Sunday, December 18, 2022

Tiada langkah Tropicana, PN sedia jadi pembangkang sepenggal

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe

PM, Kabinet sudah angkat sumpah, perlu bekerja demi rakyat


BANGI, 23 Jamadilawal 1444H, Ahad – Perikatan Nasional (PN) menerima hakikat dan bersedia menjadi pembangkang untuk tempoh sepenggal di Dewan Rakyat.

Justeru, dakwaan kononnya wujud langkah Tropicana bagi menjatuhkan kerajaan campuran yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berlaku.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu akan terus menjadi semak dan imbang yang terbaik kepada kerajaan hari ini.

“Tak ada. (langkah Tropicana). Saya tak nak kata ia tak mungkin berlaku.

“Saya bukan manusia sempurna yang boleh melihat masa depan,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Sebelum ini, khabar angin mengenai Langkah Tropicana timbul kerana dikatakan ia cubaan untuk menukar keputusan sedia ada pada 19 Disember.

Ini kerana, sidang Dewan Rakyat esok akan membentangkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri bagi membuktikan keabsahan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap Anwar, sekali gus memperkukuh kestabilan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Agenda itu susulan daripada kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini meminta Anwar membuktikan sama ada beliau mempunyai sokongan majoriti.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, Anwar dan barisan Kabinet sudah mengangkat sumpah serta harus menjalankan kerja demi kepentingan rakyat.

“Sekiranya semua berjalan dengan baik rakyat boleh memberi sokongan dan hidup dengan senang, tiada masalah, kerajaan patut diberikan peluang,” katanya.

Beliau menegaskan PN akan terus memantau setiap perjalanan yang dibuat kerajaan.

“Kita nampak sekarang ini terlalu banyak sangat nak usik penjawat-penjawat awam, tapi kalau lebih kepada temolok mereka, kita akan persoalkan.

“Rakyat hari ini bukan calang-calang dan kita akan terus bersuara jika ada yang tidak kena,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-