Thursday, December 29, 2022

‘Siapa nak undi UMNO lagi jika dah bergabung dengan Anwar, DAP?’

agendaily.com
29/12/2022
Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz kerap mengeluarkan pendapat kritikal terhadap UMNO dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Tun Faizal Ismail Aziz mengingatkan ahli parti itu berhubung pilihan raya akan datang, terutama pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang dijadual tahun depan.

Beliau yang kerap mengeluarkan pendapat kritikal terhadap UMNO dan kepimpinan tertinggi parti itu, terutama setelah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) serta DAP, juga berpendapat Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menipu pengundi.

Tahun depan, enam negeri di bawah kerajaan Perikatan Nasional dan PH – Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang – akan mengadakan PRN, setelah tidak menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pada 19 November lalu.

Hanya Perlis, Perak dan Pahang sahaja menyertai PRU-15 lalu, manakala Melaka dan Johor telah mengadakan PRN masing-masing pada 2021.

Dalam PRU-15 lalu juga, Barisan Nasional (BN) menang 30 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen, dengan 26 daripadanya dimenangi UMNO – kekalahan paling teruk dalam sejarah parti yang kini dipimpin Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Di Perlis pula, BN/UMNO kalah semua tiga kerusi Parlimen dan di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Kubu kuat UMNO itu tumbang di tangan Perikatan Nasional yang menang semua kerusi Parlimen dan 14 kerusi DUN. PH menang satu kerusi DUN.

Di Perak, BN/UMNO hanya menang tiga daripada 24 kerusi Parlimen, dan sembilan daripada 54 kerusi DUN. Perikatan Nasional menang 26 kerusi DUN dan PH (24), termasuk 18 daripada DAP. Bagaimanapun, UMNO bekerjasama dengan PH/DAP untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Bagi kerusi Parlimen pula UMNO hanya menang tiga kerusi, PH (11 kerusi) dan Perikatan Nasional (10 kerusi).

Sementara di Pahang pula, UMNO hanya menang lima daripada 14 kerusi Parlimen, dan 17 kerusi DUN, sama seperti Perikatan Nasional, manakala PH menang lapan kerusi. UMNO kemudian bekerjasama dengan tujuh wakil rakyat PH, termasuk enam daripada DAP untuk membentuk kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Tun Faisal meminta akar umbi memikirkan siapa yang akan mengundi parti itu setelah UMNO membuat pusingan-U dengan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP – parti yang perjuangannya berbeza sama sekali dengan UMNO – dalam membentuk Kerajaan Pusat dan kerajaan Pahang serta Perak.

Menjelaskan lebih lanjut, Tun Faisal mendedahkan sebelum Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PH, dua ahli MT menghubungi dan bertanyakan pandangan beliau.

“Saya beritahu bahawa di Wilayah Persekutuan – Parlimen Bandar Tun Razak, Setiawangsa, Lembah Pantai dan lain-lain kawasan DAP, memang UMNO dan BN sudah boleh melupakannya. Sama juga di Selangor dan Pulau Pinang.

“Mereka tanya masa depan macam mana kalau (bergabung) dengan PN? Saya beritahu… jangan fikir pasal kita nak bertanding dulu. Kena fikir pasal siapa yang nak undi kita lagi ‘in the future’ kalau kita dah angkat Anwar dan DAP.

“Semua parti adalah pesaing kita… PKR dan DAP selama ini juga nak bunuh kita (UMNO). Semuanya perlukan kita berunding (dengan PN), cuma yang nak pergi berunding tu tak boleh la Zahid. Dia dah tipu mereka banyak kali, takkan la mereka nak berunding dengan dia lagi. Siapa nak berunding dengan penipu.

“Lagipun dia (Zahid) punca utama kekalahan teruk UMNO dan BN… dia patut letak jawatan dan serahkan rundingan kepada orang lain, orang yang patut bawa hala tuju baharu UMNO bukan Zahid… Zahid dah gagal,” katanya.

Bagaimanapun, Tun Faisal berkata beliau melihat MT lebih memikirkan untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri dan kawasan untuk mereka bertanding, berbanding perjuangan serta maruah UMNO serta pengundi yang mereka khianati.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-