Sunday, January 1, 2023

Tiong gesa jangan takutkan pelancong dari China

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 1, 2023 10:05 PM
Menteri Pelancongan, Tiong King Sing meminta orang ramai berhati-hati terhadap komen mereka berhubung ketibaan pelancong dari China susulan pembukaan semula sempadan negara itu.

Ini berikutan kebimbangan kedatangan pelancong dari China akan menyebabkan peningkatan semula kes Covid-19 seperti yang dihadapi negara itu ketika ini.

Dalam catatan di Facebook yang ditulis dalam bahasa Cina hari ini, Tiong berkata pelancong dari China tidak sewajarnya merasa tersisih untuk datang ke negara ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menggesa semua orang supaya berhati-hati dalam kata-kata dan tindakan anda, jangan membuat komen yang tidak mesra sebelum anda mengetahui gambaran penuh.

“Jangan merosakkan persahabatan antara Malaysia dan China, atau wujudkan tanggapan bahawa kita tidak mengalu-alukan kedatangan pelancong dari China,” katanya.

Dia menambah sebarang persoalan atau keraguan perlu dibangkitkan melalui "saluran yang betul" bagi mencapai situasi menang-menang.

Awal bulan lalu, China menamatkan dasar "sifar-Covid" bagi membendung wabak berkenaan dengan pembukaan semula sempadan negara ini.

Bagaimanapun, penamatan dasar sifar-Covid turut menyaksikan peningkatan kes dan kematian di China akibat wabak yang disebabkan oleh subvarian Omicron, BA.5 yang lebih berbahaya.

Timbul kebimbangan Beijing tidak memaklumkan mengenai penularan sebenar Covid-19 di negara itu ketika ini, di mana bilangan kes baru dipercayai oleh beberapa pakar berjumlah jutaan setiap hari.

Kementerian Kesihatan memaklumkan akan melakukan ujian ke atas semua pelancong dari China - termasuk sampel air kumbahan daripada pesawat yang dinaiki mereka.

Sesetengah pihak seperti PAS menggesa kerajaan menangguhkan kemasukan pelancong dari China buat sementara waktu, seperti yang dilakukan beberapa negara lain.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan turut menggalakkan orang ramai mendapatkan dos penggalak berikutan jangkaan kemasukan pelancong China ke negara ini.

Namun tidak dapat dipastikan bila vaksin bivalent baru - yang jauh lebih berkesan daripada vaksin sebelum ini bagi menghadapi ancaman Omicron termasuk BA.5 - akan diberikan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata vaksin bivalent - yang sepatutnya diterima Malaysia pada November - mungkin hanya dapat diberikan pada penghujung Januari.

Sempadan China dibuka semula pada 8 Jan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-