Sunday, January 15, 2023

Presiden patut bertanggungjawab, bukan ‘poster boy’ atau orang lain

agendaily.com
15/01/2023
Veteran UMNO dan bekas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bahawa ‘orang nombor satu’ perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tahun lalu, bukan menyalahkan ‘poster boy’.

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang yang mesra dengan panggilan ‘Ku Li’ itu berkata tiada apa-apa pada diri seorang ‘poster boy’, sebaliknya jika pemimpin itu seorang ikonik maka dia akan diterima baik oleh semua pihak.

“Barangkali dalam sebahagian masyarakat dia pun tidak diterima sepenuhnya. Ikonik ini orang yang disukai ramai macam Tunku Abdul Rahman atau Tun Abdul Razak. Mana-mana pergi pun orang sebut nama dia. Begitu juga Tun Dr Mahathir.

“Tapi dengan kekalahan UMNO dalam PRU-15 lalu. Biasanya, Presidenlah dipertanggungjawab. Orang nombor satu mesti bertanggungjawab. Kalau dia tidak bersalah pun dia mesti terima hakikat bahawa parti dia jatuh kerana dia di situ (mengetuai).

“Jika dia membiarkan keadaan jadi buruk maka dia tidak bertanggungjawab. Jadi dia mesti bertanggungjawab,” katanya menurut laporan Utusan hari ini (15 Januari 2023) merujuk kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘poster boy’ dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, dalam temu bual bersama akhbar The Star, Zahid turut menyalahkan Ismail Sabri, beberapa pemimpin peringakt negeri serta bahagian, susulan kekalahan teruk UMNO pada PRU-15 lalu.

“Selepas PRU-15 tiada siapa yang mahu bertanggungjawab. Saya didesak meletak jawatan tetapi kenapa saya seorang? Bagaimana pula dengan poster boy kita (Ismail Sabri), ketua-ketua perhubungan negeri, beberapa ketua bahagian dan sayap? Ia adalah tanggungjawab semua orang,” kata Zahid.

Mengulas dua jawatan tertinggi parti yang tidak akan dipertandingkan pada pemilihan akan datang, Ku Li berkata “UMNO akan habis”.

“Dalam demokrasi jawatan tersebut perlu dipertandingkan supaya ada pilihan untuk orang ramai menerusi dua tiga kaedah. Ada sesetengah kumpulan sudah dibeli walaupun adanya pertandingan.

“Dia akan pilih orang sebab dapat sogokan atau bayaran. Tapi ada kumpulan yang berprinsip mahu lihat supaya parti disokong ini dipimpin orang yang betul-betul layak dan amanah,” kata beliau yang pernah dua kali dalam sejarah perjalanan politiknya bertanding merebut jawatan presiden tetapi kalah.

Tengku Razaleigh mengingatkan UMNO, walaupun Barisan Nasional (BN) memiliki 30 kerusi Parlimen, apa yang menjadi persoalan ialah ke mana arah perjuangan parti itu hendak membawa suara Melayu setelah kedudukan UMNO berada di bawah sekarang.

Apa lagi, katanya dengan lagak pemimpin UMNO sekarang yang tidak disenangi rakyat.

“Mungkin pemimpin UMNO tidak sedar lagi. Kita dengar pembongkaran duit berjuta-juta apabila kalah. Apa benda semua ini?,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-