Showing posts with label SRC International Sdn Bhd. Show all posts
Showing posts with label SRC International Sdn Bhd. Show all posts

Wednesday, September 25, 2024

Kes saman SRC: 'Nampaknya, Nik Faisal mungkin mempermainkan kedua-dua belah pihak...' - Najib

bharian.com.my
Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bh.com.my
 - September 25, 2024
Nik Faisal Ariff Kamil (kiri) dan Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menafikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd (SRC), Nik Faisal Ariff Kamil adalah penghubung di antara beliau dan syarikat pelaburan strategik negara itu.

Bekas Perdana Menteri yang memberi keterangan dalam kes saman SRC terhadapnya di Mahkamah Tinggi hari ini, menegaskan dakwaan itu tidak benar sama sekali.

Ini kerana, katanya, ia bukan cara syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), tidak terkecuali SRC.

Sebelum ini, bekas Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Suboh Md Yassin turut mendakwa, setiap keputusan lembaga pengarah syarikat perlu diluluskan oleh Najib dan arahan akan diberikan melalui Nik Faisal.

Menurut Najib, dalam mesyuarat terhadnya dengan Nik Faisal, bekas CEO itu menyatakan lembaga pengarah sudah membuat keputusan berhubung pelaburan SRC.
Foto fail Datuk Seri Najib Razak ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, minggu lalu. - NSTP/FAIL

Keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan yang perlu dan melaksanakan usaha wajar melalui perunding dan penasihat luar.

Bekas Perdana Menteri menegaskan, beliau pasti tidak mengarahkan lembaga pengarah dalam apa cara sekalipun berhubung perkara itu dan tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk menguruskan mana-mana syarikat MKD, termasuk SRC secara mikro.

"Tambahan pula, SRC International hanyalah satu daripada banyak syarikat MKD yang terbabit dalam projek berkaitan kepentingan negara pada masa itu. Tiada sebab untuk saya mengarah Lembaga Pengarah SRC melalui Nik Faisal.

"Nampaknya, Nik Faisal mungkin mempermainkan kedua-dua belah pihak. Kepada saya, dia menyatakan ia diputuskan lembaga pengarah dan kepada lembaga pengarah, dia menyatakan saya memberi arahan.

"Apa yang membingungkan saya ialah mengapa Pengarah SRC yang lain, termasuk Tan Sri Ismee tidak peduli untuk mengesahkan perkara itu dengan saya secara langsung.

"Sebaliknya hanya menerima kata-kata Nik Faisal. Ini terutamanya berkaitan dengan dana syarikat," katanya.

Najib berkata, Ismee ahli korporat yang berpengalaman dan mempunyai pengalaman yang luar biasa dalam cara syarikat berkaitan kerajaaan (GLC) dikendalikan.

Walaupun mempunyai nombor telefon peribadinya dan mereka telah bertemu beberapa kali, katanya, beliau tidak pernah ditanya mengenai perkara yang Ismee katakan, iaitu Nik Faisal mewakili lembaga pengarah.

Pada 7 Mei 2021, SRC memfailkan saman sivil terhadap Najib dan Nik Faisal dengan menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.

Dalam kes saman terbabit, Suboh dan Ismee dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama bekas pengarah lain, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah. Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC, selain menyeleweng dana itu.

Ia memohon perisytiharan, semua defendan bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin sedang berlangsung.

Thursday, March 28, 2024

Wan Ji: Najib dapat layanan 'sangat istimewa' di penjara

malaysiakini.com
B Nantha Kumar & Siti Nur Shahirah Omar
Diterbitkan: Mar 28, 2024 10:00 AM
Sebelum ini, segelintir pihak menimbulkan spekulasi bahawa bekas perdana menteri Najib Razak sebenarnya tidak pun menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Ini kerana, menurut mereka, tiada gambar yang dapat membuktikan perkara itu selain layanan istimewa yang mungkin dinikmatinya selaku bekas pemimpin utama negara.

Namun, penceramah Wan Ji Wan Hussin yang baru saja menghabiskan hukuman penjaranya di sana menyatakan Najib sememangnya di penjara itu, dan malah mendakwa dia menerima layanan "sangat istimewa".

Dalam wawancara bersama Malaysiakini susulan pembebasannya, Wan Ji berkata dia pernah melihat kelibat Najib ketika menjalani hukumannya.

"Kalau ada orang kata Najib tiada dalam penjara, itu tidak betul. Memang dia di Penjara Kajang, hari-hari dia ada di situ. Kecuali kalau dia ada urusan luar seperti perbicaraan di mahkamah," katanya kepada Malaysiakini pada 25 Mac lalu.

Bagaimanapun, Wan Ji mendakwa Najib menerima layanan sangat istimewa, berbeza dengan banduan-banduan lain.
"Saya biasa nampak dia tak pakai baju banduan macam kita yang lain. Dia pakai biasa sahaja, macam duduk di rumah.

"Bukan pakai sut, tak adalah. Maksudnya dia pakai macam duduk di rumah, saya di situ pakai baju banduan," katanya, sambil menambah Najib ditempatkan di "blok istimewa", berbeza dengannya.

"Memang dia istimewa sangat. Bukan (sekadar) istimewa, tapi istimewa sangat," dakwanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi pihak Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Penjara Malaysia untuk mendapatkan respons berhubung dakwaan ini.

