Monday, January 9, 2023

DAP bersekongkol dengan UMNO kerana mahu sekat pengaruh parti Islam: Hadi

agendaily.com
09/01/2023
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Langkah DAP yang sanggup bersekongkol dengan UMNO adalah bertujuan untuk menyekat pengaruh parti Islam yang berjaya memenangi kerusi banyak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata DAP ternyata bimbang dengan kebangkitan parti Islam tersebut apabila menjadi pemenang terbanyak pada PRU-15 sehingga terpaksa mengenepikan prinsip mereka untuk bekerjasama dengan UMNO walaupun sudah bermusuh sejak sekian lama.

“Tidak menghairankan juga berlaku penubuhan kerajaan di luar tabii demokrasi pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana PAS berjaya mendapat jumlah kerusi terbesar.

“Walaupun PAS telah berusaha bersama dalam Perikatan Nasional (PN) daripada pelbagai parti yang tidak ekstrem untuk menubuhkan kerajaan campuran mengikut prosesnya tanpa PAS menjadi pemimpin utama,” katanya dalam tulisan terbaharu di Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu kekal dengan pendirian, DAP masih sebuah parti yang menentang Islam dan terpaksa menutup mulut mereka daripada mengkritik kerana sudah menjalinkan kerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan diperingkat Persekutuan.

“Maka, PAS tidak merasa hairan kerana mendapat tentangan daripada parti seperti DAP dan lain-lain parti, yang nyata ideologinya menentang Islam walaupun kini bertukar nadanya kepada tidak bersuara secara terang-terangan. Hal ini disebabkan mereka sudah berjaya mengadakan pasukan baharu, daripada kalangan rakan-rakan berwajah Islam yang berwalikannya.

“Mereka itu laksana kayu bersama mata kapak bagi menebang pokok besar, mengambil pendekatan menipu dengan segala cara, seperti melaksanakan amar ma‘ruf secara terpilih dan menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran yang nyata,” katanya lagi.

Katanya lagi, parti politik berkenaan juga kini bergabung dengan kumpulan liberal daripada segi politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan media, tanpa batas akhlak dan halal haram.

Katanya, semua itu dilakukan demi mencukupkan jumlah sokongan yang dapat menghalang pengaruh Islam dalam kerajaan, walaupun mereka berlindung sementara waktu sebalik Islam dalam perlembagaan mengikut tafsiran salah oleh mereka yang buta al-Quran.

“Gabungan itu juga turut diikut serta kluster mahkamah dan mereka yang sedang menunggu perbicaraan kerana kes rasuah berskala besar, termasuklah kesalahan lain yang bersedia dengan umpan untuk diselamatkan,” katanya.

Untuk rekod, PAS muncul parti paling banyak memenangi kerusi Parlimen sebanyak 49 kerusi, diikuti DAP tempat kedua sebanyak 40 kerusi dan PKR juga 40 kerusi.

Bagaimanapun, tindakan UMNO memilih untuk bersama Pakatan Harapan (PH) dan DAP menyebabkan PAS terlepas peluang untuk membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-