Thursday, November 10, 2022

Khairuddin: Pengundi nak wakil rakyat berakhlak, menyatukan

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan: Nov 10, 2022 9:11 AM
Masuk hari kelima kempen PRU15 semalam, Khairuddin Aman Razali yang mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus di bawah tiket BN berkata apa yang rakyat mahukan adalah wakil pemimpin yang berakhlak, serta yang bersifat menyatukan.

"Rakyat mahu orang yang mempunyai idea, mempunyai akhlak kerana kita ini berada dalam zaman orang menyatu bukan zaman memecah. Kita mencantum bukan mencarik.

"Sepanjang tempoh negara dilanda wabak Covid-19 kita (kerajaan) telah menunjukkan keprihatinan kepada rakyat dengan peruntukan berjuta-juta ringgit dalam tempoh setahun.

"Jadi, saya rasa rakyat melihat apa yang kita usahakan,"katanya ketika ditemui di program tinjauan mesra bagi mendekati peniaga dan pengunjung Pasar Malam Serdang, di Kuala Terengganu, semalam.

Khairuddin berkata disebabkan itu juga dia secara konsisten memperjuangkan apa yang disifatkannya sebagai perpaduaan ummah.

"Saya perjuangkan perpaduan ummah, saya tidak ada tolak ansur dalam bab ini dan disebabkan kita satukan semua orang tak kira dari parti apa pun mesti bersatu atas nama keluarga Malaysia," tegasnya.
Dia yang merupakan bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS juga membangkitkan prinsip walak, atau kesetiaan, yang cukup sinonim dengan pati itu, dengan berkata Umno dan BN juga menerapkan perkara sama.

"Setiap ahli mana-mana parti akan memberikan walak atau pun kesetiaan kepada parti. PAS guna pendekatan walak, Umno pula guna perkataan setia tapi dua-dua sama saja.

"Tapi itu adalah kesetiaan dia kepada parti...tinggal lagi dia mungkin beralih arah kerana faktor peribadi calon, khidmat, keluarga dan pelbagai. Itu akan menentukan siapa yang akan menang," katanya yang menjadi ahli parlimen Kuala Nerus sejak 2013.

Yakin penyokong tegarnya di Kuala Nerus kekal setia dengannya, Khairuddin bagaimanapun mengharapkan peranan yang telah dimainkannya sepanjang menjadi wakil rakyat di situ akan menjadi faktor kemenangannya kali ini.
"Ada jumlah undi yang besar melibatkan orang yang belum buat keputusan, antaranya anak-anak dan mereka yang menilai dari sudut khidmat.

"Seperti yang saya katakan, pertaruhan saya adalah khidmat saya. Kalau saya jenis tak turun padang, duduk rumah tidur itu mungkin saya bimbang dan takut.

"Tapi saya dari dulu, dari awal menjadi wakil rakyat pada tahun 2013 sampai sekarang saya tak berhenti turun padang," katanya.

'Belum kena maki'

Walaupun disorak penyokong PAS ketika hari penamaan calon pada Sabtu lalu, Khairuddin memaklumkan kempennya setakat ini berjalan dengan baik, tanpa sebarang insiden tidak diingin.

"Saya selama ini, turun padang, jumpa orang macam biasa orang sambut, terima dan bercakap dengan saya, sembang dan tak ada lagilah yang maki saya.

"Atas kapasiti apa pun dulu saya dengan PAS, saya mesra BN. Sekarang saya BN, saya juga mesra PAS. Semua rakan saya, dalam politik ini, politik baru ini politik mencantum, bukan politik mencarik.

"Rakyat sudah penat dengan pergaduhan dan perbalahan, tinggal lagi siapa dia yang boleh bagi khidmat yang terbaik, itu adalah pilihan rakyat," katanya lagi.

Pada PRU14, Khairuddin menewaskan calon BN Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad dan calon PKR Abdullah Muhammad dengan majoriti 8,447 undi.

Pada PRU15 kali ini, Khairuddin berdepan dengan calon bekas partinya, Dr Alias Razak dan dua lagi calon iaitu Suhaimi Hasnim dari PH dan Azaha Wahid dari Pejuang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-