Wan Ji bebas sepenuhnya pada 22 Mac lalu setelah beberapa bulan menjalani hukuman penjara ekoran sabitan kes hasutan yang dikaitkan dengan sultan Selangor pada 2014.

Memulakan hukumannya pada 25 September 2023, dia sebelum ini telah keluar penjara pada 1 Januari lalu, melalui Program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).

Melalui program itu, Wan Ji yang merupakan bekas pegawai kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata dia dibenarkan tinggal di luar tetapi tidak boleh bergerak bebas dan mesti mendapatkan kebenaran untuk kegiatannya.
Menceritakan lebih lanjut, Wan Ji berkata dia tidak berpeluang untuk berinteraksi dengan Najib sepanjang berada di Penjara Kajang.

"Najib ini saya tak jumpa, cuma nampak. Blok saya yang belakang sekali. Dekat kawasan padang, ada satu blok lain dan Najib ada di situ.

"Jadi bila peguam datang berjumpa saya, saya berjalan dan nampak dia. Bercakap tak boleh sebab jauh," katanya lagi.

Najib dijatuhkan hukuman 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC).

Pada 2 Februari lalu, Lembaga Pengampunan membuat keputusan untuk mengurangkan hukuman tersebut kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta.

Dengan itu, Najib dijangka akan dibebaskan pada Ogos 2028. Bagaimanapun, dia boleh dibebaskan lebih awal atas "kelakuan baik" pada Ogos 2026 selepas menjalani dua pertiga dari tempoh hukuman penjara.

Thursday, January 19, 2023

Bantahan awal Najib ditolak, Hakim Abu Bakar dinamakan secara sah - Mahkamah

bharian.com.my
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali 
ajohari@bh.com.my
- Januari 19, 2023 @ 2:34pm

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais, dinamakan secara sah oleh Ketua Hakim Negara dalam komposisi panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan semakan oleh Datuk Seri Najib Razak terhadap sabitan dan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri itu dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli, menolak bantahan awal Najib yang diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, supaya Abu Bakar menarik diri daripada mendengar permohonan semakan itu.

Abdul Rahman dalam keputusan terbabit berkata, mahkamah tidak diyakinkan dengan hujahan Muhammad Shafee bahawa Abu Bakar harus menarik diri daripada mendengar permohonan semakan itu.

"Pada pandangan kami, undang-undang adalah jelas bahawa Ketua Hakim Negara diberi kuasa budi bicara menamakan Hakim Mahkamah Rayuan untuk bersidang sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan bagi kepentingan keadilan mengikut Peruntukan 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.

"Atas alasan sama, kami menolak hujahan bahawa Abu Bakar tidak sepatutnya terbabit dalam pendengaran permohonan ini. Sehubungan itu, kami menolak bantahan awal pemohon," katanya.

Beliau kemudian memerintahkan Muhammad Shafee untuk memulakan hujahan permohonan semakan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, berhujah bahawa peruntukan Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan digunakan dengan betul dalam menamakan Abu Bakar dalam komposisi panel berkenaan.

Sithambaram berkata, tiada sebarang unsur niat jahat dalam penyenaraian hakim itu untuk mendengar kes berkenaan, justeru beliau memohon mahkamah untuk menolak bantahan awal terbabit dan meneruskan dengan mendengar permohonan semakan pemohon.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata, terdapat tujuh lagi Hakim Mahkamah Persekutuan yang berkelayakan untuk mendengar permohonan semakan itu.

"Mengapa Ketua Hakim Negara tidak menamakan tujuh hakim ini. Ia adalah persoalan yang sangat serius," katanya.

Pada awal prosiding, pagi tadi, Najib membantah komposisi panel itu dengan alasan mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964, komposisi Hakim Mahkamah Persekutuan mesti terdiri daripada semua Hakim Mahkamah Persekutuan.

LANGSUNG | Menanti nasib Najib hari ini

malaysiakini.com
Pasukan Malaysiakini
Diterbitkan: Jan 19, 2023 8:47 AM
Semua mata tertumpu pada cubaan terkini Najib Razak untuk membatalkan sabitan bersalah ke atasnya dalam kes rasuah membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International Sdn Bhd (SRC), di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.

Setelah gagal di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, bekas perdana menteri itu memohon panel mahkamah tertinggi baru untuk mendengar semakan dikemukakannya terhadap sabitan dan hukuman sebelum ini.

Pada 23 Ogos tahun lepas, lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib atas sabitan satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pengubahan wang haram.

Hakim lain yang mendengar permohonan Najib ketika itu ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim; serta hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Abang Iskandar dan Zabidin baru-baru ini dilantik masing-masing menjadi Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya.

Jawatan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak kini disandang oleh Abdul Rahman Sebli.

Kini dikurung di Penjara Kajang, Najib juga sedang mengusahakan pembebasannya melalui cara lain termasuk mendapatkan pengampunan diraja serta menghantar petisyen kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menerusi permohonan semakan sekarang, Najib berhujah bahawa hakim perbicaraannya Mohd Nazlan Mohd Ghazali - yang telah dinaikkan dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke Mahkamah Rayuan - berada dalam konflik kepentingan apabila beliau mendengar dan memutuskan kes SRC.

Najib diwakili pasukan pembelaan diketuai peguam Muhammad Shafee Abdullah, manakala pendakwaan diketuai oleh V Sithambaram.

