Wednesday, November 30, 2022

SEMAK FAKTA: Majoriti ahli parlimen kerajaan adalah bumiputera Islam

malaysiakini.com
Andrew Ong dan Aidila Razak
Diterbitkan: Nov 30, 2022 1:01 PM
Sejak perdana menteri baru Anwar Ibrahim mengangkat sumpah pada 24 Nov, terdapat dakwaan oleh beberapa tokoh berpengaruh bahawa kerajaannya didominasi oleh wakil rakyat bukan Melayu dan bukan Islam.

Ini, menurut penulis blog buruan Raja Petra Kamaruddin, adalah resipi untuk pergolakan etnik, dengan barisan pembangkang terdiri hampir keseluruhannya oleh ahli parlimen Melayu dan Islam.

Katanya, orang Melayu kini melihat kerajaan hari ini sebagai “kerajaan Cina”, dengan hampir semua ahli Parlimen Cina berada dalam kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Justeru, dakwanya kerajaan hari ini bukan "kerajaan perpaduan" tetapi adalah"kerajaan perkauman".

Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga senada dan berkata kerajaan baru ini didominasi oleh bukan Islam.

Atas sebab itu, dia berkata, Perikatan Nasional (PN) menolak pelawaan menyertai kerajaan, sambil menambah bahawa 80 peratus orang Melayu mengundi dan menyokong mereka.

Dia juga melabel kerajaan hari ini sebagai "kerajaan minoriti".

Menurut Hadi parti “bukan Islam” DAP mempunyai lebih banyak suara dalam kerajaan pimpinan PH kerana mereka mempunyai lebih ramai ahli parlimen berbanding sekutu mereka.
Malaysiakini menyemak komposisi etnik dan agama ahli Parlimen untuk melihat jika dakwaan berkenaan adalah benar.

Betulkah kerajaan baru ini “kerajaan Cina”?

Daripada 148 ahli parlimen yang menyokong Anwar sebagai ahli parlimen, wakil rakyat Melayu merupakan jumlah paling ramai dengan 50 daripada mereka adalah berketurunan Melayu.

Ini diikuti oleh ahli Parlimen Cina, dengan 43 orang, bumiputera Islam dari Sabah dan Sarawak (27), bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawakr (16) dan India atau kaum-kaum lain (12).
Made with Flourish
Bagaimanapun, menurut statistik demografi terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Julai lalu, peratusan ahli parlimen berketurunan Cina dan India dalam kerajaan hari ini adalah lebih sedikit mengatasi jumlah rakyat etnik berkenaan.
Made with Flourish
Sebanyak 29 peratus ahli Parlimen kerajaan adalah etnik Cina, manakala 22.8 peratus rakyat Malaysia adalah daripada keturunan itu.
Walaupun demikian, kerajaan baru hari ini masih tidak “dikuasai oleh orang Cina” kerana terdapat 105 ahli parlimen bukan Cina, iaitu lebih dua kali ganda bilangan ahli parlimen Cina.

Justeru, adalah tidak tepat untuk mengatakan kerajaan hari ini adalah "dikuasai Cina".

Adakah kerajaan ini dikuasai bukan Islam?

Jumlah ahli parlimen Islam dan bukan Islam di pihak kerajaan sebenarnya seimbang.

Ahli parlimen Islam dalam kerajaan membentuk 52 peratus manakala bukan Islam adlah sekitar 28 peratus.
Made with Flourish
Oleh demikian, adalah tidak benar bahawa kerajaan didominasi oleh wakil rakyat bukan Islam.

Jadi kaum mana yang "menguasai" kerajaan?

Bumiputera membentuk kumpulan terbesar ahli parlimen dalam kerajaan.

Berdasarkan pembahagian antara bumiputera dan bukan bumiputera, nisbahnya ialah 63 peratus bumiputera dan 27 peratus bukan bumiputera.

Demografi negara menunjukkan 70 peratus rakyat Malaysia adalah bumiputera.

Adakah barisan pembangkang hanya terdiri daripada Melayu/Islam?

Secara teknikalnya, sebahagian mereka adalah bumiputera Sabah dan Sarawak serta bukannya Melayu.

Bagaimanapun, 92 peratus daripada 73 ahli parlimen pembangkang adalah Melayu dan Islam.

Hanya dua ahli parlimen pembangkang, atau kira-kira tiga peratus adalah wakil bukan Islam.
Justeru, adalah tepat untuk mengatakan bahawa barisan pembangkang hampir secara eksklusif adalah terdiri daripada orang Melayu dan Islam.

