Thursday, January 19, 2023

Bantahan awal Najib ditolak, Hakim Abu Bakar dinamakan secara sah - Mahkamah

bharian.com.my
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali 
ajohari@bh.com.my
- Januari 19, 2023 @ 2:34pm

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais, dinamakan secara sah oleh Ketua Hakim Negara dalam komposisi panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan semakan oleh Datuk Seri Najib Razak terhadap sabitan dan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri itu dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli, menolak bantahan awal Najib yang diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, supaya Abu Bakar menarik diri daripada mendengar permohonan semakan itu.

Abdul Rahman dalam keputusan terbabit berkata, mahkamah tidak diyakinkan dengan hujahan Muhammad Shafee bahawa Abu Bakar harus menarik diri daripada mendengar permohonan semakan itu.

"Pada pandangan kami, undang-undang adalah jelas bahawa Ketua Hakim Negara diberi kuasa budi bicara menamakan Hakim Mahkamah Rayuan untuk bersidang sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan bagi kepentingan keadilan mengikut Peruntukan 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.

"Atas alasan sama, kami menolak hujahan bahawa Abu Bakar tidak sepatutnya terbabit dalam pendengaran permohonan ini. Sehubungan itu, kami menolak bantahan awal pemohon," katanya.

Beliau kemudian memerintahkan Muhammad Shafee untuk memulakan hujahan permohonan semakan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, berhujah bahawa peruntukan Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan digunakan dengan betul dalam menamakan Abu Bakar dalam komposisi panel berkenaan.

Sithambaram berkata, tiada sebarang unsur niat jahat dalam penyenaraian hakim itu untuk mendengar kes berkenaan, justeru beliau memohon mahkamah untuk menolak bantahan awal terbabit dan meneruskan dengan mendengar permohonan semakan pemohon.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata, terdapat tujuh lagi Hakim Mahkamah Persekutuan yang berkelayakan untuk mendengar permohonan semakan itu.

"Mengapa Ketua Hakim Negara tidak menamakan tujuh hakim ini. Ia adalah persoalan yang sangat serius," katanya.

Pada awal prosiding, pagi tadi, Najib membantah komposisi panel itu dengan alasan mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964, komposisi Hakim Mahkamah Persekutuan mesti terdiri daripada semua Hakim Mahkamah Persekutuan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-