Antara kemungkinan hasil semakan hari ini ialah Najib mendapat pembebasan penuh, atau rayuannya didengar semula panel hakim yang berbeza, atau mendapat perbicaraan semula kes SRC di hadapan hakim mahkamah tinggi yang baru.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perkembangan kes itu di sini.

8.30 pagi: Polis dan pegawai mahkamah mengarahkan media yang menunggu Najib tiba agar beredar dari tempat berkumpul di sepanjang laluan di luar pintu masuk belakang mahkamah.

Sesetengah petugas media sudah berada di kawasan mahkamah seawal jam 76.30 pagi lagi.

Polis kemudian mengiringi wartawan dan jurugambar untuk berada di lokasi berhampiran, kira kira-kira 500 meter dari situ. Penghadang juga dipasang

Sementara itu kira-kira 10 penyokong Najib yang berpakaian merah dan biru Umno turut hadir, mengangkat sepanduk dengan mesej solidariti dan keadilan untuk "Bossku".

Di dalam bangunan mahkamah, lebih ramai wartawan mahkamah berdaftar untuk membuat liputan pada perbicaraan hari ini.

8.50 pagi: Najib Razak di Mahkamah Persekutuan menaiki kenderaan hitam polis. Dia dibawa dari Penjara Kajang.

Wednesday, July 29, 2020

Tidak berasas, Mukhriz tempelak dakwaan hakim kes Najib cucu saudara Dr Mahathir

Rabu, 29 Jul 2020 11:36 AM MYT

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
Ahli Parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tuduhan mengatakan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali merupakan cucu saudara kepada bapanya adalah tidak berasas.
 — Foto oleh Choo Choy May



KUALA LUMPUR, 29 Julai — Ahli Parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan hakim yang mengendalikan kes Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.

Jelas Mukhriz, dakwaan tersebut tidak berasas dan meminta pihak peguam negara mengambil tindakan sewajarnya membabitkan tuduhan itu.

“Dakwaan yang langsung tidak berasas! Jangan buat tuduhan yang bukan-bukan.

“peguam negara patut siasat tohmahan ini kerana jelas menghina institusi kehakiman,” katanya di Twitter, semalam.

Semalam, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Ramesh Rao didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali merupakan cucu saudara kepada Dr Mahathir.

Mohd Nazlan memutuskan Najib bersalah melibatkan tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berhubung dana SRC International Sdn Bhd bernilai lebih RM42 juta.

Tuesday, August 27, 2019

Kes SRC – Keputusan Najib Dibebaskan Atau Perlu Bela Diri Pada 11 Nov

AUGUST 27, 2019


Najib Razak akan mengetahui pada 11 Nov ini sama ada beliau akan dibebaskan atau akan diperintahkan untuk membela diri terhadap tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh itu selepas mendengar keterangan daripada 57 saksi sepanjang perbicaraan 58 hari yang bermula sejak 3 April lalu.

Antara mereka yang tampil memberi keterangan termasuk bekas pengurus perhubungan AmBank Najib, Joanna Yu dan bekas Menteri Kewangan II, Ahmad Husni Hanadzlah.

Yu, yang bertindak sebagai pengantara antara bekas perdana menteri itu dan bank perdagangan berkenaan dengan pelbagai akaun banknya, memberi keterangan bahawa Najib membelanjakan RM606 juta dalam tempoh tiga tahun dari tahun 2013.

Sementara itu, Husni mengakui di mahkamah bahawa dia berbohong apabila beliau berkata peletakan jawatannya sebagai menteri kewangan kedua pada 2016 bukan disebabkan oleh skandal 1MDB. Dia juga mengesahkan dirinya berbuat demikian kerana mahu melindungi Najib yang ketika itu adalah perdana menteri.

Jika hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati bahawa pendakwaan telah berjaya mewujudkan kes prima facie (bererti bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan satu kes yang cukup kuat yang perlu dijawab oleh Najib), maka mahkamah akan memerintahkan Najib membela dirinya terhadap tuduhan itu.

Bagaimanapun, jika hakim memerintahkan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mana-mana tujuh pertuduhan itu, maka Najib akan dibebaskan pada 11 November.

“Keputusan adalah pada 11 November, tiga minggu selepas hujah lisan pendakwaan dan pembelaan.

“Jika tidak ada prima facie, tertuduh (Najib) akan dibebaskan, tetapi jika terdapat kes prima facie pada mana-mana (tujuh tuduhan Najib), dia akan diminta membela diri,” kata hakim selepas mendengar keterangan saksi terakhir, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain, hari ini.

Nazlan kemudian menetapkan 22 dan 23 Oktober ini mendengar hujah lisan pendakwaan dan pembelaan serta memerintahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujah bertulis mereka pada 24 September. Mereka juga dikehendaki memberi jawapan masing-masing sebelum 15 Oktober.

Hakim juga menetapkan 3 Disember sebagai hari pertama untuk perbicaraan pihak pembelaaan jika Najib diarah berbuat demikian.

“3 dan 4 Disemberadalah permulaan (peringkat pendengaran perbicaraan), 9 hingga 12 Disember, 16-19 Disember,” kata Nazlan.

-Mkini

Wednesday, April 17, 2019

Najib tengking, tepis polis di luar mahkamah

Anne Muhammad
Diterbitkan Hari ini 8:22 malam


Keadaan tegang di pekarangan bangunan Mahkamah Kuala Lumpur hari ini apabila seorang individu mendakwa sebagai pelajar meluru kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak selepas prosiding hari keempat tamat.

