Wednesday, January 18, 2023

Khairuddin pertahan Zahid dikritik Ramasamy, ungkit kes mahkamah Guan Eng

agendaily.com
18/01/2023
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dikatakan sudah menyertai UMNO.

Bekas Ahli Parlimen (MP) PAS yang mesra UMNO, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali mempertahankan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikritik pemimpin DAP, P Ramasamy baru-baru ini.

Khairuddin yang baharu dilantik ahli Majlis Ulama UMNO itu membidas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang kerana berkata Zahid sebagai liabiliti kepada UMNO dan juga Pakatan Harapan (PH), serta menggesa tindakan diambil terhadapnya.

“Kesemua perkara sensitif yang ditimbulkan oleh pemimpin dengan kedudukan tinggi baik dalam parti mahupun kerajaan seperti Ramasamy ini, walaupun hanya bersifat pandangan peribadi, sudah pastilah berpotensi untuk menimbulkan ketidakpuasan hati pihak yang disentuh.

“Kerajaan perpaduan sudah terbentuk dengan perjanjian terperinci dipersetujui secara sukarela oleh semua pihak demi kepentingan negara.

“Oleh itu tidak berbangkit sama sekali soal kononnya parti tertentu terpaksa menyertainya atau parti tertentu lebih memerlukan parti lain,” katanya dalam satu artikel disiarkan Utusan Malaysia.

Khairuddin membangkitkan berhubung kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan masih belum didapati bersalah tetapi Ramasamy sebaliknya menyerang Zahid.

“Pertuduhan-pertuduhan rasuah ke atas Ahmad Zahid, sepertimana pertuduhan-pertuduhan rasuah ke atas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng adalah sesuatu yang belum terbukti dan dalam Islam mahupun common law Inggeris, seseorang tidak dikatakan bersalah sebelum dibuktikan bersalah,” katanya lagi.

Malah, Khairuddin berkata pemimpin UMNO tidak ada pun membangkitkan berhubung kes mahkamah dihadapi Guan Eng seperti yang dilakukan oleh Ramasamy.

“Pemimpin-pemimpin UMNO pun tidak mempersoalkan secara terbuka integriti DAP walaupun Guan Eng sedang berhadapan pertuduhan-pertuduhan rasuah dan pernah dibebaskan daripada pertuduhan- pertuduhan rasuah sewaktu zaman pemerintahan PH dahulu,” katanya.

Terdahulu, Ramasamy mendakwa Zahid Hamidi akan menjadi duri dalam daging kepada UMNO dan kerajaan perpaduan selagi beliau kekal sebagai Presiden parti itu.

Ia susulan Perhimpunan Agung UMNO yang meluluskan usul untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti, yang mesti diadakan sebelum 19 Mei.

“Zahid mungkin tidak terjejas buat masa ini, tetapi dia seolah-olah menjadi ‘beban’ kepada Umno dan sedikit sebanyak kepada Pakatan Harapan (PH) atau kerajaan perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-