Showing posts with label Perikatan Nasional. Show all posts
Showing posts with label Perikatan Nasional. Show all posts

Sunday, August 4, 2024

'PAS hantar Rizwadi kerana Bersatu kurang 'anak lelaki'

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Aug 4, 2024 10:42 AM
Pencalonan bekas timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail sebagai calon mewakili Bersatu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri umpama "kakak menolong adik".

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana tindakan Rizwadi keluar PAS direstui pucuk pimpinan.

"Apa yang saya boleh katakan, PAS dan Bersatu adalah dua beradik yang berada dalam keluarga PN.

“PAS adalah kakak, manakala Bersatu adalah adik. Situasi yang berlaku apabila si adik mempunyai ladang, kebun getah yang luas namun kekurangan anak lelaki menyebabkan dia meminta anak daripada kakaknya untuk membantu.

“Manakala bagi pihak kakak (PAS), sudah tentu dia akan membantu apabila adiknya meminta pertolongan. Situasi inilah yang berlaku di PRK Nenggiri," katanya ketika berceramah di Kampung Bertam Lama, Gua Musang, malam tadi.

Takiyuddin memberi analogi itu sebagai mengulas kritikan terhadap calon Rizwadi yang dianggap sebagai calon dari PAS meskipun dia menyertai Bersatu.
Untuk rekod kerusi Nenggiri dimenangi Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu melalui calonnya, Mohd Azizi Abu Naim yang berpaling tadah.

Susulan itu ada gesaan supaya PAS bertanding semula di kerusi yang diperuntukan kepada Bersatu itu.

Dua hari sebelum pengumuman calon dibuat, Rizwadi bertindak menyertai Bersatu bagi membolehkannya bertanding mewakili PN.

Rizwadi bakal dicabar Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili BN.

"Kita pimpinan PAS sudah merestui Mohd Rizwadi atau Ustaz Wadi menyertai Bersatu dan menjadi calon di PRK Nenggiri memandangkan kami adalah adik beradik,” kata Takiyuddin lagi.

Sunday, June 16, 2024

Ketepi ego, kembali pada Umno jika mahu terus kerjaya politik, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Elill Easwaran
-16 Jun 2024, 08:45 AM

Mazlan Ali dan Azmi Hassan berkata KJ dan Shahril Hamdan perlu berjuang dalam Umno memandangkan ia platform terbaik bagi mereka.
(Dari kiri) Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan, Hishammuddin Hussein berkemungkinan akan kembali ke pangkuan Umno, kata penganalisis.

PETALING JAYA: Ahli dipecat atau digantung keahlian yang tidak kritikal kepada Umno perlu dialukan semula menyertai parti itu, kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata ahli digantung mahupun dipecat ketika ini terpecah dua kumpulan – satu menyendiri, selain sudah menyertai seteru Umno.

Beliau memberi contoh individu seperti Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, sebagai menyendiri, walaupun mereka kelihatan ‘proaktif’ dalam politik, menerusi hos bersama dalam audio siar.

Pada Januari 2023, Umno memecat bekas ketua Pemuda, Khairy, dan menggantung bekas ketua penerangan, Shahril, selama enam tahun.

“Kumpulan lain adalah yang menentang Umno dengan menyertai Perikatan Nasional terutama PAS. Mereka mungkin tidak ingin kembali kepada Umno,” katanya kepada FMT.

Antara personaliti dipecat Umno dan menyertai PAS adalah bekas setiausaha agung Barisan Nasional, Annuar Musa, dan bekas menteri wilayah persekutuan, Shahidan Kassim.

Mazlan berkata, beliau menjangkakan Khairy dan Shahril kembali kepada Umno pada masa depan, memandangkan presiden, Zahid Hamidi telah menstabilkan parti. Katanya, ‘tiba masa untuk mereka kembali dan mengukuhkan parti”.

“Mereka ini masih sayang kepada parti dan saya beranggapan tidak salah bagi Zahid menerima mereka kembali,” katanya sambil menyatakan mereka yang dipecat atau digantung mesti berfikiran terbuka dan memikirkan masa depan politik masing-masing.

Bulan lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Jalaluddin Alias, berkata parti bersedia menerima kembali pemimpin dan ahli yang disingkirkan selepas PRU15, khususnya jika mereka masih setia dan sealiran dengan perjuangan.

Dalam pada itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata ahli Umno dipecat atau digantung yang masih ingin meneruskan kerjaya politik sepatutnya mengetepikan ego masing-masing, termasuk juga Khairy.

“Saya rasa Khairy dan Shahril akan kembali kerana Umno menjadi platform terbaik bagi mereka. Hishammuddin Hussein, yang ‘low profile’ sejak penggantungan, berkemungkinan akan kembali,” katanya merujuk bekas naib presiden digantung enam tahun.

Bagaimanapun, beliau tidak menjangka bekas ahli MKT, Isham Jalil akan menyertai semula Umno memandangkan beliau telah ‘menyeberang jambatan’.

“Isham kritikal kepada Umno sejak disingkirkan dan juga mula muncul di pentas seteru Umno,” katanya.

Isham dipecat pada Disember kerana melanggar etika parti, termasuk gagal mematuhi arahan parti. Beliau dipecat di tengah-tengah kritikan terhadap Umno kerana berterusan bekerjasama dengan DAP.

Bulan lalu, Isham berkata beliau tidak berhasrat kembali kepada Umno kerana parti itu menyimpang daripada matlamat asal.

Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Sunday, November 19, 2023

Apa faedah kekal ‘telur’ di Terengganu, soal Ahmad Maslan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
19 Nov 2023

Ahli MKT Umno menolak sentimen PAS mahu Terengganu dikuasai penuh PN di peringkat DUN dan Parlimen.
Ahmad Maslan berkata pengundi PRK Kemaman tidak perlu ‘membakar satu-satunya jambatan’ penghubung negeri itu dengan kerajaan pusat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tiada faedah bagi rakyat Kemaman mengekalkan rekod “40-0” kerana akan menyebabkan kawasan Parlimen itu “membakar satu-satunya jambatan” antara Terengganu dengan kerajaan pusat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Maslan, berkata pengundi pada PRK Kemaman perlu bijak membuat pilihan dan tidak terbuai sentimen konon rakyat Terengganu dalam “mood” mengekalkan rekod tersebut pada pilihan raya lalu.

“Apa faedahnya hendak kekalkan ‘telur’ (untuk Barisan Nasional) di Terengganu. Tiada faedah pun.

“Sekiranya calon PAS iaitu Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar menang PRK Kemaman sekali pun, kawasan itu masih pembangkang di peringkat kerajaan pusat.

“Pada pandangan saya, pembangunan yang ada di Kemaman ketika ini pun banyak dilaksanakan ketika BN memerintah sebelum ini,” katanya menurut Berita Harian di Pontian.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS Idris Ahmad dilaporkan berkata, rakyat Terengganu tidak rela untuk memecahkan “telur” dan masih dengan “mood 40-0”, menolak kepimpinan Umno, PKR, Amanah, dan DAP.

Terengganu menjadi satu-satunya negeri dikuasai Perikatan Nasional sepenuhnya, menguasai 32 kerusi DUN dan lapan Parlimen.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Dis menyaksikan saingan dua penjuru antara calon BN iaitu bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Samsuri mewakili PAS.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga timbalan menteri kewangan berkata pengundi Parlimen Kemaman perlu menjadikan kawasan berkenaan sebagai jambatan penghubung antara Terengganu dengan kerajaan perpaduan.