Lelaki yang memakai kemeja bewarna merah itu bertanya kepada Najib mengapa dia dihalang daripada mendengar perbicaraan berhubung kes dana SRC International Sdn Bhd.

Namun situasi bertukar tegang apabila seorang anggota polis menarik lelaki terbabit daripada mengajukan soalan kepada bekas perdana menteri itu.

Najib pada mulanya mengatakan 'tidak payah' kepada anggota polis terbabit dan menepis tangannya sebelum menjerkah kepadanya.

“Tak payahlah,” sergah Najib.

Pelajar terbabit meneruskan soalannya berkaitan larangan pihak mahkamah terhadapnya.

Anggota Parlimen Pekan itu bagaimanapun memalingkan wajahnya kepada anggota polis berkenaan sebelum meminta maaf.

“Dia nak tanya sikit,” katanya kepada pegawai terbabit sambil memegang tangan lelaki terbabit.

Bagi menjawab soalan lelaki itu, Najib berkata perkara tersebut di luar bidang kuasanya.

“Saya tak tahulah, kena tanya mahkamah, bukan saya punya kuasa,” kata Najib kepada lelaki berkenaan.

Najib kemudiannya masuk ke kereta dan berlalu pergi.

Sejurus selepas itu, lelaki terbabit bertemu pemberita dan melahirkan rasa tidak puas hatinya berhubung penjelasan Najib.

“Kalau rakyat biasa tak dapat masuk, bagaimana nak tengok justice di Malaysia,” tegasnya yang enggan memberitahu namanya.

Kes SRC Najib: Bicara hari ke-4 bermula

Wartawan Malaysiakini
Diterbitkan Hari ini 8:51 pagi 

LANGSUNG | Perbicaraan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak masuk hari keempat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

9.32 pagi: Najib Razak masuk ke bilik mahkamah dan duduk di tempat duduk awam. Sementara menunggu prosiding bermula, MP Pekan dilihat membaca buku.

Turut masuk ke bilik mahkamah peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan. Beliau mengambil tempat duduk di bahagian hadapan.

Terdahulu di bilik lain Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, bekas perdana menteri hadir pendengaran kes berlainan mengenai tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.

9.25 pagi: Peguam Negara Tommy Thomas masuk ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 Kuala Lumpur bersama anggota pasukan pendakwaan lain.

9.05 pagi: Najib Razak tiba di bangunan mahkamah Kuala Lumpur. Najib menaiki kereta Proton Perdana berplat nombor TN 50. Sejurus turun dari kenderaannya, penyokong bekas perdana menteri yang majoritinya wanita berdoa terhadap pemimpin mereka.

Najib yang bersut coklat juga menadah tangan dan turut sama berdoa sebelum meninggalkan perkarangan lobi dan menuju ketingkat atas.

8:45 pagi: Seramai 40 Penyokong Najib dari Pekan Pahang tiba diperkarangan dan mereka memaklumkan sampi dari Pahang pada jam 5 pagi tadi.

Anggota parlimen Pekan itu berdepan tiga tuduhan pecah amanah dan satu salah guna kuasa membabitkan dana RM42 juta milik bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Ahli politik berusia 65 tahun itu - yang pernah menjadi menteri kewangan sebelum ini - turut dihadapkan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dana yang sama.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB
1 tuduhan salah guna kuasa
3 tuduhan pecah amanah
3 tuduhan pengubahan wang haram

Kes Najib akan dibicarakan dihadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Perbicaraan hari ini akan bermula dengan pasukan peguambela Najib menyoal balas saksi ketiga pendakwaan, penganalisis Jabatan Perisikan Kewangan Bank Negara, Mohammad Nizam Yahya.

Pada hari ketiga perbicaraan semalam, Nizam, 39, memberi keterangan beliau telah mernyita dokumen berkaitan tiga akaun semasa anak syarikat SRC International, Ihsan Perdana Sdn Bhd di Affin Bank Berhad di Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2015.

Katanya, dokumen yang disita itu terdiri daripada borang pembukaan akaun, borang spesimen tandatangan, senarai pihak yang berkuasa menurunkan tandatangan, penyata berkaitan pembukaan akaun tersebut serta borang Customer Due Dilligence (CDD) bagi ketiga-tiga akaun itu.

Semalam, saksi pendakwaan kedua, pegawai penyiasat Bank Negara, Azizul Adzani Abdul Ghafar pula memberitahu mahkamah bahawa antara RM40 juta dan RM5 juta telah ditransaksi dalam akaun milik Najib, SRC International dan unitnya Gandingan Mentari Sdn Bhd antara 24 Disember 2014, dan 13 Februari 2015.

Azizul, 41, berkata hal ini diteliti pada dokumen mengenai akaun Najib dan kedua-dua syarikat yang dirampasnya dari cawangan Ambank di Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Serbuan terhadap kedua bank itu dibuat selepas empat hari akhbar perniagaan The Wall Street Journal melaporkan para penyiasat percaya sekurang-kurangnya AS$700 juta telah mengalir ke dalam akaun bank Najib.
Peguam Negara Tommy Thomas dijangka mengetuai pasukan pendakwaan yang terdiri daripada 13 orang, termasuk Sulaiman Abdullah, V Sithambaram, Manoj Kurup, Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Mohd Ashraf Adrin Kamaril, Muhammad Izzat Fauzan, dan Mohd Ashraf Adrin Kamaril.

