Saturday, December 10, 2022

Bersatu Sabah tinggalkan Bersatu

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 10, 2022 10:40 AM
Bersatu Sabah hari ini runtuh selepas ketuanya, Hajiji Noor berkata mereka “sebulat suara” meninggalkan parti induk Bersatu.

Menurut Hajiji, ahli Bersatu Sabah kekal sebagai ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sementara parti baru ditubuhkan.

Hajiji yang juga ketua menteri Sabah dan pengerusi GRS berkata keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

"Kerajaan Negeri yang ditunjangi oleh GRS-BN juga telah mengambil kira nasihat Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa pertimbangan terbaik untuk pembentukan kerajaan perpaduan Persekutuan yang diterajui Anwar Ibrahim satu daripadanya adalah untuk kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.

"Keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan," katanya.

“Melangkah ke hadapan, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS.

“Kami berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Anwar untuk memimpin negara,” tambahnya.

Bersatu yang bersama Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan adalah pembangkang.

Bersatu Sabah mempunyai lima ahli parlimen - empat daripadanya bertanding di bawah tiket GRS semasa PRU ke-15.

Situasi Ronald Kiandee, yang merupakan naib presiden Bersatu lebih unik kerana dia bertanding dan memenangi kerusi Beluran di Sabah menggunakan logo PN.

Tidak jelas sama ada langkah Bersatu Sabah hari ini melanggar undang-undang antilompat parti kerana empat ahli parlimen berkenaan bertanding menggunakan logo GRS.

Peruntukan undang-undang antilompat parti mengambil kira "keahlian parti" sebagai faktor - dan meskipun Bersatu Sabah adalah komponen GRS, ahli parti bukan ahli langsung gabungan itu.

Begitu juga ahli Bersatu yang bertanding dan menang di bawah logo PAS di Kelantan, masih dianggap ahli Bersatu dan bukan ahli PAS.

Situasi unik bagi Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee yang juga pemimpin Bersatu Sabah yang bertanding pada PRU ke-15 dan memenangi kerusi Beluran menggunakan logo PN.

Sebahagian besar ahli Bersatu Sabah termasuk Hajiji dan Ronald pada asalnya adalah ahli Umno yang berpaling tadah pada Dis 2018.

Di peringkat negeri, Sabah masih belum menggubal undang-undang antilompat parti selaras dengan peruntukan persekutuan - bermakna kerajaan negeri kekal utuh.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-