“Jangan ‘dibakar’ satu-satunya jambatan perhubungan ini. Gunakan peluang ini, jika tidak perlu menunggu sehingga PRU16 nanti,” katanya.

Friday, March 3, 2023

Nasib ekonomi Melayu era Kerajaan Anwar-Zahid

harakahdaily.net
March 3, 2023
KETIKA era PERIKATAN NASIONAL, pada 2022 kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM77.3 bilion subsidi untuk rakyat kembali hidup selepas era pandemik dan kesan ekonomi global (perang Rusia-Ukraine).

Namun, Kerajaan Anwar-Zahid hanya memperuntukkan RM64 bilion untuk subsidi bagi tahun 2023. Nasib kita orang Malaysia tokoh rakyat yang dahulunya berceramah serata Malaysia mahu membela rakyat, kini telah mengurangkan jumlah subsidi di era pentadbiran mereka. Sedangkan jelas 2023 ini tahun yang sukar.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), ekonomi Malaysia dijangka mula menyederhana berikutan daripada kesan ketidakstabilan ekonomi global yang akan memberikan kesan secara tidak langsung kepada ekonomi Malaysia.

Pada masa yang sama Kerajaan Anwar-Zahid ini juga berpendirian tegas untuk tidak membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk secara bersasar.

Ini adalah kerja jahat dan menekan. Rakyat di bawah sedang sengsara untuk makan dan melunaskan komitmen bulanan mereka demi meneruskan hidup, alih-alih Anwar-Zahid yang sedang bersenang lenang di kerusi empuk Putrajaya menyekat duit milik rakyat yang sedang hidup dengan penuh kesusahan ini.

Penjawat awam juga jadi mangsa. Sebelum PRU mereka janji untuk naikkan gaji rakyat dengan intervensi kuasa kerajaan namun kini disuruh pula Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk bersabar kerana tidak menaikkan gaji akan kakitangan penjawat awam yang menjadi nadi kepada keberhasilan gerak kerja dasar kerajaan pada hari ini.

Sedangkan kos sara hidup rakyat terus meningkat. Namun Kerajaan Anwar-Zahid ini hanya pejam mata melihat rakyat sengsara.

Ada di antara peneroka FELDA yang hampir tidak terkira hutang mereka kepada FELDA. Namun ‘Abah’ (PM8) hadir melegakan jiwa mereka. Dihapusnya oleh beliau akan hutang-hutang mereka sebanyak RM8.3 bilion melalui kuasa politik yang beliau ada.

Namun, Anwar-Zahid dengan kuasa politik yang mereka dapat melalui ‘Deal of Century Cikgu’ telah menghentikan inisiatif ini.

Inilah nasib kita khususnya orang Melayu di era Anwar-Zahid. Umno hanya dijadikan alas kaki untuk mereka membentuk kerajaan untuk bersenang lenang, bukan untuk membangun ekonomi Melayu.

MUHAMMAD HANIF JAMALUDDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor

 – HARAKAHDAILY 3/3/2023

Tuesday, January 3, 2023

Anwar perlu mohon maaf kaitkan Perikatan Nasional dengan judi

agendaily.com
03/01/2023
Ketua Penerangan Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais.

Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf berhubung kenyataan sebelum ini yang mengaitkan parti itu dengan syarikat perjudian.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata ini kerana dakwaan Anwar yang mengatakan Perikatan Nasional bersekongkol dengan premis perjudian demi mendapatkan tajaan adalah tidak benar.

“Beliau (Anwar) perlu memohon maaf kerana terbukti apa yang dikatakan tidak benar kerana Perikatan Nasional tidak pernah terbabit meminta tajaan syarikat perjudian untuk membiayai parti.

“Tindakan Perdana Menteri mendakwa dana pilihan raya Pilihan Raya datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi sebelum ini adalah satu pembohongan.

“Perikatan Nasional mendesak supaya Perdana Menteri dapat membuat permohonan maaf secara terbuka kerana ia melibatkan maruah dan reputasi Perikatan Nasional yang wujud hasil gabungan Bersatu dan PAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan kerajaan negeri Kedah menamatkan sepenuhnya semua operasi premis perjudian dan loteri berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Mahathir berkata, sekarang terbukti Perikatan Nasional yang membawa imej Islam dalam pentadbirannya tidak mustahil untuk menghentikan lesen pusat perjudian dan loteri malah boleh dilakukan di peringkat nasional.

Jelas Mahathir, perancangan untuk menutup premis perjudian secara berperingkat antara agenda PAS dan Bersatu, malah perancangan itu sebenarnya sudah dibuat lama.

“Perkara ini telah disepakati antara Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannnya, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Islam akan menjadi corak pemerintahannya,” katanya menurut Sinar.

Anwar menerusi kenyataannya sebelum ini membayangkan sebahagian dana pilihan raya untuk parti Melayu dan parti Islam datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Kata Anwar, Kementerian Kewangan juga mendapati ‘pelanggaran’ dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender yang dikatakan berlaku semasa era kerajaan Perikatan Nasional.

Semalam Warta Rakyat melaporkan semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya pada 1 Januari 2023, susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan yang diputuskan pada November 2021 itu.

Sunday, January 1, 2023

Kerajaan PH-BN sekat peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang

agendaily.com
01/01/2023
Data dipetik daripada laporan laman sesawang dapmalaysia.org/peruntukan/

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menghentikan peruntukan kepada ahli Parlimen (MP) pembangkang yang pernah diberikan oleh kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini.

Sambil menyifatkan tindakan itu tidak adil kepada rakyat yang memberi sokongan kepada Perikatan Nasional, beliau bagaimanapun berkata MP pembangkang akan memastikan isu berkaitan peruntukan itu dapat diselesaikan.

“Di Parlimen, (kita memang) lain. Walaupun nama Kerajaan Perpaduan, tetapi kami ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional tidak dapat peruntukan, manakala Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan dapat peruntukan.

“Itu sudah ‘sesuatu’, bak kata (Allahyarham) P. Ramlee: ‘ini tidak adil!’ Bagaimanapun kita akan bincang perkara ini berterusan dan dapat manfaatkan semua pihak,” kata Shahidan pada sidang media selepas pelancaran Pertubuhan Perpaduan Ummah di Pusat Khidmat Parlimen Arau, Kubang Gajah semalam (31 Disember 2022) menurut Awani.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan diterajui sama ada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional terus memberi peruntukan kepada MP pembangkang untuk projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, amalan itu disekat ketika kali pertama PH memerintah pada 2018 apabila MP pembangkang hanya menerima RM100,000 untuk Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen, berbanding RM500,000 dan RM200,000 diterima MP yang menyokong kerajaan.

Ketika Perikatan Nasional diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih Kerajaan Persekutuan, peruntukan kepada MP pembangkang ditambah. Ini terbukti dengan laporan penggunaan peruntukan setiap MP DAP untuk kepentingan rakyat, terutamanya di kawasan yang mereka berkhidmat.

Menurut laporan dikeluarkan DAP bagi 2021 dan 2022, elaun dan peruntukan sama rata diberikan kepada MP kerajaan dan pembangkang.

Setiap ahli Parlimen diperuntukkan sejumlah tertentu (RM500,000 untuk ‘Outright Grant’ dan RM1 juta untuk Projek Mesra Rakyat) oleh Kerajaan Persekutuan, yang akan dibelanjakan untuk memperbaiki kawasan pilihan raya mereka sendiri, termasuk tujuan pembangunan atau untuk diberikan sebagai geran atau derma kepada NGO atau persatuan lain dalam kawasan mereka.