Najib pula diwakili oleh pasukan pertahanan 13 orang yang diketuai oleh peguam veteran jenayah Muhammad Shafee Abdullah.

Sementara, ahli-ahli pasukan pembelaan ialah bekas peguam cara II Mohd Yusof Zainal Abiden, Harvinderjit Singh, Kamarul Hisham Kamaruddin, Chong Loong Men, Devanandan S Subramaniam, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza.

Tuesday, April 16, 2019

Najib tiba di mahkamah untuk dibicara

Hidir Reduan dan Anne Muhammad
Diterbitkan Hari ini 8:58 pagi


Hari ketiga perbicaraan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak dijadual bermula jam 9 pagi ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Anggota parlimen Pekan itu berdepan tiga tuduhan pecah amanah dan satu salah guna kuasa membabitkan dana RM42 juta milik bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Ahli politik berusia 65 tahun itu - yang pernah menjadi menteri kewangan sebelum ini - turut dihadapkan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dana yang sama.

Seperti biasa Malaysiakini membawakan liputan secara langsung perbicaraan kes berprofil tinggi ini.

LANGSUNG

8.58am: Ketua pasukan peguam bela Najib, Muhammad Shafie Abdullah tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

8.50am: Peguam Negara Tommy Thomas dan pasukan pendakwaan memasuki Mahkamah Tinggi Jenayah 3 dan bersedia untuk memulakan prosiding.

8.48 am: Najib tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Lumpur dengan menaiki kereta Proton Perdana hitam bernombor plat TN50.

Najib yang memakai sut kelabu bersalaman dengan beberapa petugas media sebelum melangkah menuju ke tingkat atas bangunan itu.

Wednesday, April 3, 2019

Najib sudah dalam kandang tertuduh

Wartawan Malaysiakini 
Diterbitkan Hari ini 1:29 tengahari


LAPORAN LANGSUNG | Pendengaran jenayah terhadap bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dalam kes berkaitan SRC International Sdn Bhd dijadual bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 2 petang ini.

Najib berdepan perbicaraan untuk tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dana RM42 juta SRC.

SRC ialah bekas anak syarikat syarikat pelaburan negara sarat hutang 1MDB.

Ahli politik 65 tahun itu sebelum itu turut menjadi menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC.

Beliau turut berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM42 kita.

Kes itu akan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Perbicaraan dijadual berlangsung awal petang ini dengan Peguan Negara Tommy Thomas dijangka menyampaikan kenyataan pembukaan.

Najib akan diwakili pasukan pembelaan diketuai peguam jenayah terkemuka Muhammad Shafee Abdullah.

Malaysiakini membawakan laporan langsung dari kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta.

LANGSUNG

2.07pm: Najib memasuki kandang tertuduh.

Tommy Thomas dan Muhammad Shafee Abdullah masing-masing telah mengambil tempat.

2.00pm: Penyokong kuat Najib, Lokman Noor turut hadir memberi sokongan pada Najib,

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu memberitahu pemberita bahawa pertuduhan terhadap Najib sebagai “pertuduhan terpilih”.

1.55pm: Ditemanani anaknya Ashman dan beberapa pembantu, Najib melangkah masuk ke dalam mahkamah.
Beliau berpakaian rasmi dengan dasi dan tali leher gelap dan kelihatan tenang.

1.45pm: Luar mahkamah: Peguam negara masuk ke bilik mahkamah nombor tiga.

Tommy Thomas mengetuai pasukan 12 pendakwa raya.

Mereka ialah Sulaiman Abdullah, V Sithambaram, Manoj Kurup, Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Mohd Ashraf Adrin Kamaril dan Muhammad Izzat Fauzan.

Di sebelah Najib, terdapat peguam baru dalam pasukan itu, iaitu bekas peguam cara negara Yusof Zainal Abiden.

Anggota lain pasukan pembelaan ialah: Harvinderjit Singh, Kamarul Hisham Kamaruddin, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah, dan Zahria Elena Redza.

Petugas media juga telah bersedia.
Perbicaraan ini menarik perhatian media dalam dan luar negeri.

1.25pm: Luar mahkamah – Sekumpulan penyokong Najib sudah berkumpul di luar mahkamah.
Antara penyokong Najib yang hadir.

Tuesday, February 12, 2019

Peguam: Kesilapan AGC punca bicara Najib tangguh

 Diterbitkan 11 Feb 2019, 10:59 malam


Peguam Haniff Khatri Abdulla mengkritik apa yang menurutnya langkah silap oleh pihak pendakwaan dari Pejabat Peguam Negara yang menyebabkan penangguhan perbicaraan kes rasuah bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Beliau yang sebelum ini menjadi penasihat undang-undang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan langkah pihak pendakwaan sebagai "tahan jerat sorong kepala".

Katanya, jelas bahawa pasukan peguam Najib akan cuba menangguhkan perbicaraan dan beberapa langkah yang diambil pendakwa sebagai "aneh dan pelik".

Kesilapan pertama, katanya, adalah keputusan pendakwa untuk menambah tiga lagi pertuduhan berkaitan SRC International 15 hari sebelum perbicaraan.

