Saturday, December 17, 2022

Pilihan raya bebas dan adil hasilkan kerajaan tak demokratik: Muhyiddin

agendaily.com
17/12/2022
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perjanjian Persefahaman (MoU) parti-parti yang bergabung membentuk kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) bertentangan dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, kata Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menegaskan bahawa sekiranya MoU yang berunsur kediktatoran ini dianggap sah, maka tidak mustahil pindaan Perlembagaan Negara yang bertentangan dengan naluri ahli-ahli Parlimen dan nilai masyarakat di negara ini, akan diluluskan oleh Dewan Rakyat secara paksa.

“Rakyat Malaysia tentunya tidak mahu pilihan raya yang diadakan secara bebas, adil dan demokratik akhirnya menghasilkan sebuah kerajaan yang tidak demokratik,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini (17 Disember 2022).

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai PH menandatangani MoU dengan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan WARISAN, di mana ia turut memasukkan klausa kontroversi mengatakan mana-mana ahli Parlimen yang tidak menyokong usul kerajaan akan dianggap hilang kelayakan dan kerusi mereka akan dikosongkan bagi memberi laluan pilihan raya kecil.

Ahli Parlimen terbabit dianggap sebagai peletakan jawatan atau pemberhentian daripada menjadi MP, manakala kerusi mereka perlu dikosongkan seperti dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan, jika tidak menyokong usul kerajaan

‘Perjanjian kuku besi’ yang dimeterai menjelang usul undi percaya terhadap Anwar minggu depan, turut menyatakan setiap parti bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap ahli Parlimen masing-masing yang mengundi bercanggah dengan keputusan parti.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri beliau memandang serius MoU itu yang bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Saya memandang serius Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh gabungan-gabungan parti dalam kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mewajibkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dari parti masing-masing mengundi usul-usul tertentu di Dewan Rakyat termasuk undi percaya kepada Perdana Menteri yang mana kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan mereka kehilangan kerusi Parlimen yang disandang

“Perjanjian ini adalah bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki Ahli-Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusi hanya apabila mereka melompat parti. Undang-undang anti lompat parti tidak menghalang hak dan kebebasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengundi di Dewan Rakyat.

“Tidak ada mana-mana bahagian dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki seorang Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusinya jika beliau tidak menurut arahan parti dalam pungundian mana-mana usul atau rang undang-undang.

“Malah, hal ini dinyatakan dengan jelas dalam Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti,” katanya lagi.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menggariskan butiran 21.3 dan 21.2 penyata itu yang menyebut:

“21.3 Jawatankuasa mengambil maklum pandangan bahawa ADR (Ahli Dewan Rakyat) yang tidak mengundi mengikut arahan parti politik (crossing the floor) dianggap bertukar parti adalah tidak berperlembagaan kerana ADR mempunyai hak kebebasan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengundi di Dewan Rakyat.

“21.4 Jawatankuasa bersetuju bahawa tindakan ADR yang mengundi bertentangan dengan arahan parti politik di Dewan Rakyat (crossing the floor) adalah tidak dianggap bertukar parti dan tidak terhenti menjadi ADR.”

Oleh itu katanya, berdasarkan peruntukan dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas yang disebutkan beliau percaya MoU berkenaan adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

“Lebih daripada itu, saya bimbang sekiranya perjanjian ini dianggap sah, maka kerajaan pimpinan PH akan memaksa Ahli-Ahli Dewan Rakyat mereka mengundi usul-usul atau rang undang-undang lain pada masa akan datang, termasuk yang berkaitan dengan pindaan Perlembagaan.

“Ini kerana, sepertimana yang didakwa oleh Perdana Menteri, beliau telah pun mempunyai sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat, iaitu genap majoriti 2/3 Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang membolehkan pindaan perlembagaan dibuat.

“Sekiranya perjanjian persefahaman yang berunsur kediktatoran (dictatorial) ini dianggap sah, maka tidak mustahil pindaan Perlembagaan yang bertentangan dengan naluri (conscience) Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan nilai masyarakat di negara ini akan diluluskan oleh Dewan Rakyat secara paksa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-