Diterbitkan: Jan 19, 2023 2:00 PM
Seorang pemimpin Umno hari ini menegur tindakan segelintir pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang suka menyerang secara terbuka sesama sendiri meskipun bersama dalam satu kerajaan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Shabery Cheek mengingatkan mereka bahawa kerjasama yang terjalin adalah ibarat jambatan besi yang menggunakan banyak skru dan bukannya jambatan konkrit.
“(Kerajaan hari ini ibarat) jambatan segera pakai besi. Banyak skru. Kalau tercabut, cepatlah runtuh.
“Nak buat yang konkrit makan masa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, bekas menteri itu dipercayai merujuk kepada tindakan beberapa pemimpin PH yang menyerang sesama rakan dalam kerajaan hari ini.
Justeru, Shabery menasihatkan mereka supaya menjadikan apa yang berlaku kepada kerajaan PH selepas pilihan raya ke-14 pada 2018 apabila mereka berjaya membentuk kerajaan sebagai iktibar.
"Virus yang menyerang kerajaan PH 22 bulan dulu ialah suka mengata sesama sendiri secara terbuka. Tak jumpa jalan saluran dalaman. Virus begini belum ditemui vaksin.
"Semasa pembangkang siapa pun boleh bercakap dan syok bercakap. Tak payah disiplin.
"Jadi kerajaan susah sikit. Sebab orang nak tengok bila ringgit nak sama seperti 2018, bila pasaran saham nak melonjak semula seperti sebelum 2018, bila pelabur datang berduyun-duyun seperti dulu. Berapa tinggi pulak dividen Tabung Haji (TH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan lain-lain. Paling susah pasal ayam dan telur," katanya.
Hassan Karim - PKR
Pada 16 Jan lalu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim secara terbuka bersimpati dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang terpaksa menanggung bebas dibawa BN.Hassan secara terbuka "menyerang" Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan masih mempunyai pertuduhan di mahkamah.
Situasi itu katanya menghalang Anwar melaksanakan tatakelola yang baik dalam kerajaan seperti mana dijanjikan.
Sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy menyifatkan Zahid sebagai 'beban' bukan hanya kepada parti itu, tetapi juga buat PH dan kerajaan perpaduan.
P Ramasamy - DAP
Dia menegaskan keputusan dibuat melalui Perhimpunan Agung Umno 2022 yang meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang mungkin melegakan, tetapi kelihatannya seperti duri dalam daging buat Umno, PH dan kerajaan diterajui Anwar.Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, sebagai parti rakan gabungan dalam kerajaan mereka perlu bekerja dengan lebih kuat bukannya cari pasal sesama sendiri dalam kerajaan.
"Susah semua ni. Kena ada formula yang betul dan kena kerja kuat kurang cakap. Bukan cari pasal dengan rakan-rakan yang sama-sama dalam kerajaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.