataan Isham berkata, jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak mempunyai banyak kuasa untuk membuat dasar dan perubahan untuk rakyat, malah setahun kebelakangan ini jawatan itu tidak diisi menunjukkan ianya bukanlah kritikal.

“Oleh itu tidak masuk akal untuk Umno terima jawatan ini sekarang.

“Sebenarnya jika Muhyiddin ikhlas dengan Umno, dari awal dia jadi Perdana Menteri dulu dia sepatutnya telah tawarkan jawatan ini kepada Umno, tetapi tidak,” kata beliau.

Beliau berkata demikian susulan ada ura-ura bahawa Muhyiddin akan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Umno.

Isham berkata, tawaran itu untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri yang amat goyah sekarang umpama telur di hujung tanduk.

“Muhyiddin sedang terdesak, dia akan buat apa sahaja sekarang.

“Namun tawarannya ini sudah terlambat dan tidak berguna lagi.

“Buat apa terima jawatan TPM untuk dua tiga bulan waima setahun di mana tidak banyak perubahan yang boleh dibuat hanya untuk menyelamatkan Muhyiddin dan PPBM yang sedang tenggelam dan hampir karam,” katanya.

Malah jelas beliau untuk satu jawatan ini hanya untuk jangkamasa yang pendek, PPBM pastinya menuntut untuk Umno mengorbankan banyak perkara.

“Ini tidak menguntungkan malah merugikan kita dan akar umbi serta orang Melayu dalam jangkamasa sederhana, panjang atau selama-lamanya.

“Saya tidak rasa pemimpin-pemimpin Umno begitu naif dan mentah untuk galak dan teruja dengan tawaran terdesak dan terlambat Muhyiddin dan PPBM ini,” katanya.

Beliau tidak menolak jika Umno terima jawatan TPM ini, ia besar berkebarangkalian akan memecahbelahkan parti, malah majoriti akar umbi telahpun membuat keputusan menolak PPBM dalam mesyuarat-mesyuarat perwakilan baru-baru ini.

“Saya telah tekankan sebelum ini jika PPBM ikhlas mahu menyatukan orang Melayu dan bukan hanya pentingkan diri dan jawatan mereka (PPBM), mereka perlu bubarkan parti kecil mereka dan kembali ke pangkuan Umno.

“Tidak masuk akal untuk parti yang besar seperti Umno pula disuruh mereka (PPBM) untuk dibubar dan 3.8 juta ahli-ahli Umno dikerah masuk PPBM.

“Jika UMNO dibubar, 3.8 juta ahli UMNO tidak akan masuk PPBM tetapi akan bertempiaran dan berpecah belah dan banyak lagi parti serpihan akan ditubuh.

“Yang lebih masuk akal ialah PPBM yang kecil dan tidak berakar umbi perlu dibubar dan kembali kepada Umno sepertimana yang dibuat oleh parti Semangat 46 dahulu.

“UMno adalah parti yang besar dengan pucuk pimpinan di atas dan akar umbi yang kuat dan besar di bawah. Berbanding dengan PPBM yang tiada badan dan tiada kaki tetapi hanya besar di kepala.

“Umno adalah parti lama dan keramat, ia tidak akan korbankan maruah diri untuk menjadi badan dan kaki tangan kepada parti pengkhianat dan pemecah belah seperti PPBM,” kata beliau.

Tuesday, February 2, 2021

Zahid bangkit semula isu ‘kapasiti terhad’ presiden Umno dalam kerajaan

FMT Reporters
-February 2, 2021 11:45 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun ada beberapa ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional dilantik sebagai menteri dan timbalan, beliau mengingatkan ia bukanlah “bersifat partisan”.

PETALING JAYA: Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan semula isu “kapasiti terhad” presiden Umno yang tiada kedudukan dalam kerajaaan persekutuan, mengatakan beliau cuma mampu meminta maaf sekiranya isu rakyat yang dibangkitkan tidak dilayan pihak berwajib.