Antara lain, bagi Projek Mesra Rakyat (PMR), MP DAP telah membelanjakan peruntukan tersebut untuk 324 buah projek. Sejumlah RM11,192,753 dibelanjakan bagi sekolah dan bidang pendidikan, termasuk membaiki/ menaik taraf kemudahan asas, membeli bekalan untuk mengajar dan sebagainya.

Awal Disember lalu, Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khiruddin menyatakan bahawa kerjasama baik antara kerajaan dan pembangkang boleh dilaksanakan sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mengutamakan pemberian peruntukan Ahli Parlimen dengan sama rata.

Ahli Parlimen Jerantut itu menerusi satu kenyataan di Facebooknya berkata, perkara berkenaan merupakan antara janji termaktub dalam manifesto PH, yang kini menerajui Kerajaan Persekutuan.

Sunday, December 4, 2022

PH, UMNO tak cakap soal rasuah dan bangsa lagi, takut kena kawan

agendaily.com
4/12/2022
Ketua Pemuda Perikatan Nasional Ahmad Fadhli Shaari berpendapat PH dan UMNO tidak lagi bercakap mengenai isu rasuah dan membela agama serta bangsa, setelah kedua-dua parti itu bekerjasama.

Pemuda Perikatan Nasional menyindir pelbagai pihak dalam kerajaan PH-UMNO yang tidak lagi bercakap isu-isu rasuah, sebaliknya mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat perbelanjaan RM600 bilion ketika pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional Ahmad Fadhli Shaari berpendapat isu rasuah tidak lagi dibincangkan oleh Pakatan Harapan (PH) setelah bekerjasama dengan pihak yang sebelum ini mereka dakwa sebagai perasuah dan penyamun wang rakyat.

Sementara UMNO pula tidak bercakap lagi mengenai membela agama dan bangsa kerana parti itu sudah mengkhianati amanah rakyat apabila menerima DAP – parti yang mereka pernah kata rasis dan bahaya – sebagai teman baharu.

Dalam satu kenyataan di facebook beliau hari ini (4 Disember 2022), Ahmad Fadhli membuat sindiran tajam terhadap pemimpin PH dan UMNO yang menggesa RCI berkenaan ditubuhkan, dan mengetepikan agenda pembangunan ekonomi rakyat yang dilaung-laungkan sebelum ini.

“Saya sangat-sangat setuju. Tubuhkan segera. Jangan berlengah lagi. Ketepikan dulu agenda ekonomi rakyat.

“Kita siasat dulu sehingga ke akar umbi. Inilah idea paling bagus kerajaan PH-BN setakat ini,” katanya sebagai mengulas desakan penubuhan RCI itu yang dikaitkan dengan tuduhan perbelanjaan mewah oleh Perikatan Nasional ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.

“Nak bercakap soal rasuah, nanti terkena geng sendiri. Soal pembelaan agama dan bangsa, nanti ada yang tak puas hati.”

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat itu turut mengingatkan supaya bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, turut dipanggil memberi keterangan jika RCI itu ditubuhkan.

Tengku Zafrul yang kalah di Parlimen Kuala Selangor kepada bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kini dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam pentadbiran Anwar.

“Jangan lupa, panggil juga YB Senator Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan pada masa itu,” katanya lagi.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri kelapan yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, semua wang itu dibelanjakan untuk membantu rakyat dan beliau juga tidak bimbang atau takut jika ada pihak mahu menyiasat kerana semua perbelanjaan dibuat mengikut dasar perolehan yang ditetapkan.

Manakala, bekas Perdana Menteri kesembilan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter sebelum ini turut menjelaskan, perbelanjaan langsung kerajaan ketika itu hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan berkenaan diluluskan di Parlimen secara sebulat suara.

Ismail Sabri juga menolak dakwaan pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari 2020 hingga 2022, sebaliknya menegaskan nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion, sebahagian besar tidak membabit perbelanjaan kerajaan seperti moratorium pinjaman oleh bank.

Tuesday, November 22, 2022

Agong titah 30 MP BN menghadap esok

agendaily.com
22/11/2022
Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli Parlimen Barisan Nasional menghadap baginda esok (23 November 2022).

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua 30 ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) menghadap baginda jam 10.30 pagi esok (23 November 2022) di Istana Negara.

Sesi menghadap ahli Parlimen BN itu menyusul pertemuan baginda dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili Perikatan Nasional (PN), dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pakatan Harapan), hari ini, dalam menentukan bakal Perdana Menteri kesepuluh.

Dalam kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin petang ini, berkata tindakan itu bagi membuat keputusan melantik Perdana Menteri yang menerima sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Adalah dimaklumkan bahawa lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional pada jam 4.30 petang ini di Istana Negara, proses seterusnya ialah sesi menghadap 30 ahli Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional.

“Sesi menghadap secara individu ini dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi esok (23 November 2022) di Istana Negara.

“Proses ini adalah bertujuan supaya KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai,” katanya dalam kenyataan itu.

Mohd Shukri MB baharu Perlis

agendaily.com
22/11/2022
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang Mohd Shukri Ramli, menerima watikah Menteri Besar daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, hari ini (Selasa, 22 November 2022).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis Mohd Shukri Ramli hari ini (22 November 2022) mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu di Istana Arau.

Pesuruhjaya PAS Perlis itu itu mengangkat sumpah Menteri Besar Perlis ke-8 kira-kira jam 4.15 petang, selepas diperkenankan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Mohd Shukri, 61, menjadi Menteri Besar pertama dari gabungan PN yang mentadbir Perlis buat julung kalinya sejak merdeka selepas gabungan itu berjaya memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu lalu (19 November).

Kejayaan itu juga sekali gus menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu yang sudah mentadbir Perlis sejak 65 tahun lalu. BN kalah semua kerusi DUN dan tiga Parlimen di Perlis.

Turut berangkat pada majlis itu angkat sumpah itu adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Speaker DUN Perlis, Datuk Hamdan Bahari, barisan ADUN Perlis yang baharu termasuk, seorang daripada Pakatan Harapan (PH) dan Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad.

Mohd Shukri dikenali sebagai Cikgu Shukri dalam kalangan masyarakat tempatan, adalah pesara guru yang berpengalaman luas dalam profesion pendidikan selama 37 tahun serta pernah berkhidmat sebagai guru di pelbagai sekolah di Sarawak dan Perlis.

Beliau sudah berkahwin dan dikurniakan enam anak dan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau menyambung pendidikan di Institut Perguruan Rajang yang kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang, Bintangor, Sarawak.

Mohd Sukri kemudian memulakan karier sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Beraya, Miri, SK Pulo, Kuching dan lima lagi sekolah rendah di Perlis bermula 1985 sehingga bersara pada 2013 untuk ‘terjun’ ke bidang politik.

Mohd Shukri mula menjadi ADUN Sanglang selepas menang di kerusi DUN itu pada PRU-13 pada 2013 sebelum terus mempertahankan kerusi berkenaan sehingga kini.

Kariernya dalam politik bermula apabila beliau pernah dilantik menjadi Ketua Penerangan PAS Perlis dan Setiausaha Perhubungan PAS Perlis sebelum diangkat menjadi Pesuruhjaya PAS Perlis dan Pengerusi PN Negeri Perlis malah beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Perlis sebelum ini.

Dalam pembabitan aktiviti dan kerja kemasyarakatan pula, anak kelahiran Sanglang itu pernah menjadi Setiausaha Masjid Dato Jaafar Hassan, Simpang Empat, Ketua Unit Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Sungai Padang, Pengerusi Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Lukmanul Hakim, Sungai Padang selain menjadi penaung kepada badan bukan kerajaan (NGO) di Arau dan Sanglang.

