Sunday, December 4, 2022

Lantik Zahid reformasi terbesar dilakukan Anwar: Sindir Pemuda

agendaily.com
4/12/2022
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Laungan reformasi (perubahan atau pem­baharuan yang mengarah kepada keadaan lebih baik) oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokongnya tatkala dipecat daripada kerusi Timbalan Perdana Menteri dan UMNO pada 1998, menoktah apabila pembaharuan yang dibawanya ialah melantik individu yang dituduh makan rasuah ke dalam Kabinetnya.

Ini adalah perkara baharu dalam agenda reformasinya setelah menghalalkan ungkapan “seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dirinya dibuktikan bersalah oleh pihak mahkamah di akhir proses perbicaraan”, sedangkan dia sendiri sebelum ini menentangnya.

Tindakan itu disindir Dewan Pemuda PAS Malaysia yang menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan Anwar atas pengumuman barisan Kabinet yang cukup mantap dan membawa semangat reformasi.

“Pemuda PAS melihat pengumuman ini pasti memberikan ‘kelegaan dan kegembiraan’ kepada rakyat, khususnya pengundi PH yang tekad melawan kleptokrasi dan mahukan semangat reformasi dalam pentadbiran kerajaan baharu.

“Reformasi terbesar kabinet Kerajaan Campuran kali ini adalah dengan pelantikan Dato Seri Zahid Hamidi, Presiden UMNO yang berdepan 47 pertuduhan di mahkamah dalam kes Yayasan Akalbudi, sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Pelantikan ini selaras Tawaran ke-2 dalam 10 Manifesto Pakatan Harapan, iaitu untuk memerangi rasuah dan mengukuhkan institusi demokrasi,” kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden, dalam kenyataan hari ini (4 Disember 2022).

Untuk rekod, perbicaraan kes rasuah Zahid yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) ditangguhkan ke Januari tahun depan sementara menunggu rayuan berhubung keputusan kenyataan saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan 21 hari untuk perbicaraan iaitu 16 hingga 19 Januari; 30 hingga 31 Januari; 7 hingga 9 Februari; 27 hingga 30 Mac; 10 hingga 13 April; dan 15 hingga 18 Mei.

Zahid, 69, mula dibicarakan pada 18 November 2019 terhadap 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.

Pada 23 Januari lalu, Hakim Sequerah memerintahkan Zahid membela diri terhadap semua tuduhan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata Kabinet ‘Reformasi’ ini juga turut dianggotai Nga Kor Ming, seorang pemimpin DAP ekstrem yang masyhur dengan ceramah berbaur perkauman, sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Ini bukti Pakatan Harapan(PH) sangat menyanjung perpaduan dan menolak perkauman. Dengan pelantikan ini, hasrat DAP untuk melaksanakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bakal terlaksana dengan jayanya,” katanya.

Menurutnya kejayaan paling besar Kabinet ‘Reformasi’ ini, adalah apabila PH tidak meletakkan semula menteri-menteri mereka yang dicanang sebagai memberi kejayaan dan kebanggan dalam Kabinet PH 2020.

Ini katanya termasuk, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tidak dipilih sebagai Menteri Kesihatan, walaupun menang di kerusi Kuala Selangor pada PRU-15, sebaliknya, lawan beliau di kerusi Parlimen tersebut yang kalah dilantik pula menjadi Menteri.

Sehubungan itu, beliau berkata Pemuda PAS Malaysia sekali mengucapkan tahniah atas pembentukan Kabinet ‘Reformasi’ ini.

“PAS akan terus memainkan peranan kami semaksimum mungkin dalam menjadi pembangkang berwibawa yang akan menyemak imbang setiap tindak tanduk kerajaan campuran PH-BN ini!,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-