Tuesday, January 10, 2023

PN yakin menang besar PRN enam negeri, gelombang hijau meningkat

agendaily.com
10/01/2023
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang pada majlis dialog bersama ahli Gerakan di Ibu Pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang, malam tadi (9 Januari 2023). - Gambar FB Datuk Wan Saiful Wan Jan

Perikatan Nasional (PN) yakin mencapai kemenangan besar pada pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan di enam negeri dalam tempoh empat atau lima bulan lagi, kata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Timbalan Pengerusi PN itu berkata keyakinan berkenaan adalah berdasarkan kepada dapatan undi yang diperoleh mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) November lalu.

“Gelombang PRU-15 peringkat Parlimen baru-baru ini memberi sokongan yang kuat kepada negeri-negeri apabila kita menyapu bersih di negeri yang kita (PN/PAS) perintah (iaitu) di Kelantan, Terengganu dan di Kedah ada satu kerusi sahaja yang kita terlepas.

“(Ini) menandakan bahawa kita (PN/PAS) ada kekuatan. Dan bedah siasat yang kita lakukan mendapati bahawa undi di DUN-DUN dalam kawasan Parlimen (menunjukkan) kita menang keseluruhannya,” kata Ahli Parlimen Marang itu semalam (9 Januari 2023).

Abdul Hadi berkata demikian kepada media ketika ditanya mengenai persiapan PN menghadapi PRN enam negeri tidak lama lagi. Terdahulu, beliau menghadiri majlis dialog dengan parti Gerakan di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang, malam tadi.

Mengulas lanjut beliau juga yakin bahawa gelombang kejayaan itu dapat dikekalkan dalam situasi pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang disifatkannya sebagai tidak menentu ketika ini.

“Hendak kata (kerajaan) perpaduan bukan perpaduan. Kalau perpaduan mestilah kerajaan tiada pembangkang atau parti pembangkang terlalu kecil, tiada peranan baharu (dipanggil) kerajaan perpaduan. Kalau separuh pembangkang, separuh kerajaan bukan perpaduan.

“Istilah pun tidak betul. Kemudian masih banyak masalah yang tak selesai… kenyataan yang tidak dilaksanakan,” katanya.

Abdul hadi juga berkata proses agihan kerusi antara parti komponen PN menjelang PRN enam negeri itu juga sudah mencapai 80 peratus setakat ini.

Menurutnya perbincangan secara langsung berhubung rundingan pembahagian kerusi PRN telah dilaksanakan sejak PRU-15 lalu.

Menurutnya, ini termasuk persediaan membabitkan enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan Kelantan, Terengganu dalam berdepan PRN akan datang.

“Sebenarnya masa pilihan raya umum Parlimen dulu kita ada perbincangan langsung. Itu jadi asas perbincangan untuk DUN dan ia perlu dilihat kepada strategi untuk hadapi pilihan raya yang berikut

Mengenai majlis dialog itu, Abdul Hadi berkata program berkenaan bertujuan mendekatkan saf di antara parti komponen PN seterusnya menyalurkan maklumat yang betul kepada masyarakat khususnya golongan bukan Islam termasuk membincangkan isu Islamophobia.

“Isu Islamophobia sengaja ditimbulkan musuh Islam yang tidak senang dengan keamanan negara kita (terdiri daripada) masyarakat majmuk yang hidup harmoni antara satu sama lain.

“Kita jadi negara contoh di seluruh dunia, hubungan pelbagai kaum tidak sebagaimana negara lain tetapi ada pihak cuba hendak cetuskan Islamophobia untuk timbulkan ketegangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-