By SatuBerita
-December 25, 2022
Datuk Jasri Jamaludin
KERAJAAN Pahang yang diterujui UMNO-DAP didakwa membatalkan kuliah ADUN Chenor, Mujibur Rahman Ishak di Masjid As-Sobirin Felda Jengka 4, petang semalam.
ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata setelah menghubungi Mujibur untuk mendapatkan kepastian, memang benar kuliah tersebut dibatalkan setelah mendapat arahan dari pihak atasan.
“Saya sangat sedih, kecewa dan kesal dengan pentabiran Kerajaan UMNO-DAP sekarang. Bukan sahaja sudah hilang akal tetapi juga sudah hilang rasa keimanan di dalam diri.
“Kuliah untuk memberi ilmu agama dan kefahaman mengenai akidah juga telah tidak dibenarkan. Anak-anak kariah Masjid Jengka 4 kini dinafikan hak untuk belajar dan menambah ilmu kefahaman agama serta menyambung pengajaran yang sudah bertahun berkuliah di situ.
“Saya dimaklumkan YB Ustaz Mujibur Rahman berkuliah di Masjid Jengka 4 ini sudah lebih 3 tahun. Kuliah yang disampaikan juga adalah dari Kitab Aqidah Ahli Sunnah Waljama’ah yang dikarang oleh Almarhum bekas Mufti Sabah. Beliau juga seorang yang berkelulusan dan berkelayakan serta mendapat tauliah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Jasri berkata yang juga Ketua Bahagian BERSATU Maran kesal apabila semangat perjuangan agama, bangsa dan negara dibakulsampahkan dan digadai hanya kerana mahukan kuasa.
Katanya, kini jelas selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kesan kerjasama UMNO dan DAP menyebabkan perkara ini sudah mula timbul.
“Penduduk negeri Pahang ini mengikut kajian tahun 2020 adalah seramai 1,591,295 orang. 80 peratus adalah penduduk Melayu Islam. Ke mana hilangnya semangat perjuangan agama, bangsa dan negara yang UMNO perjuangkan lebih 70 tahun? Hanya kerana mahukan kuasa, prinsip dan perjuangan datuk nenek kita dahulu dibakulsampahkan dan digadai.
“Besar sungguh pengaruh DAP dalam kerajaan negeri Pahang sehinggakan hal ehwal pentadbiran agama Islam juga turut mahu dicampuri. Itu baru sebulan duduk sekandang, makan sepinggan dan tidur sebantal.
“Saya berharap kalau pun bukan MB Kerajaan UMNO-DAP, Exco Agama dapat mempertimbangkan semula keputusan sebegini dan memberi penjelasan sacara rasional,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.