Siti Hafidah
'Buang orang lain, kemudian ganti orang dia!'
BANGI, 22 Jamadilawal 1444H, Sabtu – Tindakan melantik semula bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi FELCRA, menimbulkan keraguan terhadap keputusan kerajaan sebelum ini untuk menamatkan pelantikan politik.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.
Beliau berkata, biarpun Kabinet memutuskan supaya semua jawatan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan.
“Saya tak boleh untuk tak setuju untuk memberikan kepercayaan semula kepada Datuk Ahmad Jazlan.
“Dengan ini saya mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (Datuk Ramlan Harun) untuk mengeluarkan surat pelantikan semula dengan sesegera yang mungkin, tertakluk kepada persetujuan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Menteri sudah bersetuju atas arahan Timbalan Perdana Menteri. Tidak mustahilah Datuk KSU segera menyempurnakan lantikan semula itu,” katanya.
Menerusi tinjauan Ismaweb.net, rata-rata pengguna media sosial mempertikaikan tindakan kerajaan itu dan menyifatkannya seperti ‘cakap tidak serupa bikin’.
“Lantikan politik akan tetap ada sentiasa. Bezanya, siapa yang dilantik dan siapa yang melantik saja.
“Jadi tak payahlah cepat memuji sangat kalau pemerintah cakap akan tamatkan lantikan politik terdahulu. Dia buang orang lain, naikkan pula orang dia,” kata Ril Mansor.
Sementara itu, Mohammad Faisal pula mendakwa, keputusan kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ditujukan kepada pelantikan pentadbiran terdahulu.
“Cakap saja lantikan politik PN ditamatkan serta-merta dan akan digantikan lantikan politik lain. Ini tak. Tajuk saja sembang besar macam kita pegang kerajaan esok minyak turun,” sindirnya.
“Lantikan politik juga. Pusing-pusing macam itu jugalah,” itu pula kata Rozila RS.
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.