Pada PRU-15 lalu, Mohd Shukri mempertahankan kerusi DUN Sanglang yang dimenanginya sejak PRU2013 lalu dalam saingan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional, Sharipudin Ahmad, calon Pakatan Harapan, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad dan Zainudin Yom dari Parti Warisan Sabah dengan majoriti 3,335 undi.

Sunday, November 20, 2022

Ahli MT UMNO beri sokongan terbuka kepada Muhyiddin, PN

agendaily.com
20/11/2022
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menang kerusi Parlimen Jelebu hari ini (20 November 2022) memberi sokongan terbuka kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kesepuluh dan pentadbiran Perikatan Nasional.

Seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Jalaluddin Alias hari ini (20 November 2022) menyatakan sokongan terbuka kepada Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia kesepuluh.

Beliau yang menang kerusi Parlimen Jelebu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semalam, (19 November 2022), menjadi Ahli MT dan Ahli Parlimen (MP) pertama daripada UMNO yang menyatakan sokongan terbuka kepada Perikatan Nasional.

Dalam kenyataan media hari ini beliau berkata keputusan itu dibuat berasaskan kepada prinsip untuk memastikan rakyat dan negara terus berada dalam keadaan stabil dan makmur.

Beliau menasihatkan semua pihak, khususnya ahli UMNO, menerima hakikat keputusan PRU-15 yang mana Barisan Nasional (BN) hanya menang di 30 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

“Dalam situasi ini tiada satu parti pun yang beroleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu. Namun demikian, kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara ini harus diteruskan dengan dipimpin oleh sebuah kerajaan yang stabil dan berpengalaman.

“Berpaksikan ‘track records’, saya berprinsip bahawa kita harus membentuk sebuah ‘unity goverment’ tanpa Pakatan Harapan (PH) untuk menerajui Kerajaan Malaysia pasca PRU-15 ini.

“Asas utama penolakan terhadap PH ini adalah atas kegagalan pentadbiran negara dan keruntuhan negara semasa 22 bulan diperintah mereka pada PRU-14 lalu,” katanya.

Jalaluddin juga mengajak semua ahli Parlimen BN untuk mengambil tanggungjawab memastikan kewujudan sebuah kerajaan yang stabil.

“Secara terbuka saya mengambil sikap berjiwa besar dan matang dalam kolektif politik untuk mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri atas kerangka bahawa Perikatan Nasional memiliki jumlah kerusi kedua tertinggi dalam Dewan Rakyat selepas PH.

“Kerangka pemikiran ini adalah atas prinsip saya untuk memastikan rakyat dan negara ini terus berada dalam keadaan stabil dan makmur,” katanya.

UMNO, BN berputih mata kalah semua kerusi di Melaka

agendaily.com
20/11/2022
Calon Perikatan Nasional Datuk Mas Ermieyati Samsudin mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah dalam PRU-15 setelah menang majoriti 4,411 undi.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengalami tamparan paling hebat apabila semua calonnya yang bertanding di kerusi Parlimen di Melaka, tewas kepada pesaing, masing-masing daripada Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan (PH), pada PRU-15 semalam (19 November 2022).

Kekalahan itu dipercayai berpunca daripada penolakan rakyat, khususnya anak muda berusia 18 hingga 35 tahun, berikutan beberapa skandal membabitkan pemimpin UMNO, selain perpecahan yang berlaku dalam parti itu.

Senario itu menyaksikan BN julung kalinya terlepas semua kerusi Parlimen apabila tiga kerusi di Parlimen Tangga Batu, Jasin dan Masjid Tanah berjaya ditawan Perikatan Nasional, manakala tiga lagi kerusi di Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka dimenangi PH.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang membuat penampilan sulung di kerusi Parlimen Alor Gajah mengalahkan calon ‘heavyweight’ BN iaitu Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dengan majoriti 890 undi.

PH turut mengekalkan kemenangan di Parlimen Hang Tuah Jaya menerusi Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abd Halim yang memperoleh majoriti 8,638 selepas menewaskan Ketua UMNO bahagian Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali daripada BN yang hanya memperoleh 30,780 undi.

Selain itu, penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (DAP) turut berjaya mempertahankan kerusi itu yang disandangnya dengan majoriti selesa 46,420.

Perikatan Nasional turut membuat kejutan apabila penyandang kerusi Parlimen itu di Masjid Tanah iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 4,411 undi menewaskan calon BN yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid yang hanya meraih 21,193 undi.

Dua wakil PAS yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional berjaya merampas kerusi Parlimen Tangga Batu dan Jasin menerusi Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkifli Ismail di Jasin dengan majoriti 322 dan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Bakri Jamaluddin dengan majoriti selesa 8,849 undi di Tangga Batu.

Wednesday, November 16, 2022

Undi Melayu pecah, Kubu Muhyiddin retak

malaysiakini.com
Raveena Nagotra
Diterbitkan: Nov 16, 2022 12:00 PM
Sejak 1978, Pagoh sentiasa menjadi kerusi kuat Muhyiddin Yassin. Dia telah menjadi peyandang untuk kerusi itu selama lapan penggal.

Hanya dari tahun 1986 hingga 1995 dia tidak menjawat jawatan itu kerana menjadi menteri besar Johor.

Dengan rekod itu, Pagoh dianggap sebagai kerusi kuat BN, memandangkan Muhyiddin ketika itu bersama BN.

Bagaimanapun dengan kemenangan Muhyiddin pada 2018 bersama Pakatan Harapan, tanggapan itu tertanya tidak benar.

Muhyiddin menguasasi 55.2 peratus undi dalam pertembungan tiga penjuru.

Bertanding bawah lambang Perikatan Nasional (PN) kali ini, masih tidak jelas sama ada dia akan dapat sekali lagi meyakinkan pengundi supaya setia.

Pada 2018, Muhyiddin mendapat sokongan pengundi bukan Melayu. Sokongan ini perlu dikekalkan jika dia mahu memenangi semula kerusi parlimen itu.

Dalam rangka menarik undi golongan itu, dia antaranya mengadakan pertemuan dengan 50 pengundi India di sebuah kedai makan di Taman Pagoh Jaya, beberapa hari lalu.

J Lakshmi, 56, penyokong lama Muhyiddin antara yang hadir.

“Dia selalu tolong kita, bagi kita makanan.

“Dia juga tolong orang susah,” katanya.

Bagaimanapun, makin lama perbualan, Lakshmi baru menyedari bahawa Muhyiddin bukan lagi bersama Pakatan Harapan (PH).

PH malah meletakkan calon mereka Iskandar Shah Abdul Rahman untuk berlawan dengan Muhyiddin.

Lakshmi tidak menyedari perkara itu walaupun muka Muhyiddin bersama lambang PN terpampang di kain rentang di pondok panas depan restoran itu.

“Oh,” ungkapnya, kehilangan kata.
Ditanya sama ada dia masih memilih Muhyiddin walaupun platformnya sudah berbeza, Lakshmi menjawab: “Kita tengoklah macam mana”.

Dia bagaimanapun menegaskan dia sentiasa menyokong Muhyiddin sebelum ini.

Bagaimanapun, bagi pengundi bukan Melayu lain, yang cakna dengan perkembangan politik, nadanya berbeza.

Di sebuah kedai gunting rambut di Bukit Pasir, seorang pesara yang hanya mahu dikenali sebagai Koh berkata dia tidak akan mengundi Muhyiddin lagi.