"Kenapa perlu ditambah pertuduhan lanjutan berkaitan SRC, sedangkan apa yang penting dari segi keadilan adalah agar sekurang-kurangnya satu pertuduhan dapat dibicarakan mengiku jadual iaitu 12 Februari, seperti yang didahaga semua pihak yang sudah lama menantinya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 28 Jan lalu, pihak pendakwaan mengenakan tiga lagi pertuduhan tambahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hanya untuk meminta Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberikan pembebasan tanpa dilepaskan pada 7 Februari.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata ada hujah berhubung sama ada tiga tuduhan itu perlu bertindak sebagai pencantuman (joinder) dengan tujuh lagi kes.

Katanya lagi, tiga pertuduhan kemudian akan dikenakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen kemudian.

Najib kemudian didakwa semula di Mahkamah Sesyen pada 8 Februari. Pihak pendakwa juga memaklumkan mereka mahu memindahkan tiga pertuduhan itu ke mahkamah tinggi.

Satu lagi langkah silap menurut Hanif adalah keputusan pendakwa untuk menarik balik sijil pindah kes untuk tujuh pertuduhan SRC International yang menjadi asas perpindahan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Menurut Kanun Tatacara Jenayah, pemindahan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi boleh dibuat melalui sijil itu atau budi bicara hakim.

Ketika menarik balik sijil itu dan meminta budi bicara hakim untuk pemindahan kes, Thomas berkata ia bagi mengelakkan sebarang hujah bahawa pemindahan itu adalah satu pembatalan.
Tommy Thomas
Haniff bagaimanapun berkata, tindakan menarik balik itu sendiri membuka ruang pertikaian, yang menjadi asass kepada permohonan penangguhan Najib yang dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan.

"Ia membuka ruang untuk pihak pembelaan menghujahkan tiada mana-mana prosiding yang wujud pada masa itu untuk Mahkamah Tinggi memindahkan tujuh pertuduhan, mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah, dan bahawa ia perlu disebut semula di Mahkamah Sesyen terlebih dulu," katanya lagi.

Haniff juga mempersoalkan mengapa pihak pendakwa mengambil masa enam bulan untuk mengubah kaedah kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, yang bermula pada 10 Ogos 2018.

Katanya, langkah untuk menarik balik sijil pindah kes pada 7 Februari dibuat hanya lima hari sebelum tarikh perbicaraan.

"Sejujurnya, rakyat Malaysia berhak menuntutk pihak pendakwa memberi penjelasan munasabah ke atas kealpaan dan kecuaian (mereka).

"Sudahlah pihak pembelaan pasti mencari jalan untuk melengahkan perbicaraan, tetapi amat sedih apabila pihak pendakwa yang diharapkan gagal bertindak profesional, dan menyumbang besar kepada penangguhan perbicaraan yang dinantikan ini," katanya.

Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara membenarkan permohonan penangguhan Najib sementara mendengar dan memutuskan rayuannya berhubung tindakan pendakwaan menarik balik sijil pindah kes berhubung kes berkenaan.

Monday, February 11, 2019

Perbicaraan pertama Najib berkait 1MDB tidak jadi esok

Diterbitkan 1 jam yang lalu pada 11 February 2019

Oleh Ida Lim

Datuk Seri Najib Razak dijadual menghadapi perbicaraan pertama berkait 1MDB esok. 
Foto oleh Mukhriz Hazim

PUTRAJAYA, 11 Feb Datuk Seri Najib Razak berjaya menunda perbicaraan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya berlangsung esok.

Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan permohonan Najib sehingga rayuan kes berkaitan dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Tiga panel hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, Datuk Yew Jen Kie dan diketuai Datuk Ahmadi Asnawi mendengar permohonan itu.

Ahmadi maklum perbicaraan harus mengikut jadual berikutan tuduhan berat dan kapasiti Najib sebagai bekas perdana menteri.

Bagaimanapun, Ahmadi berkata peguam Najib berjaya menunjukkan “keadaan khusus” untuk menunda perbicaraan.

Katanya, perbicaraan esok mungkin terbatal jika rayuan Najib mengenai kes berkaitan dibenarkan.

Najib dijadual menghadapi perbicaraan pertama berkait 1MDB esok. Tiga berkaitan penggubahan wang haram dan tiga tuduhan pecah amanah.

Satu lagi tuduhan salah guna dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Bekas perdana menteri kini berdepan 42 tuduhan daripada beberapa kes.

Baca seterusnya di Malay Mail

Peguam: Kesilapan AGC punca bicara Najib tangguh

Diterbitkan Hari ini 10:59 malam


Peguam Haniff Khatri Abdulla mengkritik apa yang menurutnya langkah silap oleh pihak pendakwaan dari Pejabat Peguam Negara yang menyebabkan penangguhan perbicaraan kes rasuah bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Beliau yang sebelum ini menjadi penasihat undang-undang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan langkah pihak pendakwaan sebagai "tahan jerat sorong kepala".

Katanya, jelas bahawa pasukan peguam Najib akan cuba menangguhkan perbicaraan dan beberapa langkah yang diambil pendakwa sebagai "aneh dan pelik".

Kesilapan pertama, katanya, adalah keputusan pendakwa untuk menambah tiga lagi pertuduhan berkaitan SRC International 15 hari sebelum perbicaraan.

"Kenapa perlu ditambah pertuduhan lanjutan berkaitan SRC, sedangkan apa yang penting dari segi keadilan adalah agar sekurang-kurangnya satu pertuduhan dapat dibicarakan mengiku jadual iaitu 12 Februari, seperti yang didahaga semua pihak yang sudah lama menantinya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 28 Jan lalu, pihak pendakwaan mengenakan tiga lagi pertuduhan tambahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hanya untuk meminta Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberikan pembebasan tanpa dilepaskan pada 7 Februari.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata ada hujah berhubung sama ada tiga tuduhan itu perlu bertindak sebagai pencantuman (joinder) dengan tujuh lagi kes.