Benarkah parti ‘bukan Islam’ DAP mendominasi Pakatan Harapan?

DAP adalah parti sekular, dengan semua 40 ahli parlimennya, kecuali tiga daripada mereka bukan beragama Islam.

Ia juga adalah parti dengan ahli Parlimen dalam Pakatan Harapan yang paling ramai diikuti oleh PKR dengan 31 ahli Parlimen dan Amanah yang memegang lapan kerusi parlimen.
Sebanyak 37 peratus ahli Parlimen Pakatan Harapan beragama Islam.

Kerajaan perpaduan atau "kerajaan perkauman"?

Pentadbiran Anwar Ibrahim sering dirujuk sebagai "kerajaan perpaduan" selepas ia ditubuhkan atas titah Yang di-Pertuan Agong selepas pilihan raya umum ke-15.

Walau bagaimanapun, secara teknikalnya, ia bukanlah "kerajaan perpaduan nasional" seperti yang lazimnya dibentuk di seluruh dunia semasa krisis.
Dalam keadaan ini, "kerajaan perpaduan nasional" merangkumi semua parti politik. Ini bermakna tiada barisan pembangkang.

Dalam kes Malaysia, 73 ahli parlimen PN membentuk blok pembangkang, jadi secara teknikal ia bukan kerajaan perpaduan. Apa sekalipun, ia tetap adalah kerajaan campuran yang dipimpin oleh Anwar.

Pakatan Harapan dengan 82 kerusi berkemungkinan adalah gabungan paling berkuasa, tetapi PM baru bertegas bahawa ini bukan kerajaan PH, tetapi kerajaan campuran.

Hakikat bahawa ia bukan kerajaan perpaduan tidak semesti menjadikannya "kerajaan perkauman".
Dalam videonya, Raja Petra berulang kali menegaskan bahawa kerajaan pimpinan Anwar "bukan kerajaan perpaduan tetapi kerajaan terpolarisasi atau kerajaan perkauman," seolah-olah konsep itu bercanggah antara satu sama lain.

Ini sebenarnya tidak benar kerana istilah "perpaduan" dalam "kerajaan perpaduan" bukan merujuk kepada perpaduan kaum.

Oleh demikian, walaupun secara teknikal ia bukan kerajaan perpaduan, ini tidak secara automatik menjadikannya sebagai "kerajaan perkauman".

Bahkan, ia juga tidak semestinya "kerajaan terpolarisasi" - istilah yang digunakannya apabila merujuknya dalam bahasa Inggeris - kerana komposisi kaum itu agak mencerminkan nisbah peratusan bumiputera dengan bukan bumiputera di negara ini.
Tetapi ia boleh dikatakan Dewan Rakyat yang berpolarisasi etnik, dengan pembangkang terdiri hampir keseluruhannya daripada wakil Melayu-Islam.

Adakah ia "kerajaan minoriti" seperti didakwa oleh Hadi?

Ia bukan kerajaan minoriti, seperti yang ditakrifkan oleh buku teks sains politik; iaitu kerajaan yang mendapat sokongan kurang daripada separuh ahli Parlimen.
Sehingga kini, 148 ahli parlimen menyokong kerajaan pimpinan Anwar. Ini bermakna dia menikmati sokongan daripada dua pertiga anggota Dewan Rakyat.


Tetapi adakah betul bahawa 80 peratus orang Melayu menyokong PN?

Perincian pola data pengundian pada pilihan raya umum ke-15 masih diproses oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Ia dijangka tersedia untuk jualan umum mulai bulan depan.

Bagaimanapun, analisis pemerhati politik Bridget Welsh, baru-baru ini mengenai corak pengundian sering diulang untuk menunjukkan pola pilihan pengundi Melayu pada PRU15.

Dalam analisisnya, Welsh berkata PH mendapat sokongan daripada 11 peratus pengundi Melayu, PN pula menerima 54 peratus manakala Umno/BN mendapat kira-kira satu pertiga undi Melayu.
Analisisnya itu kerap kali diulang oleh pemimpin PN, tetapi dipertikaikan oleh pemimpin PH yang mempersoalkan metodologi yang digunakan memandang perincian corak pengundian masih belum dikeluarkan.

Malaysiakini adalah sebahagian daripada pakatan pemeriksa fakta, JomCheck, yang terdiri daripada badan media, ahli akademik dan masyarakat sivil.

Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian tip 017-477 6659 atau melalui pautan ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-