Penyokong PH itu berkata, dia akan memilih berdasarkan parti.

“Jika kita pilih orang, hanya orang itu yang dapat kuasa dan susah untuk melawan kuasa yang lebih besar.

“Individu tak boleh buat apa-apa,” katanya.

Katanya, perkara itu menjadi amalan di negara-negara maju.

[Baca laporan asal]

‘PN bukan lagi underdog, sokongan besar rakyat petanda kemenangan

agendaily.com
16/11/2022
Lebih 2,000 orang menghadiri pada program Jelajah Perikatan Nasional 'PN BEST' melibatkan Parlimen Pasir Gudang, Johor Bahru dan Tebrau di Taman Sierra Perdana, Masai, malam tadi (15 November 2022). Malah ada dilihat terpaksa mengikuti ceramah berkenaan dari luar khemah utama yang boleh memuatkan kira-kira 1,500 tetamu. - Gambar Agenda Daily

Gelombang besar sokongan yang diterima Perikatan Nasional sejak kebelakangan ini mengetepikan tanggapan awal bahawa gabungan itu hanya ‘underdog’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada Sabtu, 19 November 2022 ini.

Menyifatkan sokongan itu amat luar biasa, Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah berkecimpung dalam dunia politik negara lebih 48 tahun lalu, melihat gelombang itu sebagai tanda rakyat Malaysia bersedia memberi mandat kepada gabungan itu untuk membentuk Kerajaan Persekutuan kali ini.

“Saya telah pergi ke seluruh negara (berkempen)… dan Pasir Gudang ini bukan yang terakhir… di setiap kawasan yang saya lawati dan tinjau secara dekat, saya dapati bahawa dukungan pengundi-pengundi di hampir semua negeri-negeri yang saya lawati agak luar biasa.

“Iaitu suatu petanda juga yang saya telah sebutkan tadi bahawa Perikatan Nasional akan menang dalam PRU-15 ini insya-Allah.

“Di peringkat awal sebelum hari penamaan calon ramai yang berkata bahawa Perikatan Nasional ini underdog. Macam orang tak pandang sangatlah. Agak dipandang remeh seolah-olah kita ni macam budak sekolah.

“Tapi terbukti tanggapan dan andaian ini adalah salah. Kerana pada hari ini dapat lihat jelas dan nyata di mata kepala saya dan saudara sekalian bahawa kita sudah pun melihat satu kemaraan… dukungan rakyat yang luar biasa dan hebat…

“Seolah-olah sudah ada satu gelombang besar nak mengangkat Perikatan Nasional membentuk kerajaan selepas 19 hari bulan ini insya-Allah,” katanya berucap pada program Jelajah Perikatan Nasional ‘PN BEST’ melibatkan Parlimen Pasir Gudang, Johor Bahru dan Tebrau di Taman Sierra Perdana, Masai, malam tadi (15 November 2022).

Lebih 2,000 orang menghadiri program itu, malah ada dilihat terpaksa mengikuti ceramah berkenaan dari luar khemah utama yang boleh memuatkan kira-kira 1,500 tetamu.

Turut hadir pada program itu ialah calon PN di kerusi Parlimen Pasir Gudang, Mohamad Farid Abdul Razak; Parlimen Tebrau (Mohamad Isa Mohamad Basir); Parlimen Pulai (Loh Kah Yong); dan Parlimen Johor Bahru (Mohd Mohtaj Yacob).

Saturday, November 12, 2022

Ibu bapa perlu nasihat anak muda tolak pemimpin, parti tak amanah

agendaily.com
12/11/2022
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap keupayaan kerajaan pimpinannya sebelum ini yang berjaya menangani krisis paling besar dalam sejarah dunia menjadi panduan kepada pengundi membuat pilihan siapa yang patut menjadi kerajaan selepas PRU-15 ini.

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berpesan kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang pertama kali akan mengundi dalam pilihan raya kali ini supaya menasihatkan mereka memilih pemimpin dan parti yang berjasa dan mampu memimpin.

“Kita sebagai ibu bapa bertanggungjawab membimbing dan menerangkan kepada anak-anak kita parti mana yang perlu dipilih pada PRU-15.

“Nyatakan kepada anak-anak, pilihlah pemimpin yang sudah terbukti berjasa dan dapat menjalankan amanah dengan baik sebagai pemimpin.

“Pemimpin yang bersama rakyat ketika susah dan senang dan pemimpin yang prihatin ketika rakyat bergelut dengan kesulitan,” katanya dalam kenyataan hari ini selepas majlis sembang santai bersama penduduk Kundang Ulu, Parit Raja Gersik.

Pengerusi Perikatan Nasional itu yang mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh menyeru anak muda untuk keluar beramai-ramai melaksanakan tanggungjawab memilih pemimpin negara yang layak.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu bimbang sekiranya ramai yang tidak keluar mengundi maka pemimpin yang bersih dan berwibawa terlepas peluang untuk diangkat menerajui negara.

“Ketika saya bertemu dengan jentera parti di Bilik Gerakan PDM Gersik, saya meminta mereka mengenal pasti pengundi mengikut kategori putih, hitam dan atas pagar.

“Santuni mereka secara berhemah, bertoleransi serta berikan penerangan yang jelas bagi membantu mereka membuat pilihan tepat.

“Saya juga berkesempatan untuk bersama masyarakat India di Taman Pagoh Jaya dan penduduk setempat Tionghoa di Jalan Hamzah. Saya meminta mereka untuk keluar mengundi pada 19 November nanti.

“Saya berharap masyarakat Tionghoa dan orang India dapat memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan bahawa PRU-15 adalah pilihan raya paling penting yang menjadi penentu siapa dan parti mana yang bakal menerajui Malaysia.

“Kita perlu menolak pemimpin yang sudah terbukti tidak prihatin rakyat dan menjejaskan imej negara pada mata dunia.

“Inilah masa untuk kita berganding bahu, mengerah kudrat dan tenaga bagi memastikan hanya pemimpin yang layak dan berwibawa dipilih memimpin negara tercinta.

“Ayuh semua keluar mengundi, keputusan di tangan anda!,” katanya.

Tuesday, November 8, 2022

Selepas KJ kata Pak Syeikh kawan baik Zahid, anak murid tertekan

agendaily.com
08/11/2022
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semakin tertekan susulan peningkatan sokongan, termasuk daripada ahli UMNO sendiri, kepada Perikatan Nasional (PN), tatkala hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin hampir.

Mendakwa PN akan bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan, Zahid terlupa bahawa beliau sendiri pernah mengeluarkan kenyataan UMNO akan bekerjasama dengan DAP ketika krisis pentadbiran kerajaan PH dan PN di Perak sebelum ini.

Menjawab kempen mengatakan ‘satu undi untuk BN adalah sama dengan memberi undi kepada Zahid menjadi Perdana Menteri’ Presiden UMNO itu hari ini (8 November 2022) mendakwa satu undi untuk PN sebenarnya bermaksud satu undi untuk PH.

Tekanan yang dihadapi beliau diluahkan lagi dengan mengatakan “Bukankah Pengerusi PN yang beriya-iya mahu bersama PH sebelum ini? Maka tidak mustahil PN akan bekerjasama juga dengan PH akhirnya, terutama setelah gagal peroleh cukup kerusi untuk bentuk kerajaan.”