Katanya lagi, tiga pertuduhan kemudian akan dikenakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen kemudian.

Najib kemudian didakwa semula di Mahkamah Sesyen pada 8 Februari. Pihak pendakwa juga memaklumkan mereka mahu memindahkan tiga pertuduhan itu ke mahkamah tinggi.

Satu lagi langkah silap menurut Hanif adalah keputusan pendakwa untuk menarik balik sijil pindah kes untuk tujuh pertuduhan SRC International yang menjadi asas perpindahan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Menurut Kanun Tatacara Jenayah, pemindahan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi boleh dibuat melalui sijil itu atau budi bicara hakim.

Ketika menarik balik sijil itu dan meminta budi bicara hakim untuk pemindahan kes, Thomas berkata ia bagi mengelakkan sebarang hujah bahawa pemindahan itu adalah satu pembatalan.
Tommy Thomas
Haniff bagaimanapun berkata, tindakan menarik balik itu sendiri membuka ruang pertikaian, yang menjadi asass kepada permohonan penangguhan Najib yang dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan.

"Ia membuka ruang untuk pihak pembelaan menghujahkan tiada mana-mana prosiding yang wujud pada masa itu untuk Mahkamah Tinggi memindahkan tujuh pertuduhan, mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah, dan bahawa ia perlu disebut semula di Mahkamah Sesyen terlebih dulu," katanya lagi.

Haniff juga mempersoalkan mengapa pihak pendakwa mengambil masa enam bulan untuk mengubah kaedah kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, yang bermula pada 10 Ogos 2018.

Katanya, langkah untuk menarik balik sijil pindah kes pada 7 Februari dibuat hanya lima hari sebelum tarikh perbicaraan.

"Sejujurnya, rakyat Malaysia berhak menuntutk pihak pendakwa memberi penjelasan munasabah ke atas kealpaan dan kecuaian (mereka).

"Sudahlah pihak pembelaan pasti mencari jalan untuk melengahkan perbicaraan, tetapi amat sedih apabila pihak pendakwa yang diharapkan gagal bertindak profesional, dan menyumbang besar kepada penangguhan perbicaraan yang dinantikan ini," katanya.

Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara membenarkan permohonan penangguhan Najib sementara mendengar dan memutuskan rayuannya berhubung tindakan pendakwaan menarik balik sijil pindah kes berhubung kes berkenaan.

Wednesday, September 26, 2018

Rosmah tiba di ibu pejabat SPRM

Kow Gah Chie
Diterbitkan 26 Sep 2018, 10:24 pagi


Datin Seri Rosmah Mansor tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini.

Ini merupakan kali kedua dalam tempoh tiga bulan isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu dipanggil ke SPRM untuk soal siasat.

Berbaju kurung hijau, beliau tiba bersama seorang pembantu pada kira-kira pukul 9.50 pagi.

Beliau kelihatan tersenyum dan malah sempat berbual-bual dengan pegawai SPRM yang menunggunya di lobi.

Khabar angin kuat bertiup bahawa beliau mungkin ditahan hari ini dan didakwa di mahkamah esok.

Ketika ditanya tentang perkara itu, peguamnya Datuk K Kumaraendran berkata beliau tidak tahu-menahu tentang perkara itu.

Bagaimanapun, ketika dihubungi, timbalan pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki menafikan Rosmah akan ditahan dan didakwa.

"itu tidak betul," katanya ktika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Pada 5 Jun lalu, Rosmah dipanggil buat kali pertama dan disoal siasat selama lima jam bagi membantu siasatan terhadap bekas subsidiari 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

[Berita lanjut menyusul]

Wednesday, September 19, 2018

SPRM tahan Najib untuk lagi pendakwaan esok

Diterbitkan 19 Sep 2018, 5:01 petang


SPRM hari ini mengesahkan bahawa pihaknya telah menahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kes1MDB yang berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau.

Dalam satu kenyataan media, SPRM memaklumkan penahanan itu dibuat pada jam 4.13 petang di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

“Najib akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

“Najib akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok (20 September), jam 3.00 petang untuk pertuduhan di mahkamah," katanya.

Selain itu, menurut kenyataan berkenaan, SPRM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi merakam percakapan Najib sebelum beliau dibawa ke mahkamah esok.

Ini bagi membantu siasatan pihak polis mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sebelum ini, bekas presiden Umno itu sudah dihadapkan dengan tujuh dakwaan berhubung syarikat subsidiari 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Friday, August 10, 2018

Najib kembali ke mahkamah hari ini


Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak akan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekali lagi hari ini bagi pendengaran permohonan perintah larangan mengulas (gag order) terhadap tujuh pertuduhan terhadapnya, ditukar daripada sementara menjadi kekal.

Larangan itu dikenakan terhadap media dan orang awam untuk membincangkan kes melibatkan SRC International Sdn Bhd, bekas subsidiari 1MDB.

Semua dakwaan berkait RM42 juta yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadinya daripada SRC International. Wang itu sebahagian daripada RM4 bilion pelaburan Kumpulan Wang Persaraan dalam 1MDB.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka membuat permohonan. Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dan Datuk Mohd Hanafiah Zakaria.