Sebelum ini, berlatarkan perselisihan dengan PPBM, beberapa pemimpin mahu jawatan timbalan perdana menteri diberi kepada Umno, mengatakan pemimpinnya tidak diberi jawatan tertinggi dalam Jemaah Menteri walaupun parti berkenaan pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan.

Dalam catatan di Facebook, dipercayai kepada ahli Umno, Zahid mengalu-alukan pandangan dan aduan daripada mereka, namun berharap mereka faham “saya tiada dalam sebarang kedudukan untuk membuat keputusan bagi pihak kerajaan”.

“Apa yang boleh saya lakukan dalam kapisiti yang terhad ini adalah akan bersuara dan terus bersuara demi kepentingan kita semua.

“Saya ingat, saya juga boleh bersuara melalui Parlimen tetapi apakan daya, persidangan tidak dibenarkan sekarang,” katanya.

Pada Nov lepas, Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob berkata isu jawatan timbalan perdana menteri akan dibangkitkan semula sebaik sahaja Belanjawan 2021 selesai dibahas di Parlimen, mengatakan perkara itu tidak akan didiamkan.

Katanya, dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia, calon untuk jawatan TPM akan mengutamakan lima pemimpin Umno teratas, bermula dengan presiden, yang juga Zahid, diikuti timbalan presiden dan tiga naib presidennya.

Sementara itu, Zahid berkata walaupun ada beberapa ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional dilantik sebagai menteri dan timbalan, beliau mengingatkan ia bukanlah “bersifat partisan”.

“Bahkan ada kuasa yang lebih mendahului mereka,” katanya.

Wednesday, October 28, 2020

Laporan: Muhyiddin tunggu calon TPM dari Umno, tapi enggan terima Zahid

malaysiakini.com
Diterbitkan 27 Oct 2020, 11:47 pm

Muhyiddin Yassin didakwa sedang menunggu Umno mencalonkan pemimpin parti itu yang dianggap boleh diterima untuk dilantik sebagai timbalan perdana menteri, lapor sebuah laporan media hari ini.

Memetik sumber yang tidak didedahkan, Sin Chew Daily mendakwa presiden Bersatu itu bersedia melantik seorang wakil Umno ke jawatan berkenaan dan terserah kepada parti terbabit mengemukakan calon.

Bagaimanapun kata sumber berkenaan Muhyiddin tidak dapat menerima Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sebagai timbalannya kerana ahli parlimen Bagan Datuk itu masih dibicarakan di mahkamah.

“Tan Sri (Muhyiddin) boleh terima Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan; Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob atau Hishammuddin Hussein yang kini tiada sebarang jawatan dalam parti.

"Sekarang (Muhyiddin) cuma menunggu cadangan Umno, tapi jika mereka bertegas mahukan Zahid, maaflah," katanya.

Untuk rekod Hishammuddin ialah bekas naib presiden Umno.

Selepas dilantik menjadi perdana menteri pada Mac lalu, Muhyiddin tidak melantik timbalan perdana menteri seperti biasa yang dilakukan pemimpin terdahulu.

Sebaliknya dia melantik empat menteri kanan. Daripada jumlah itu dua adalah dari Bersatu, seorang Umno dan seorang lagi Gabungan Parti Sarawak.

Menurut laporan itu lagi, seorang sumber dari Umno mendakwa parti berkenaan diminta membentuk sebuah jawatankuasa rundingan bagi membincangkan terma baru kerjasama mereka dengan Bersatu, termasuk pelantikan timbalan perdana menteri dan jawatan lain.

Jika Muhyiddin gagal memuaskan hati Umno, kata sumber-sumber, mereka akan mendesak agar pilihan raya umum (PRU) diadakan sebaik saja ancaman Covid-19 berkurangan.

Katanya pertemuan Majlis Tertinggi Umno semalam turut membincangkan kemungkinan menyegerakan PRU.