Sebelum ini, calon BN kerusi Parlimen Sungai Buloh Khairy Jamaluddin berkata:

“Siapa kawan baik Zahid ni? KJ ka Anwar? Siapa yang ada rakaman telefon ni dengan Anwar? Saya ka Zahid… Jadi fikir-fikirlah. Kalau nak tolak Zahid sangat akhir-akhirnya you punya Pak Syeikh sendiri yang akan ada ‘deal’ dengan Zahid. Apa you nak cakap nanti?,” kata Khairy atau KJ.

Untuk rekod, ketika krisis di Perak, PN mengambil alih pentadbiran daripada PH dengan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kekal sebagai Menteri Besar dengan mendapat sokongan UMNO.

Namun kemudian UMNO inginkan jawatan Menteri Besar hingga menimbulkan krisis pentadbiran sekali lagi, dengan Zahid mengeluarkan kenyataan UMNO sedia bekerjasama dengan PH dan DAP.

Untuk mengelak DAP dan PH kembali berada bersama UMNO memimpin kerajaan Perak, PN bersetuju memberi sokongan kepada Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar.

Sejarah juga membuktikan Zahid dan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa bekerjasama dalam mengatur suasana politik negara. Anwar dan Zahid sebelum ini sudah diketahui umum sangat rapat sejak zaman Pemuda UMNO lagi.

Ketika hendak menjatuhkan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin tahun lalu, BN juga bekerjasama dengan PH untuk memberi tekanan, sehingga akhirnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Perdana Menteri.

Agenda Daily sebelum ini juga pernah mendedahkan satu klip audio suara mirip Anwar dan Zahid sedang berbincang strategi politik ketika PAU 2020 pada Mac tahun lalu, tular di media sosial.

Perbualan antara Presiden PKR dengan Presiden UMNO itu sangat mesra dengan kedua-dua mereka saling bertukar-tukar pandangan berhubung ucapan para perwakilan UMNO semasa PAU berlangsung.

Pertengahan bulan lalu pula, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan beliau menerima maklumat mengatakan kononnya Anwar dan Zahid mengadakan perbincangan sulit berhubung PRU-15 ini.

Menurut Wan Saiful beliau telah diberitahu oleh rakan dalam Pakatan Harapan (PH) bahawa perbincangan teramat sulit antara team Zahid dan team Anwar berjalan lancar.

Menyusul kemudian, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan satu muslihat antara UMNO serta BN dan PH dalam menghadapi PRU-15 pada 19 November ini.

Menurutnya UMNO akan memastikan BN menang kurang kerusi untuk memberi laluan kemenangan besar kepada PH dalam pilihan raya ini, sebelum kedua-duanya membentuk kerajaan sekiranya jumlah kerusi dimenangi mencukupi untuk berbuat demikian.

Ia disusuli dengan kenyataan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan BN akan bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan sekiranya jumlah kerusi kedua-duanya mencukupi untuk berbuat demikian.

Pengerusi Gerakan Tanah Air Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengeluarkan kenyataan sama bahawa Zahid dan Anwar akan bekerjasama memastikan mereka dapat membentuk kerajaan.

Kedua-dua Zahid dan Anwar kemudian serentak menafikan dakwaan itu.

Namun, Sabtu lalu Zahid akhirnya mengakui BN mungkin terpaksa bekerjasama dengan ‘gabungan’ lain sekiranya gagal membentuk kerajaan majoriti selepas PRU ini.

Saturday, September 24, 2022

Selamatkan negara dengan tukar kerajaan, tegas Muhyiddin

agendaily.com
24/09/2022
Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada sambutan ulang tahun keenam Bersatu di Putrajaya, hari ini (24 September 2022). - Gambar Agenda Daily

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) harus menjadi medan kepada parti komponen Perikatan Nasional (PN), khususnya Bersatu, untuk menyelamatkan negara daripada jatuh ke paras kolam paling dalam.

Mengingatkan ahli Bersatu terhadap tanggungjawab besar menyelamatkan negara, Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata adalah penting untuk memastikan kemenangan PN pada PRU akan datang.

Pengerusi PN itu berkata keadaan negara pada masa ini semakin tidak baik dan pilihan yang ada bagi membetulkan keadaan itu ialah dengan menukar kerajaan sedia ada.

“Terbentuknya Bersatu adalah atas asas dan tujuan yang cukup mulia iaitu untuk menentang kleptokrasi, salah guna kuasa kebongkaran rasuah yang belah berleluasa berlaku dalam negara kita pada hari ini

“Walaupun negara kita tidak hadapi ancaman peperangan, tetapi kita berhadapan peperangan lain iaitu menyelamatkan negara daripada jatuh ke satu paras kolam paling dalam,” kataya berucap pada sambutan ulang tahun keenam Bersatu di Putrajaya, hari ini (24 September 2022).

Muhyiddin berkata walaupun sekarang ini sudah ada tanda-tanda pertumbuhan, tetapi ianya tidak mencukupi dan dijangkakan tahun depan masalah ekonomi akan lebih teruk.

“Sebab itu kita mesti mengambil satu pendirian yang penting untuk menentukan supaya negara kita ini dapat kita selamatkan. Apa yang telah pun kita lakukan kita cuba selamatkan. Tapi malang sekali kita belum hasil sepenuhnya.

“Sekarang ni negara dipimpin oleh perdana menteri. Kita bekerjasama ialah untuk menjamin sedikit sebanyak ada kestabilan dalam negara kita. Tetapi saya berani menyebutkan beberapa hari yang lepas bahawa saya rasa tidak cukup dengan apa yang telah pun dilakukan oleh Perdana Menteri kerana situasi negara kita semakin hari semakin menjadi lebih buruk.

“Saya tak nak membandingkan saya dengan beliau. It is not fair. Kerana saya tidak berada di situ lagi. Tapi. sekarang ini dia (negara) dipimpin oleh seorang Perdana Menteri. Saya tak nak mengajar Perdana Menteri, itu bukan tugas saya.

“Tetapi peranan kita, sebagai sebuah gerakan parti politik menjadi lebih tercabar. Apa yang harus kita lakukan? Jadi setakat yang telah pun kita lakukan dan kita telah mampu lakukan kita buat.

“Walaupun kita telah meletakkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan mengharapkan ada bentuk kerjasama persefahaman tetapi nampaknya UMNO tetap UMNO. UMNO masih gelojoh dengan kuasa. Hampir sebahagian jawatan-jawatan penting dipinda dan ditukar pada orang-orang UMNO sahaja.

“Sebab itu jawapan yang paling penting sekarang ialah bila mana pilihan raya sampai kita tukar kerajaan yang ada hari ini… dan kita bina sebuah kerajaan Perikatan Nasional. Bukan pasal saya nak jadi Perdana Menteri.

“Itu tidak penting… sesiapa sahaja boleh mengetuai parti dan kerajaan. Tetapi yang penting sekali ialah Perikatan Nasional mesti kembali untuk berkuasa supaya menguruskan negara ini dengan cara yang lebih teratur, lebih berkesan.

“Yang penting juga ialah kita hendak menentukan rakyat jelata mesti ada cukup makan di atas meja mereka,” katanya disambut tepukan pemimpin dan ahli Bersatu yang hadir.

Tuesday, August 30, 2022

Ini keputusan PH, bukan ‘sekadar pandangan peribadi’ saya, Rafizi bidas Muhyiddin

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 30, 2022 2:45 PM
Rafizi Ramli mengingatkan Muhyiddin Yassin agar tidak memandang rendah pemimpin yang lebih muda sepertinya.

PETALING JAYA: Rafizi Ramli membidas kenyataan Muhyiddin Yassin yang menyifatkan kenyataannya tiada kerjasama antara Pakatan Harapan dengan Perikatan Nasional sebagai pandangan peribadi.