Najib adalah ahli politik paling kanan di negara ini yang didakwa bawah tuduhan jenayah.

Beliau berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga untuk salah guna kuasa dan satu pertuduhan pengubahan wang haram.

Sebelum ini terdapat kes melibatkan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas menteri besar Selangor Khir Toyo dan Datuk Harun Idris, bekas menteri Tan Sri Kasitah Gaddam dan Datuk Mokhtar Hashim, dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Pendengaran dikendalikan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

[Berita lanjut menyusul]

Monday, July 16, 2018

Najib tarik balik saman Tommy, Mohd Syukri, Amar Singh

Ho Kit Yen | July 16, 2018

Peguam bekas perdana menteri itu berkata tindakan itu dibuat kerana mereka perlu 'menyelaras semula kes dengan peguam bela Najib yang lain'.
Najib Razak menarik balik saman yang difailkan bulan lepas berhubung isu siasatan 1MDB. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, yang menyaman 3 pegawai kerajaan yang dikaitkan dengan siasatan 1MDB, hari ini menarik balik tuntutan mahkamah terhadap mereka.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke, yang mewakili Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh, berkata peguam Najib menyampaikan tuntutan itu kepada pendaftar Mahkamah Tinggi semasa pengurusan kes hari ini.

Ketika dihubungi FMT, peguam Najib Badrul Hisham Abdullah berkata mereka menarik balik tindakan undang-undang itu kerana mereka perlu “menyelaras semula kes dengan peguam bela Najib yang lain”.

“Saman itu difailkan sebelum dia didakwa. Senario itu berubah kerana dia kini dituduh,” katanya.

Badrul tidak menolak kemungkinan Najib akan memfailkan saman baharu terhadap pegawai tertinggi terbabit, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Najib memfailkan tindakan undang-undang terhadap mereka bulan lepas kerana bersikap prejudis terhadapnya sepanjang siasatan dijalankan dan melalui kenyataan yang dikeluarkan mereka.

Pada 4 Julai, beliau didakwa dengan 3 pertuduhan pecah amanah dan 1 tuduhan salah guna kuasa berhubung wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dikatakan dipindahkan ke akuan peribadinya.

Kes Najib akan disebut semula pada 8 Ogos.

Thursday, July 5, 2018

Najib ucap terima kasih pada SPRM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan penghargaannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak keselamatan.

Beliau berkata ia atas profesionalisme yang ditunjukkan mereka ketika dirinya ditahan dua hari lalu.

"Saya berterima kasih kepada pegawai dan anggota SPRM dan pihak keselamatan di atas profesionalisme mereka ketika saya ditahan.

"Saya telah dilayan dengan baik dan penuh hormat," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Selepas siri serbuan di beberapa hartanah berkaitannya dan dua soal siasat berhubung skandal 1MDB, SPRM akhirnya menahan Najib pada 3 Julai lalu.

Beliau bermalam di lokap SPRM dan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk didakwa, semalam.

Tidak seperti individu lain sebelum ini yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga, Najib tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta dengan berkemeja putih, sut biru gelap dan bertali leher, serta tidak digari.

Najib dihadapkan tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahguna jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan.

[Berita penuh menyusul]

Wednesday, July 4, 2018

Pihak pendakwaan tidak bersedia - Peguam Najib

04 Julai 2018 6:28 PM
Beliau menyifatkan pasukan pendakwaan yang diwakili Peguam Negara, Tommy Thomas mungkin masih mencari bukti berhubung pemindahan RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib. 
Foto oleh AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN.

KUALA LUMPUR - Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan kesediaan pasukan pendakwaan dalam membawa prosiding kes melibatkan anak guamnya itu.

Beliau menyifatkan pasukan pendakwaan yang diwakili Peguam Negara, Tommy Thomas mungkin masih mencari bukti berhubung pemindahan RM42 juta ke dalam akaun peribadi Ahli Parlimen Pekan itu dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn. Bhd.

"Kami minta Februari dan Mac untuk perbicaraan, kami mahu lagi awal kalau boleh tetapi yang peliknya orang yang tuduh tak sedia.

"Mungkin masih lagi meraba-raba cari bukti, kami tak tahu," katanya ketika ditemui pemberita setelah selesai prosiding kes berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang prosiding kes yang melibatkan bekas Presiden UMNO itu. 

- Bernama

Kes Najib: Perbicaraan ditetapkan Februari 2019

Firdaus Azil, Astro Awani

HAKIM Datuk Mohd Sofian Abdul Razak mencadangkan keseluruhan tempoh perbicaraan selama 19 hari. - Foto ASTROAWANI/Shahir Omar

KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 8 Ogos sebagai tarikh pengurusan kes berhubung dakwaan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tarikh perbicaraan kes ditetapkan pada 18 Februari tahun hadapan.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak berkata, beliau mencadangkan keseluruhan tempoh perbicaraan selama 19 hari dan tarikh yang ditetapkan ialah 18 hingga 28 Februari 2019, 4 hingga 8 Mac 2019 serta 11 hingga 13 Mac 2019.

Pihak pendakwaraya yang diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas dan barisan peguambela diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Terdahulu, Najib yang juga bekas Presiden UMNO menghadapi empat pertuduhan iaitu tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahguna jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas keempat-empat pertuduhan berkenaan.

Mohd Sofian juga telah menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dan pasport milik Najib diserahkan kepada mahkamah.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-