Saturday, December 10, 2022

Mat Maslan gembira kongsi jawatan timbalan menteri dengan DAP

agendaily.com
10/12/2022
Pakatan Harapan yang turut dianggotai DAP terpaksa mengutamakan UMNO dalam pemberian jawatan menteri kerana tidak mahu kehilangan sokongan.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan gembira dan berterima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila melantik beliau sebagai Timbalan Menteri Kewangan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH)-UMNO.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian akan berkongsi jawatan itu dengan rakan baharunya daripada DAP, yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong.

Pelantikan kedua-duanya diumumkan Anwar malam tadi, yang turut menyenaraikan barisan timbalan menteri kerajaan PH-UMNO.

Dalam Twitternya , Ahmad berjanji berpegang kepada prinsip mulia dalam memberikan perkhidmatan sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Beliau turut berjanji akan memberi perkhidmatan terbaik serta gigih berkerja demi rakyat dan negara.

“Saya akan berikan khidmat yang terbaik, gigih bekerja demi #rakyat dan negara dengan berpegang kepada prinsip-prinsip yang mulia,” kata Ahmad.

Ahmad sebelum ini pernah berkhidmat di bawah portfolio sama ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, Anwar memberi enam kerusi menteri, termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), kepada UMNO yang mempunyai 26 kerusi Parlimen, menyebabkan DAP yang mempunyai 30 kerusi Parlimen tidak puas hati apabila diberi empat jawatan menteri.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Chow Kon Yeow berkata terdapat parti politik yang kerusinya kurang berbanding DAP, tetapi sebaliknya mendapat lebih banyak jawatan menteri.

Menteri daripada UMNO ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (TPM); Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan); Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pendidikan Tinggi); Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Menteri Luar).

Anwar juga melantik Ahli MT UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi; dan Bendahari UMNO Selangor Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Sementara itu, Steven Sim yang juga Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang turut mengucapkan terima kasih kepada Anwar dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke di atas pelantikan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-