Wednesday, January 18, 2023

Rumah siap, pahat berbunyi: Nur Jazlan tempelak Ismail Sabri, Hasni

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 18, 2023 12:15 PM
Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed menempelak beberapa pemimpin Umno yang terus mengeluarkan suara-suara sumbang kerana tidak berpuas hati susulan usul pada perhimpunan agung minggu lalu supaya jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.

Sasarannya adalah Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang juga adalah bekas perdana menteri dan Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohammad.

“Malah Naib Presiden Umno sendiri yang juga PM ke-9, buat lain cakap lain. Ketika proses pengundian usul itu dibuat, dia boleh pula berdiri dan sokong tapi bila keluar dewan, dia buat pula sidang media dan mempertikaikannya.

“Sepatutnya kalau dah setuju tu duduk diam saja dan kalau tak setuju, jangan duduk gatal-gatal nak bangun dan sokong,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ismail Sabri pada sidang medianya, Sabtu lalu berkata, kesahihan Umno membawa dan menerima usul agar tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti boleh dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Menurut Nur Jazlan, tindakan Ismail Sabri adalah kerana dia tidak puas hati sebab dirinya diketepikan daripada tanggungjawab menjaga Umno negeri-negeri melalui 'projek menteri angkat' yang diperkenalkan oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno
Namanya tiada dalam senarai tersebut di sebalik langkah presiden Umno berkenaan memberikan kepercayaan kepada dua naib presiden lain.

“Bila Presiden Umno (Zahid) sebut nama Mohamed Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid tapi nama Ismail Sabri tak ada, dia kena terima hakikat.

“Mungkin presiden sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap beliau asbab macam-macam perkara yang dibuat menongkah arus sepanjang jadi PM dulu.
“Mungkin itulah harga yang dia perlu bayar bila selama ini terlalu mengikut telunjuk Muhyiddin Yassin berbanding arahan parti selama dia menjadi wakil Umno sebagai PM,” katanya.

Turut menjadi sasaran Nur Jazlan adalah Hasni yang juga adalah ahli Parlimen Simpang Renggam yang didakwanya “baru berani bersuara” tentang isu sama.

Menurutnya, tindakan Hasniitu sebagai tidak demokratik berikutan ketetapan itu tidak pernah dibincangkan.

“Selama ini dia hanya ambil sikap kunci mulut dan tak keluarkan kenyataan apa-apa pasal pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden itu.

“Tahu-tahu saja, wakil Umno Johor, Pandak Ahmad ketika berucap ketika sesi perbahasan ucapan dasar presiden dengan tegas mengatakan Umno Johor mahu dua jawatan itu dipertandingkan,” katanya.

Malah, katanya, sebagai timbalan pengerusi Umno Johor, dia tidak pernah pun dipanggil mesyuarat oleh Hasni untuk berbincang mengenai ketetapan Umno negeri mengenai isu berkenaan.

Ahad lalu, Hasni yang juga bekas menteri besar Johor dilaporkan berkata adalah tidak wajar untuk menghalang mana-mana ahli Umno daripada bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden.

Hasni dilaporkan berkata, kaedah usul tambahan itu melanggar perlembagaan parti.

Nur Jazlan juga menafikan dakwaan bahawa keputusan tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi Umno itu akan memberikan persepsi negatif kepada orang luar dengan rakyat menuduh Umno tidak mengamalkan demokrasi serta mungkin menyebabkan rakyat tak lagi menyokong parti itu.

“Saya nak tanya, pada 2018 dulu semua jawatan tertinggi Umno dipertandingkan termasuk kerusi presiden tapi kenapa pada PRU15 lepas Umno kalah teruk juga.

“Sedangkan selepas PRU14, Umno sudah mengamalkan demokrasi dalam parti. Kenapa rakyat tak sokong juga Umno?” soalanya.

Pada pemilihan 208, Zahid dicabar oleh Khairy Jamaluddin dan Annuar Musa manakala nagi jawatan timbalan presiden Annuar Musa mencabar Mohamad Hasan.

“Kalau kita lihat parti-parti lain pun macam PAS dan Bersatu, jawatan presiden mereka pun tak dipertandingkan, adakah rakyat peduli?

“Masa pemilihan PKR tahun lepas pun, macam-macam kekecohan berlaku dalam parti mereka, adakah rakyat ambil kisah?

“Dalam DAP pun bukannya tak ada pergolakan ketika pemilihan Jawatankuasa DAP pusat, orang Cina ambil ‘port’ ke? Jadi isu pemilihan dalaman parti sebenarnya tak mempengaruhi sokongan rakyat terhadap mana-mana parti pun,” katanya.

Nur Jazlan berkata ini kerana rakyat tahu ia adalah isu dalaman atau masalah rumahtangga parti itu saja dan menasihatkan pengkritik berkenaan supaya tidak menggunakan “alasan dangkal demi menegakkan benang yang basah.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-