Rafizi berkata pengerusi PN itu meremehkan kenyataan beliau sebagai timbalan presiden PKR dan ahli dalam Majlis Presiden PH.

“Katanya (Muhyiddin) itu pendapat peribadi saya, bukan keputusan PH. Yang jadi timbalan presiden dan duduk dalam Majlis Presiden PH adalah saya. Yang tahu apa keputusan PH dia,” kata Rafizi dalam kenyataan.

Rafizi turut mengingatkan Muhyiddin agar tidak memandang rendah pemimpin yang lebih muda sepertinya.

“Mereka (Perikatan Nasional) memandang rendah mereka yang lebih muda. Walaupun saya sudah berusia 45 tahun, telah berada dalam barisan kepimpinan sejak berusia awal 20an, di mata Muhyiddin saya hanya budak hingusan.

“Sebab dalam PN, orang muda ini fungsinya bukan untuk membuat keputusan. Fungsi pimpinan berumur 40an ke bawah dalam PN hanyalah mengikut telunjuk mereka yang dua atau tiga dekad lebih tua,” katanya.

Selain itu, Rafizi juga turut mengingatkan Muhyiddin bahawa keputusan PH untuk tidak bekerjasama dengan PN adalah muktamad dan menolak sebarang rundingan belakang tabir yang membelakangi keputusan yang sudah dibuat parti.

“Keputusan untuk memberi noktah kepada sebarang perbincangan bekerjasama dengan PN ini ialah keputusan Majlis Presiden PH yang terakhir.


“Keputusannya ialah PH akan menguatkan gabungan ini dan masuk PRU15 sebagai PH. Noktah,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menyifatkan kenyataan Rafizi menolak sebarang bentuk kerjasama dengan gabungan itu sebagai “sekadar pandangan peribadi”.

Rafizi sebelum ini berkata, PH menegaskan, keputusan mereka untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU15 adalah muktamad.

Katanya, ia sudah pun diputuskan menerusi mesyuarat PH, pada Rabu lalu.

Saturday, January 29, 2022

PRN Johor: PAS-Bersatu bertanding bawah PN

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-January 29, 2022 2:28 PM


PETALING JAYA: PAS dan Bersatu mengumumkan akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor di bawah panji Perikatan Nasional.

Keputusan itu dicapai dipercayai selepas PAS gagal mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi dengan Umno dalam pilihan raya negeri itu.

“Bahawasanya, PAS dan Bersatu dengan penuh kesungguhan dan iltizam ke arah mewujudkan kestabilan politik dalam negara, telah membuat ketetapan bersama menyertai PRN Johor sebagai PN,” menurut kenyataan resolusi muzakarah PAS Bersatu yang diadakan selama dua hari bermula semalam.

Mengulas lanjut, resolusi itu juga menegaskan sokongan PAS dan Bersatu dalam kerajaan persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati dan dirundingi.

“…di atas nilai integriti, anti rasuah dan berkebajikan,” menurut kenyataan itu.

Parti itu juga melahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan, menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat.

Ia dipercaya merujuk kepada pendirian Umno yang mahu bergerak solo dalam PRN Johor dan hanya menawarkan empat kerusi kepada PAS jika mahu bekerjasama dalam pilihan raya itu.

BERITA LANJUT MENYUSUL

Thursday, September 30, 2021

PN mula susun pembahagian kerusi, bersiap hadapi PRU15

agendadaily.com
30/9/2021

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PN hari ini.

Perikatan Nasional (PN) sudah mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kesepakatan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN hari ini yang dihadiri semua parti komponen membabitkan Bersatu, PAS, parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR Sabah), Parti Progresif Sabah (SAPP), dan Gerakan.

“Majlis Tertinggi juga telah membincangkan mengenai persiapan pilihan raya umum yang akan datang.

“Parti-parti komponen Perikatan Nasional telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi-kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-Negeri dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata susulan pelaksanaan Undi-18, PN juga membincangkan pendekatan dan program yang akan dilaksanakan bagi menyantuni golongan muda dan bersiap sedia dengan penambahan pengundi-pengundi muda dan baharu ini.

Menurutnya PN sentiasa menghormati dan komited mendukung hak generasi muda untuk mengambil bahagian dalam proses pilihan raya dan amalan demokrasi di negara ini.

Bekas Perdana Menteri juga berkata mesyuarat itu juga mencapai ketetapan menyokong Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 September 2021.

PN, katanya, akan memainkan peranan untuk menyampaikan pandangan dan pendirian parti itu dari semasa ke semasa mengenai MoU itu.

“Mesyuarat juga membuat keputusan untuk saya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional bagi menyampaikan pendirian yang telah diambil oleh PN berkenaan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat,” katanya.

Pada masa sama Muhyiddin berkata majlis pelancaran rasmi PN peringkat kebangsaan akan diadakan pada November 2021 dengan PN Selangor menjadi tuan rumah.

Selain itu, beliau turut mengumumkan Haji Saiful Adli Mohd Arshad dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif PN berkuat kuasa 1 Oktober 2021.

Menurutnya, beberapa isu lain termasuk pentadbiran kerajaan, perancangan Majlis Pemulihan Negara, pengurusan pandemik Covid-19,
situasi ekonomi, Rancangan Malaysia Ke-12 dan isu-isu yang berbangkit berkaitan politik semasa, turut dibincangkan.

Monday, August 23, 2021

Umno Jangan Bongkak Dan Sombong

BERITA
By MT Webmaster 
On Aug 23, 2021

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Ismaweb

Kerajaan baharu pimpinan UMNO bila-bila masa boleh tumbang jika salah satu parti komponen Bersatu, PAS, GRS, dan GPS menarik diri.

Jika UMNO tidak dapat menerima nama Perikatan Nasional, menerajui kerajaan baharu, apakah nama yang sesuai? Carilah dan berilah nama baharu itu. Apa yang penting, lakukan segera reformasi dan tranformasi dengan segera bagi melonjakkan ekonomi dan kebajikan rakyat dalam keadaan pandemik ini. Dalam kata lain, tidak ada parti boleh bersendirian dalam memastikan kerajaan berada dalam keadaan stabil. Justeru, bantulah dan bekerjasamalah.

Bandingkan dengan ultra kiasu, sentiasa bersedia, bila-bila masa untuk menggantikan kerajaan baharu ini sekiranya kerajaan baharu ini tumbang lagi. Cuba baca komen-komen mereka, apabila pelantikan Perdana Menteri (PM) baharu.

Ultra kiasu menyerang kiri, kanan, depan belakang, atas bawah pelantikan PM baharu, amat malang pemimpin sesama parti komponen tidak saling sepakat, bantu-membantu dan kuat-memperkuat.

Paling menjengkelkan apabila ultra kiasu menyerang keperibadian PM mengenai isu kebolehan berbahasa Inggeris. Malangnya, dalam kalangan orang Islam sendiri turut tumpang semangkuk menyerang. Wajarkah semua ini dilakukan. Walhal semua kita tahu, PM sebelum ini, sebelum menjadi ahli politik, ada seorang peguam dan mengambil MCE bukannya SPM. Itu sudah cukup menandakan sama ada PM boleh berbahasa Inggeris atau tidak. Kita tidak perlu PM yang fasih berbahasa kerana PM bukanlah guru Bahasa Inggeris. Paling penting faham dan boleh bertutur. Jika ada salah itu perkara biasa, bukan bahasa kita tetapi bahasa asing.

