Tuesday, January 10, 2023

Zahid dakwa ‘gelombang hijau’ PN, PAS kerana pengundi disogok wang?

agendaily.com
10/01/2023
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menuduh ganjaran wang menyebabkan berlakunya 'gelombang hijau' pada PRU-15 lalu.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengaitkan wang sebagai punca berlakunya ‘gelombang hijau’ – lonjakan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu hingga menyebabkan Barisan Nasional (BN) kalah teruk.

Tanpa mengemukakan sebarang bukti terhadap tuduhannya itu, Pengerusi BN yang hanya menang dengan majoriti 348 undi dalam saingan di Parlimen Bagan Datuk pada PRU-15 lalu, kini dilihat sudah belajar daripada Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang banyak bermain dengan ‘politik persepsi’.

Tuduhan Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri pada program Naratif Khas di RTM malam tadi (9 Januari 2023), mengingatkan kembali dakwaan cikgunya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Disember tahun lalu, bahawa parti ‘Melayu’ dan parti ‘Islam’ membiayai PRU-15 hasil dana syarikat perjudian.

Isu berhubung ‘gelombang hijau’ mula dimainkan rakan ‘sebantal’ baharu UMNO – DAP – apabila bekas pengerusi parti itu Lim Kit Siang melahirkan kebimbangan dengan gelombang kebangkitan orang Melayu beragama Islam ketika PRU-15 pada 19 November 2022, khususnya kemenangan besar PAS.

Kit Siang tidak menyembunyikan kebimbangan apabila melihat jumlah kerusi Parlimen dimenangi PAS, malah dalam satu tulisannya, dia mempersoalkan sama ada kemungkinan Malaysia bakal menjadi negara Islam sepenuhnya sebelum PRU-17 nanti.

“Adakah fenomena “gelombang hijau” yang kuat di Malaysia yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam sepenuhnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-17 sebelum 2032?” kata Kit Siang dalam blognya.

Kit Siang memperkecilkan kemenangan PAS walaupun berjaya menawan 44 kerusi Parlimen selepas PRU-15 lalu dengan mendakwa ia disebabkan strategi kotor parti tersebut semasa berkempen.

“Fenomena gelombang hijau tercipta hasil daripada politik toksik yang menipu, ketakutan, kebencian, kaum dan agama dan keputusan tidak dijangkakan selepas pertambahan pengundi 18 tahun yang menyaksikan seramai 1.4 juta pengundi baharu dalam daftar pemilih,” katanya lagi.

Serangan Kit Siang kini disambut pula oleh Zahid yang menuduh “ganjaran wang” menjadi punca pengundi menolak BN, khususnya UMNO pada PRU-15 lalu, sambil berkata akibatnya pengundi gagal menilai prestasi politik perkhidmatan yang dilaksanakan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sepanjang tempoh lima tahun lalu.

“Elemen politik telah berubah daripada politik pembangunan kepada politik perkhidmatan. (Namun), walaupun ahli Parlimen atau ADUN berkhidmat dengan gigih di kawasan mereka selama lima tahun, pemikiran (orang yang percaya) politik perkhidmatan mudah berubah apabila mereka dibeli oleh orang luar.

“Penganalisis politik yang menjalankan kajian empirikal dan bukan empirikal mengenai PRU-15 gagal menyedari bahawa ganjaran wang adalah faktor utama yang dipanggil ‘tsunami hijau’,” katanya dalam program itu.

Pada PRU-15 lalu, daripada 30 kerusi dimenangi BN, 26 adalah daripada UMNO – satu kekalahan paling teruk dalam sejarah lebih 60 tahun parti itu memerintah Malaysia sejak merdeka.

PN pula memenangi 74 kerusi, merampas beberapa kerusi kubu kuat BN dan Pakatan Harapan, menjadikan Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu “hijau”. Bagaimanapun, jumlah itu berkurangan setelah empat ahli Parlimen Bersatu Sabah keluar parti.

Kini, UMNO yang bersekongkol bersama DAP dalam kerajaan PH-BN, mula menyerang PN dan PAS dengan menanam satu doktrin bahawa gelombang kebangkitan rakyat Malaysia ketika PRU-15 lalu disebabkan diberi ganjaran wang dan menggunakan taktik kotor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-