Sunday, December 4, 2022

Anwar perlu cari jalan libatkan pemimpin berbakat dalam k'jaan - Penganalisis

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 4, 2022 12:35 PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mesti mencari jalan untuk melibatkan pemimpin berbakat dalam pentadbirannya walaupun 'terikat' dengan sifat kerajaan perpaduan, kata penganalisis politik Wong Chin Huat.

Wong berkata, walaupun terdapat kontroversi seperti Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi perbicaraan rasuah dan kurang perwakilan DAP, Anwar berjaya membentuk pasukan kabinet inklusif dengan wakil semua parti, masyarakat etnik, negeri dan jantina.

“Ia bukan pasukan magis kerana Anwar tidak boleh pilih sendiri bakat dan mengabaikan perwakilan mengikut parti dan sektor, selepas komitmennya untuk mempunyai kabinet yang lebih kecil.

"Kabinet mempunyai 28 menteri, kurang empat daripada dua kerajaan lepas. Jika setiap menteri disokong oleh seorang timbalan menteri, maka ia hanya 56, dan kurang 14 daripada pentadbiran sebelum ini.

"Ini akan meminggirkan banyak bakat, yang mungkin perlu ditampung melalui pelantikan sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi kepada jawatankuasa pilihan parlimen - satu untuk setiap portfolio menteri.

“Ini boleh menampung cita-cita politik dan meningkatkan pengawasan parlimen pada masa yang sama,” kata Wong.

Wong juga mengingatkan agar Anwar tidak menggunakan pelantikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menenangkan ahli parlimen yang tidak dilantik dalam kabinet.
Wong Chin Huat
Wong, yang merupakan timbalan pengarah (Strategi) Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari PBB (SDSN) Universiti Sunway bagi ibu pejabat Asia, mengakui bahawa pelantikan Zahid memberi permulaan yang buruk kepada kerajaan baru - dari segi imej yang ingin dipaparkan.

"Oleh itu, kerajaan mesti mengambil tindakan untuk melakukan kawalan kerosakan. Yang pertama adalah dengan cepat memulakan proses untuk memisahkan pejabat pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara. Ini akan menutup pintu kepada pembebasan kes atas motif politik.

“Seterusnya Pakatan Harapan (PH) menandatangani perjanjian gabungan dengan Umno dan semua parti lain dalam kerajaan untuk mewujudkan pakatan antara parti meski berlaku perubahan kepimpinan parti.

“Ketiga, PH tidak boleh memihak dalam mana-mana pemilihan parti Umno bagi mengelak tindak balas terhadap Zahid yang boleh menyebabkan parti itu meninggalkan kerajaan kemudiannya,” tambahnya.

Wong berkata, walaupun Anwar mesti menumpukan soal ekonomi, dia mesti membetulkan politik terlebih dahulu.

“Anwar juga memerlukan Perikatan Nasional (PN) menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan bukannya mengganggu kerajaannya dengan perbalahan kaum yang tidak berkesudahan.

"Dia boleh memberikan isyarat yang baik dengan mengiktiraf kabinet bayangan PN dengan gaji, sumber dan akses maklumat yang setimpal untuk menteri-menteri dalam kabinet bayangan," saran Wong.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin (kiri) dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang
Wong menambah bahawa kurang perwakilan DAP dalam barisan kabinet adalah satu pengorbanan untuk menangkis kempen anti-DAP oleh PN.

“Bagaimanapun, ia juga menjejaskan pendirian DAP dalam kalangan penyokongnya dan menyebabkan beberapa penyokong tegar PH terpinggir.

“Jika rasa tidak puas hati itu tidak diuruskan, ia boleh menyebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah pada pilihan raya negeri akan datang dan boleh melemahkan kubu kuat PH di Selangor dan Negeri Sembilan," katanya.

Tambah Wong, walaupun Anwar mungkin memberi pampasan kepada DAP dengan melantik beberapa pemimpinnya sebagai timbalan menteri, masih ramai yang mungkin berasa tersisih.

"Melantik pelapis kerajaan yang cemerlang ke jawatan berbayar jawatankuasa pilihan parlimen adalah jalan keluar yang perlu," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-