"Tapi ini bergantung kepada langkah lanjut Muhyiddin, termasuk jika dia mengemukakan tawaran baru kepada Umno seperti pelantikan timbalan perdana menteri, usaha menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi," kata sumber yang hadir dalam pertemuan semalam.

Malaysiakini belum dapat mengesahkan kesahihan laporan berkenaan.

[Baca berita penuh]

Wednesday, February 6, 2019

Khabar angin Azmin sebagai TPM

DR KHAIRUDDIN TAKIRI
05 FEBRUARY 2019


KHABAR angin pelantikan Azmin sebagai TPM tentu sahaja merunsingkan segelintir pihak dalam PH, namun ia adalah pilihan terbaik bagi Tun Mahathir.

Ia juga pilihan terbaik bagi membina suasana politik yang lebih harmoni antara kerajaan dan pembangkang kerana umum melihat beliau lebih bertoleransi dan bertolak ansur berbanding pimpinan PH yang lain.

Jika Anwar berhasrat untuk menjadi PM tentulah bukan isteri beliau sepatutnya menjadi TPM. Maka langkah melantik Azmin sekarang sebagai TPM dilihat baik untuk pelan peralihan kerana Anwar sendiri menyatakan berkali-kali tidak berminat dengan jawatan TPM.

Mungkin juga sejarah beliau bersama PAS dalam Kerajaan Selangor dan juga sejarah beliau bersama dengan pimpinan Umno dahulu boleh menjadi sebab kepada hubungan yang lebih tenang antara kerajaan dan pembangkang.

Negara perlu bergerak ke hadapan. Situasi politik yang tidak menentu membantutkan pembangunan melibatkan rakyat.

Dendam berterusan kepada Umno dan juga PAS setelah PH menjadi kerajaan tidak wajar menjadi sebab untuk kelancaran hubungan antara kerajaan dan pembangkang khususnya di Terengganu, Kelantan, Perlis dan Pahang.

Begitu juga hubungan kerajaan dengan ahli parlimen pembangkang yang menjalankan tanggungjawab semak dan imbang. Azmin diharap boleh menggerakkan situasi ini.

Pelantikan Azmin sebagai Pengerusi MTNg Kelantan diharap menjadi jambatan untuk segala bentuk pembangunan dan hak negeri sebagaimana termaktub dalam perjanjian persekutuan dapat dilaksanakan di Kelantan.

– HARAKAHDAILY 5/2/2019

Sunday, August 6, 2017

Melondeh taktik di belakang perang Tun M dan TPM

POLITIK Malaysia kini memasuki fasa ‘political taunting’. Adegan taunting yang paling menarik sekarang ialah permainan saling melondeh antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dr Mahathir sedang menggunakan taktik memisahkan musuh, satu taktik lapuk yang sering diulang kerana keberkesanannya untuk memecahkan lawan dengan mewujudkan keraguan terhadap kesetiaan TPM terhadap bosnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Taktik ini sangat mujarab sekiranya pihak yang melancarkan serangan itu sudah dapat mengesan sudah ada retakan di dalam pihak musuh.

Dr Mahathir sedang memasang pancing untuk kem yang anti-TPM di dalam Umno untuk bertindak.

Sekiranya ada pihak di sebelah kem PM yang tidak senang dengan TPM, golongan ini sudah pasti akan termakan pancing yang dipasang Dr Mahathir lalu mengambil kesempatan menggunakan serangan Dr Mahathir untuk menimbulkan keraguan yang lebih mendalam terhadap kesetiaan TPM kepada Najib.

Pada ketika ini, TPM perlu bertindak secara berhati-hati, sama ada dari segi lisan, tulisan mahupun tindakan supaya pancing yang dipancing oleh Dr Mahathir tidak mengena. Sebarang kesilapan daripada TPM yang mewujudkan persepsi bahawa serangan Dr Mahathir mempunyai merit akan menyusahkan beliau sendiri.

