Saturday, December 17, 2022

MoU paksa sokong Anwar, kerajaan langgar Perlembagaan Negara

agendaily.com
17/12/2022
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata jika ada aduan oleh ahli Parlimen yang berkenaan di bawah Seksyen 124 (Kanun Keseksaan), maka pihak polis wajar membuka kertas siasatan.

Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pemimpin-pemimpin parti bagi memastikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kekal berkuasa semalam (16 Disember 2022) disifatkan sebagai melanggar undang-undang dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberi amaran pemimpin parti yang menandatangani MoU itu boleh disiasat terkait kes jenayah kerana memaksa ahli Parlimen (MP) membuat undi menyokong di Dewan Rakyat.

Menurutnya klausa dalam MoU itu yang mengatakan seseorang MP boleh hilang kelayakan jika tidak mengundi usul kerajaan, bukan sahaja bercanggah dengan pindaan Perlembagaan baru-baru ini berhubung lompat parti, bahkan ia juga tidak selari dengan perlembagaan pelbagai parti politik yang terlibat dalam perjanjian tersebut.

Katanya walaupun selepas Perkara 49A Perlembagaan melarang MP bertukar parti, namun tiada mana-mana parti politik meminda perlembagaan dalam memperincikan apa yang dibolehkan dan larangan yang boleh menjejaskan status mereka sebagai wakil rakyat.

“Sama ada perkara itu disukai atau tidak oleh parti, menjadi tanggungjawab parti untuk memasukkannya dalam perlembagaan atau peraturan-peraturan mereka jika mereka mahu. Tetapi tidak dilakukan pada masa itu secara khusus oleh mana-mana parti.

“Tidak ada peruntukan dalam perlembagaan parti masing-masing yang mengatakan seandainya ahli parti yang menjadi ahli Dewan Rakyat melakukan A, B atau C, atau tidak melakukan X, Y atau Z, akan dipecat daripada parti,” katanya.

Haniff berkata demikian dalam sebuah program dalam talian malam tadi, di samping turut menambah peruntukan akta antilompat parti yang dipinda dalam Perlembagaan baru-baru ini jelas menyatakan bahawa MP yang dipecat daripada partinya tidak akan kehilangan kerusi.

Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan antara lain menyatakan seorang MP akan kekal sebagai anggota Dewan Rakyat jika dia dipecat daripada partinya.

Oleh itu, Haniff berkata walaupun MoU ditandatangani, seorang MP tidak akan kehilangan kerusinya walaupun pengundiannya bercanggah dengan arahan parti kerana ia sudah dijamin Perlembagaan Negara.

Beliau juga memberi amaran disebabkan wujud konflik dengan Perlembagaan Negara, MP yang terjejas boleh membawa perkara itu ke mahkamah.

Semalam, Anwar mengetuai Pakatan Harapan (PH) menandatangani MoU dengan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan WARISAN, bagi memastikan kerajaan campurannya kekal berkuasa, di mana ia turut memasukkan klausa kontroversi mengatakan mana-mana MP daripada parti yang tidak menyokong usul kerajaan akan dianggap hilang kelayakan dan kerusi mereka akan dikosongkan bagi memberi laluan pilihan raya kecil.

MoU yang dimeterai menjelang usul undi percaya terhadap Anwar minggu depan, turut menyatakan setiap parti bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap MP masing-masing yang mengundi bercanggah dengan keputusan parti.

Pemimpin parti mendakwa MoU itu akan memastikan kestabilan dan perpaduan kerajaan gabungan dalam tempoh lima tahun akan datang, berikutan Parlimen yang tergantung akibat kemelut pelantikan perdana menteri selepas pilihan raya umum November lalu di mana Anwar terpaksa membentuk kerajaan gabungan yang rapuh bersama parti-parti pesaingnya.

Haniff berkata kestabilan Parlimen harus berdasarkan kematangan dan kesedaran wakil rakyat.

“Ianya tidak boleh dipaksa, dipengaruhi atau menjadi satu tekanan untuk membuang kerusi selagi itu tidak dinyatakan dalam Perlembagaan,” katanya lagi.

Terdahulu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Mas Ermieyati Samsudin memberi amaran bahawa MoU yang dimeterai semalam bakal membawa negara kepada pemerintahan diktator kerana memaksa MP menyokong kerajaan.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata Perlembagaan Negara memberikan kebebasan mutlak kepada MP untuk mengundi mengikut kesedaran sendiri.

Beliau memetik keputusan Mahkamah Agung pada 1983 yang mengisytiharkan sebarang perjanjian yang menghalang MP daripada mengundi berbeza daripada keputusan parti sebagai tidak sah.

“Ugutan serta intimidasi yang dibuat melalui perjanjian MoU terhadap MP daripada parti-parti kerajaan ini adalah satu permulaan kepada pemerintahan ala diktator,” katanya.

“Despotisme (pemerintahan kuku besi) jenis baharu ini tidak pernah disaksikan sebelum ini didalam sejarah politik atau Parlimen Malaysia. Pemaksaan ahli Parlimen untuk mengundi menurut arahan adalah sama seperti dalam system di Korea Utara, atau China.

“Ianya tiada tempat dalam sistem demokratik Malaysia. MoU yang dijana oleh Anwar dan PH-BN ini akan disemadikan selamanya sebagai titik hitam di dalam sejarah negara dan tindakan subversif terhadap demokorasi berparlimen serta struktur asas Perlembagaan,” kata Mas Ermieyati.

Sementara itu, Haniff memberi amaran pemimpin parti boleh disiasat dalam ruang lingkup jenayah, memetik peruntukan dalam Kanun Keseksaan terhadap tindakan memaksa MP mengenai pengundiannya di Dewan Rakyat.

Seksyen 124 Kanun Keseksaan menjenayahkan perbuatan “memujuk atau memaksa atau cuba untuk mendorong atau memaksa ahli Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan Negeri atau mana-mana Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk menjalankan atau menahan diri daripada menjalankan kuasa yang sah dalam apa jua cara”.

Haniff berkata unsur jenayah itu adalah terpulang kepada mahkamah dalam membuat keputusannya.

“Sekiranya ada aduan dibuat oleh ahli Parlimen yang berkenaan di bawah Seksyen 124 (Kanun Keseksaan), maka pihak polis wajar membuka kertas siasatan.

“Sekiranya ahli Dewan Rakyat tidak boleh dipaksa untuk mengikut perkara yang belum dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun perlembagaan parti, ianya mungkin mendedahkan ketua-ketua parti kepada siasatan jenayah.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-