Monday, January 16, 2023

PKR pula kata UMNO kelompok kes jenayah, Zahid rosakkan Anwar, PH

agendaily.com
16/01/2023
Zahid sekarang berada di peringkat membela diri. Di akhir kes pendakwaan yang lalu, beliau telah didapati bersalah oleh Hakim kerana pihak Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, kata Ahli Parlimen (PH/PKR) Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini (16 Januari 2023).

Selepas DAP, hari ini (16 Januari 2023) UMNO dikritik lagi, tetapi kali ini oleh PKR – parti gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), yang mempertikaikan liabiliti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Veteran PKR yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim membuat kritikan terhadap Presiden UMNO itu ketika menyatakan simpati kepada rakannya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berdepan dilema seorang Perdana Menteri.

Beliau memulakan kritikan dengan memetik Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 33A(1) yang menyatakan bahawa Yang diPertuan Agong (YDPA) hendaklah terhenti menjalankan fungsi YDPA jika dipertuduh atas suatu kesalahan.

“Bahasa mudahnya bermaksud bahawa YDPA kena meletakkan jawatan jika baginda dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan.

“Jadi kerajaan Anwar sekarang tidak dapat mengelak diri jika rakyat yang celik huruf dan ilmu pengetahuan bertanya satu soalan, iaitu bagaimana kerajaan yang ada sekarang boleh dihormati jika Timbalan Perdana Menteri 1 (TPM1) terdiri dari sosok tubuh individu yang sedang dibicarakan di mahkamah atas berpuluh tuduhan jenayah rasuah dan pecah amanah?

“TPM1 sekarang berada di peringkat membela diri. Di akhir kes pendakwaan yang lalu, beliau telah didapati bersalah oleh Hakim kerana pihak Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy mengkritik UMNO sambil menyifatkan Zahid sebagai liabiliti kepada PH dan kerajaan Anwar.

Ramasamy dalam kenyataannya menyifatkan Zahid sebagai liabiliti kepada bukan sahaja terhadap UMNO, tetapi juga Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, itu membidas keputusan UMNO enggan membenarkan pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden yang menjadikan Zahid kekal menerajui parti itu, tetapi akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada PH dan kerajaan Anwar.

Beliau juga menyifatkan Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO itu sebagai ‘albatross’ atau ‘pembawa masalah yang menjadi penghalang’ yang bukan sahaja melingkari leher UMNO, tetapi juga PH.

Ramasamy juga berkata UMNO telah kehilangan sokongan majoriti pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 kerana beberapa pertuduhan rasuah terhadap Zahid.

Mengulas lanjut, Hassan turut mengingatkan bahawa meneruskan kerajaan yang ada sekarang dengan sokongan TPM1 dari kluster mahkamah sudah pasti menjejaskan imej Anwar, mencomotkan wajah PKR dan mencemarkan prinsip PH yang ingin membawa agenda reformasi institusi.

Hassan turut mempersoalkan apa jadi kalau kerajaan yang ada sekarang yang masih berkuasa dan pada masa sama Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan TPM1 tidak bersalah dan dilepas serta dibebaskan daripada puluhan tuduhan jenayah yang dihadapinya?

“Penulis percaya sudah pasti akan wujud keadaan di mana sesetengah rakyat akan cepat menuding jari dan menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah campur tangan dalam keputusan Mahkamah itu.

“Walhal keadaan yang sebenarnya mungkin Anwar Ibrahim tidak bersalah kerana beliau tidak campur tangan urusan Mahkamah seperti janji tegasnya selama ini yang mahu sistem Mahkamah berfungsi dengan bebas,” katanya sambil menjelaskan keadaan itu akan menimbulkan fitnah terhadap Anwar.

Beliau berkata sebaliknya jika kolaborasi antara Anwar, PH dengan TPM1 yang bermaslah dengan kes jenayah diteruskan, maka Anwar Ibrahim akan beransur-ansur hilang reputasi seorang reformis, PPKR memasuki fasa gerhana dan gelap, manakala PH hilang integriti dan tidak dipercayai lagi.

“Pada hemat penulis, BN-Umno dari kelompok kes jenayah rasuah dan pecah amanah ini boleh diibaratkan sebagai virus yang sedang menjangkiti Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Harapan. Tiada vaksin untuk menawar racun toksid ini. Jalan kesudahannya mungkin maut dan mati,” tegas beliau.

Kenyataan penuh di sini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-