Saturday, November 26, 2022

Hilang sokongan Melayu, UMNO bakal lenyap PRU16?

satuberita.my
By Admin
-November 26, 2022
UMNO mungkin berdepan kesukaran dalam menghadapi masa depan yang mendatang berikutan keputusannya untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Penganalisis berpendapat, walaupun parti Melayu terbesar itu kini bersedia untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH), kesannya akan dirasai nanti.

Keadaan sedemikian bakal dihadapinya susulan kemerosotan sokongan Melayu yang sangat drastik diterima parti itu, di mana Umno dan gabungannya Barisan Nasional (BN) kehilangan kerusi tradisi ‘selamat’ kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Secara keseluruhannya, BN hanya memenangi 30 kerusi. Prestasi pilihan raya terburuk pernah dicapai gabungan itu, jumlah sangat sedikit berbanding lawannya dari PN dan PH yang masing-masing memenangi 73 dan 82 kerusi.

Dengan hanya 26 kerusi di Dewan Rakyat yang merupakan separuh daripada jumlah kerusi dipegang parti komponen PN, Pas, yang memenangi 49 kerusi – masa depan UMNO dilihat masih tidak menentu.

Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, sebarang langkah untuk berganding bahu dengan PH dan parti komponen terbesarnya, DAP adalah satu kesilapan bagi UMNO.

“Orang-orang Melayu, terutamanya Melayu luar bandar yang jadi undi poket UMNO masih belum boleh terima DAP setelah bertahun-tahun dimomokkan DAP itu parti cauvinis Cina yang anti Melayu dan anti Islam.

“Pada PRU15 ini, UMNO kena bungkus ikat tepi. Selepas PRU16, mungkin kena bungkus ikat mati terus,” katanya kepada MalaysiaNow.

Terdahulu, beberapa pemimpin UMNO berkata, berikutan kekalahan teruknya pada PRU15, parti itu perlu kekal sebagai pembangkang.

Mereka termasuk Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang kedua-duanya sanggup dipecat kerana membantah kerjasama dengan PH yang diputuskan pimpinan parti.

Azizi yang merupakan bekas Setiausaha BN Pulau Pinang berkata, orang Melayu menolak UMNO kerana Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terlibat dalam pertuduhan rasuah walaupun dibebaskan dalam beberapa pertuduhan baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kini masih berdepan 47 pertuduhan yang dikaitkan dengan dana badan amal Yayasan Akalbudi.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Mazlan Ali berkata, keputusan UMNO untuk bekerjasama dengan PH akan menguntungkan parti itu dari segi mengelak pertindihan kerusi yang akan dialaminya jika bekerjasama dengan PN.

“UMNO fokus jalur kawasan-kawasan Melayu dan PH fokus dengan (kerusi) multi etnik.

“Pertindihan dan kepentingan parti tampak minimum tidak seperti BN dan PN yang mana mereka akan bertembung di kerusi Melayu,” kata Mazlan, dari Universiti Teknologi Malaysia.

Dengan kerjasama dalam PN, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya menyapu bersih kerusi di Kelantan dan Terengganu.

Situasi yang sama berlaku di Kedah, di mana Pas dan Bersatu memenangi 13 daripada 14 kerusi Parlimen negeri dengan majoriti besar.

Sementara kerusi Padang Serai bakal dipertandingkan pada 7 Disember depan selepas penamaan calon 24 November lalu berikutan kematian calon penyandangnya M Karupaiya.

“Banyak kerusi-kerusi selamat Umno hilang, kalah kepada PN,” kata Azizi.

UMNO akan mengadakan pemilihan parti pada tahun depan selepas menangguhkannya beberapa kali menjelang PRU15.

Keretakan dalam kalangan parti boleh dilihat sejak beberapa tahun lalu, di mana pemimpin tertinggi berpecah kepada dua kem: kluster mahkamah dan kluster Putrajaya.

Mazlan berkata, Zahid dijangka mengukuhkan cengkamannya terhadap parti, memandangkan beliau kelihatan mengawal penuh parti walaupun wujud desakan supaya meletak jawatan selepas pilihan raya 19 November lalu.

“Beberapa pemimpin Umno yang nampak pro kepada PN seperti Tan Sri Annuar Musa, Ismail, dan Khairy Jamaluddin akan dilemahkan.”

“Kemungkinan Zahid pertahanankan kedudukannya,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-