Salah satu cara untuk mengelak pancing Dr Mahathir ialah dengan menyerang Dr Mahathir kembali dari setiap pelosok. Dan itu yang sedang dilakukan TPM sekarang.

Serangan balas TPM terhadap Dr Mahathir bukanlah serangan sembrono. Setiap serangannya dialas dengan umpan untuk menimbulkan keraguan para pengundi tegar Umno-BN, terutamanya para pengundi orang Melayu terhadap Dr Mahathir dan Pakatan Harapan.

Sebaliknya, serangan TPM terhadap Dr Mahathir telah meletakkan bekas perdana menteri itu dalam keadaan defensif.

Pasukan Dr Mahathir terpaksa menjawab soalan mengenai asal-usul keluarganya. Serangan Dr Mahathir terhadap kekayaan TPM pula menimbulkan keraguan terhadap kekayaan anak-anaknya. Kini, TPM menimbulkan isu Memali dan mengumpan Dr Mahathir berlawan di gelanggangnya.

Kesilapan terbesar Dr Mahathir di dalam perang persepsi terhadap TPM ialah menimbulkan dakwaan RM230 juta.

Dakwaan ini menimbulkan keraguan kepada Dr Mahathir sendiri, mengapa ketika beliau selaku Perdana Menteri tidak mengarahkan siasatan terhadap kekayaan TPM yang ketika itu bersama Pemuda Umno? Bukan itu sejenis salah guna kuasa?

TPM pula melakukan kesilapan dengan mendedahkan bahawa beliau mempunyai bukti rakaman seorang bekas pemimpin Umno yang mencadangkan agar Najib dijatuhkan sebagai perdana menteri melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Jika benar, apakah beliau telah mendedahkannya kepada Najib ketika ia berlaku? Jika tidak, ini akan menyebabkan pancing Dr Mahathir akan terkena kerana kesetiaan beliau terhadap Najib akan dipersoalkan meskipun tidak secara zahir.

Setakat ini, kelihatan pancing Dr Mahathir tidak mengena. Tiada ahli Umno yang mempersoalkan kesetiaan TPM terhadap Najib, malah serangan Dr Mahathir telah mengukuhkan kesetiaan TPM terhadap Najib.

Cuma taktik memisahkan musuh yang dipasang Dr Mahathir ini bagaikan duri lalang. Ia boleh berpanjangan yang amat sangat. Sama ada ia berjaya atau tidak, kita hanya akan tahu selepas PRU14 dan siapa perdana menterinya ketika itu. 

- HARAKAHDAILY

Friday, February 19, 2016

Siapa yang berkata benar ..........?

Menteri Nafi Kerajaan Nak Bawa Masuk 1.5 Juta Bangla

Menteri: Tak betul M'sia ambil 1.5 juta pekerja Bangladesh

"Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot menyangkal dakwaan bahawa negara ini akan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh.

Bercakap pada satu sidang akhbar hari ini, Richard berkata persepsi itu adalah "tidak betul".

Sebaliknya, angka 1.5 juta pekerja Bangladesh itu sebenarnya bilangan mereka yang telah mendaftar......."

Wak hairan juga tentang sikap menteri2 BN ni, sorang kata begini yang sorang lain kata begitu pula. Keputusan nya menteri yang manakah bercakap benar dan menteri yang mana pula cakap tidak betul.

Sebagai contoh, TPM kata 1.5 milion pekerja dari Bangladesh akan dibawa masuk ke Malaysia secara berperingkat-peringkat dalam jangka masa 3 tahun.

Menteri Sumber Manusia ni pula kata tidak begitu, angka 1.5 milion itu ialah angka sebenar bilangan yang telah mendaftar sahaj.

Kedua-dua menteri ni seolah-olah mahu tidak bersefahaman diantar satu sama lain.

Wak pula beranggapan perkata ini dilakukan semata-mata untuk mengaburi ikiran rakyat sahaja.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-