Apakah kelayakan PM mesti tahu berbahasa Inggeris. Bagaimana dengan PM Menteri di negara-negara maju yang lain yang saya jarang mendengar mereka berbahasa Inggeris, seperti China, Jepun, Thailand dan lain-lain negara yang teramat sayangkan bahasa kebangsaan mereka.

Kenapa kita terlalu obses berbahasa Inggeris sehingga terlepas pandang bahasa sendiri. Saya amat yakin, ultra kiasu yang lantang menyerang itu, bahasa Melayu memang tunggang-langgang. Bahasa kebangsaan diketepikan bahasa ibunda dan bahasa asing dipandang tinggi, sedangkan kakinya berpijak di bumi bertuah ini. Layakkah mereka ini digelar warganegara.

Kenapa bahasa Inggeris harus menjadi ukuran dalam menilai seseorang. Adakah kita tidak akan maju jika tidak pandai berbahasa Inggeris. Begitu ramai pelajar kita belajar di luar negara, cair bahasa Inggeris, termasuk lulusan Oxford, Cambridge dan Harvard, tidak ke mana juga dengan bahasa Inggeris yang hebat itu

Kejayaan seseorang itu bergantung kepada sikap atau pada bahasa asing yang dikuasai walaupun tidak nafikan kepentingan bahasa antarabangsa itu. Mendiang Lim Goh Tong, tidak ada sijil pun, apatah lagi kebolehan berbahasa Inggeris pada mulanya, boleh menjadi kaya-raya

Kecerdasan intelektual (IQ) berbahasa, tanpa disertai dengan kecerdasan emosi (EQ) tidak membawa apa-apa makna. Mark Zukerberg, pengasas Facebook (FB), gagal di Harvard, tidak bermakna dia gagal. EQ Zukerberg jauh lebih berharga sebab itu dia berjaya. Antara terkaya di dunia.

Pandai macam mana pun, petah macam mana berbahasa Inggeris, tidak ke mana, jika sikap dan perangai ke laut. Menjadi PM soal sahaja soal IQ tetapi paling penting ialah EQ. Dalam Islam, kita tambah lagi kecerdasan emosi spiritual (ESQ). Keupayaan untuk berurusan dan menjaga hati orang lain, lebih-lebih lagi kepada Pencipta jauh lebih penting.

Inilah kadang-kala kita terlepas pandang. Sama seperti kedudukan hari ini, keupayaan untuk menjaga hati parti-parti komponen. UMNO tidak boleh berdiri sendirian dalam jajaran politik baharu ini. Bila-bila masa kerajaan yang dibina hari ini boleh tumbang jika salah satu parti komponen menarik diri. Jadi, jangan terlalu sombong dan bongkak

Jajaran politik baharu hari tidak membenarkan UMNO bertindak sendiri tanpa sokongan parti-parti komponen yang lain.

Isu nama ‘pakatan’ yang mengetuai kerajaan yang dibentuk menjadi hangat apabila PM baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO dilantik. Segelintir pemimpin UMNO tidak mahu nama Perikatan Nasional. Jadi apakah namanya?

Dalam ucapan sulungnya, Ismail mengajak pemimpin politik tanpa mengira latar belakang ideologi supaya mencari persamaan dan tidak lagi menggali perbezaan.
Ismail menggunakan pendekatan ‘keluarga Malaysia’ kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Konsep ‘keluarga Malaysia’ diambil kerana keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga. Ismail menawarkan kepada pembangkang untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Sambutlah seruan PM yang baharu ini demi agama, bangsa dan negara. Demi rakyat tercinta yang telah menaikkan Ahli Parlimen menjadi pemimpin negara. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Saya ingin mengulangi saranan saya sebelum ini, pada kali ini mengambil kira akronim ISMAIL iaitu:

Pertama, I – Islam. Berakhlaklah dengan akhlak Islam, agama yang termaktub sebagai agama Persekutuan dan Rukun Negara. Kepercayaan kepada Tuhan sebagai rukun pertama. Bagi bukan Islam, berakhlaklah mengikut agama dan Tuhan masing-masing. Saya dahulukan Islam, kerana Islam agama Persekutuan dan agama majoriti. Dapatkan reda Allah, dengan menjalankan suruhan agama yang mahukan kebaikan dan keadilan ditegakkan, dengan menjauhi kemungkaran. Tidak ada agama yang tidak bersetuju dengan semua nilai-nilai agama (Islam) yang dibawa. Pastikan setiap rakyat menghayati agama masing-masing, untuk menjadi warga yang berguna. Jika Islam amat menentang salah guna kuasa dan rasuah, agama lain pun begitu. Saya teruja untuk melihat PM boleh menjadi imam dan membaca doa seperti mana PM sebelum ini, Mahiadin Yasin.

Kedua, S – Setia dan Sabar. Rukun Negara kesetiaan kepada Raja dan Negara. Pastikan Kabinet yang dibentuk ini terdiri daripada kalangan mereka yang setia terhadap Raja dan Negara. Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah pun bertitah, laksanakan titah baginda. Baginda mahu semua ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara. Rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik COVID-19. Jalankan titah sebagai tanda kesetiaan. Jangan ada lagi yang derhaka.

Ketiga, M – Maafkan dan mantapkan Kabinet baharu. Maafkanlah sahabat-sahabat yang selama ini bermusuhan dek kerana lompat parti dan berlainan parti. Lantiklah dalam kalangan mereka yang berwibawa dan mempunyai watak pendamai. Tidak perlu lagi lantikan senator untuk menjadi menteri atau timbalan. Ahli Parlimen sedia ada sudah mencukupi dari segi kepakarannya. Jika gunakan senator, carilah senator-senator yang ada di Dewan Negara. Lagi pun kerajaan ini tidak lama sementera menunggu PRU15. Lagipun ramai lagi pakar-pakar di luar sana yang bukan ahli politik, boleh digunakan bagi membantu negara ketika krisis ini. Paling pentingkan, pastikan tidak ada lagi watak Sikitol dan Mandeliar.

Keempat, A – Amanah. Jawatan ini adalah amanah, ada perkiraan dunia akhirat. Jagalah amanah ini dengan baik. Kita tidak mahu dengar lagi isu-isu salah laku, salah guna kuasa dan rasuah yang menghantui kita selama ini. Benteras habis-habisan

Kelima, I – Istiqamah atau tetap pendirian. Pastikan Kabinet baharu ini istiqamah dan tidak mudah goyah, tetap dengan pendirian, berprinsip. Tidak mudah dibeli sehingga boleh menyebabkan berlakunya lompatan yang boleh meruntuhkan kerajaan sekali lagi.

Keenam, L – Libat urus. Selalu lakukan libat bersama rakyat bagi mendapatkan pandangan, cadangan dan maklum balas mengenai impak pandemik COVID-19 terhadap agama, bangsa dan negara. Dalam kata lain, pastikan wakil rakyat turun ke kawasan masing-masing untuk mengelami masalah rakyat.

Zaman sekarang bukan seperti zaman dahulu, maklumat terus diperolehi dihujung jari.

Akhirnya, saya ingin menyeru, wahai Ismail, namamu persis seperti dengan nama nabi, iaitu Nabi Ismail. Jika mahu kekal lama, berakhlaklah dan contohi peribadi Nabi Ismail. Nabi Ismail memiliki beberapa sifat terpuji, bekerja keras, ikhlas, menepati janji, taat kepada perintah Allah, hormat sesama manusia dan dirinya sendiri. Jika semua sifat ini tersemat dalam diri, yakinlah jawatan PM akan menjadi ibadah untuk dibawa ke syurga nanti.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-