Monday, November 14, 2022

Muhyiddin dedah tindakan PH, Guan Eng sabotaj agenda Bumiputera

agendaily.com
14/11/2022
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (calon PN Parlimen Tambun); dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, bersama lebih 1,000 penyokong menyanyikan lagu 'Negaraku' pada program Jelajah PN BEST di Parlimen Tambun, malam tadi (13 November 2022).

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mendedahkan bagaimana DAP menerusi Lim Guan Eng mensabotaj agenda Bumiputera ketika menjadi Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan sebelum ini.

Berucap pada Jelajah PN BEST Parlimen Tambun di Ipoh, Perak, malam tadi (13 November 2022) bekas Menteri Dalam Negeri kerajaan PH ketika itu turut memberi beberapa contoh bagaimana peruntukan kepada agenda Bumiputera diambil oleh Guan Eng.

“Ada beberapa contoh kes yang saya nak sebutkan di sini menunjukkan betapa parti yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pakatan Harapan bersama dengan DAP memang tidak menghormati perkara-perkara utama yang menjadi tunjang negara kita.

“Contoh dalam soal ekonomi. Yang ini diberitahu kepada saya oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan kami bersama-sama ada di situ.

“Tertubuh TERAJU. Ini salah satu agensi utama untuk membantu Bumiputera dalam urusan-urusan perniagaan. Ada Ekuinas yang dibentuk di bawah Yayasan Ekuiti Nasional iaitu satu organisasi GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang besar,” katanya lagi.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata kedua-dua agensi utama ini – TERAJU dan Ekuinas – mempunyai peruntukan yang besar iaitu lebih daripada RM2 bilion.

“Waktu mana kita dalam mesyuarat ditekan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng… ada beberapa ketika menunjukkan beliau langsung tidak mahu menghormati agensi seperti TERAJU dan berapa peruntukan yang telah disediakan diambil balik, malahan dihentikan TERAJU dan tidak diwujudkan.

“Hanya kemudian kami (Kerajaan Perikatan Nasional) mewujudkan semula TERAJU untuk menjamin dan kelangsungan masa depan Bumiputera di negara kita.

“(Demikian juga) Ekuinas yang telah pun ditubuhkan oleh kerajaan terdahulu dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion. Guan Eng buat keputusan supaya peruntukan RM2 bilion itu diambil balik oleh Kementerian Kewangan.

“Bermakna tidak menghormati satu lagi agensi Bumiputera yang ditubuhkan oleh kerajaan dan langkah-langkah yang diambil langsung tidak memberi perhatian kepada nasib Bumiputera dalam pembangunan ekonomi di negara kita,” kata Muhyiddin.

Penyandang Parlimen Pagoh di Johor yang akan mempertahankan kerusinya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Sabtu ini berkata terdapat beberapa lagi tindakan melampau dan bercanggah dengan dasar negara, terutama dari segi pembangunan usahawan Bumiputera, diambil oleh Guan Eng dan DAP.

Muhyiddin juga mengingatkan masyarakat Cina bahawa Guan Eng juga menarik balik peruntukan yang disediakan kerajaan sebanyak RM300 juta kepada Universiti Tun Abdul Razak (UTAR), yang ditaja oleh MCA – salah satu komponen Barisan Nasional – untuk pembangunan pendidikan tinggi dalam kalangan bukan Melayu.

“Hanya setelah Perikatan Nasional yang saya pimpin sebagai Perdana Menteri… kami memulangkan balik peruntukan itu kerana ini berkaitan dengan soal pendidikan.

“Agak luar biasa apabila seorang Cina yang sewajarnya menyokong pendidikan untuk masyarakat Tionghua majoritinya walaupun ditaja oleh MCA, mengambil tindakan drastik untuk ambil balik peruntukan itu dan tak diberikan peruntukan pada pihak universiti yang berkenaan.

“Saya waktu pimpinan Perikatan Nasional mengambil alih teraju negara, kita sediakan semula peruntukan yang saya anggap penting untuk tujuan pendidikan anak-anak di negara kita,” katanya.

Muhyiddin berkata banyak lagi contoh-contoh yang dilakukan DAP dan PH ketika parti itu menjadi kerajaan, termasuk usaha untuk menghapuskan Akta Hasutan.

Oleh itu, sewajarnya pengundi semua kaum, termasuk Melayu, Cina dan India, memilih Perikatan Nasional dalam PRU-15 pada Sabtu ini, supaya dapat menubuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan yang Prihatin, Bersih dan Stabil.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-