Sunday, December 4, 2022

PH, UMNO tak cakap soal rasuah dan bangsa lagi, takut kena kawan

agendaily.com
4/12/2022
Ketua Pemuda Perikatan Nasional Ahmad Fadhli Shaari berpendapat PH dan UMNO tidak lagi bercakap mengenai isu rasuah dan membela agama serta bangsa, setelah kedua-dua parti itu bekerjasama.

Pemuda Perikatan Nasional menyindir pelbagai pihak dalam kerajaan PH-UMNO yang tidak lagi bercakap isu-isu rasuah, sebaliknya mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat perbelanjaan RM600 bilion ketika pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional Ahmad Fadhli Shaari berpendapat isu rasuah tidak lagi dibincangkan oleh Pakatan Harapan (PH) setelah bekerjasama dengan pihak yang sebelum ini mereka dakwa sebagai perasuah dan penyamun wang rakyat.

Sementara UMNO pula tidak bercakap lagi mengenai membela agama dan bangsa kerana parti itu sudah mengkhianati amanah rakyat apabila menerima DAP – parti yang mereka pernah kata rasis dan bahaya – sebagai teman baharu.

Dalam satu kenyataan di facebook beliau hari ini (4 Disember 2022), Ahmad Fadhli membuat sindiran tajam terhadap pemimpin PH dan UMNO yang menggesa RCI berkenaan ditubuhkan, dan mengetepikan agenda pembangunan ekonomi rakyat yang dilaung-laungkan sebelum ini.

“Saya sangat-sangat setuju. Tubuhkan segera. Jangan berlengah lagi. Ketepikan dulu agenda ekonomi rakyat.

“Kita siasat dulu sehingga ke akar umbi. Inilah idea paling bagus kerajaan PH-BN setakat ini,” katanya sebagai mengulas desakan penubuhan RCI itu yang dikaitkan dengan tuduhan perbelanjaan mewah oleh Perikatan Nasional ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.

“Nak bercakap soal rasuah, nanti terkena geng sendiri. Soal pembelaan agama dan bangsa, nanti ada yang tak puas hati.”

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat itu turut mengingatkan supaya bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, turut dipanggil memberi keterangan jika RCI itu ditubuhkan.

Tengku Zafrul yang kalah di Parlimen Kuala Selangor kepada bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kini dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam pentadbiran Anwar.

“Jangan lupa, panggil juga YB Senator Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan pada masa itu,” katanya lagi.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri kelapan yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, semua wang itu dibelanjakan untuk membantu rakyat dan beliau juga tidak bimbang atau takut jika ada pihak mahu menyiasat kerana semua perbelanjaan dibuat mengikut dasar perolehan yang ditetapkan.

Manakala, bekas Perdana Menteri kesembilan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter sebelum ini turut menjelaskan, perbelanjaan langsung kerajaan ketika itu hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan berkenaan diluluskan di Parlimen secara sebulat suara.

Ismail Sabri juga menolak dakwaan pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari 2020 hingga 2022, sebaliknya menegaskan nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion, sebahagian besar tidak membabit perbelanjaan kerajaan seperti moratorium pinjaman oleh bank.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-