Showing posts with label Gelombang Hijau. Show all posts
Showing posts with label Gelombang Hijau. Show all posts

Sunday, August 13, 2023

‘Gelombang Hijau’ terus landa Semenanjung

freemalaysiatoday.com
Robin Augustin
 - 13 Aug 2023, 1:40am

PN berjaya mengukuhkan kedudukan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, serta meluaskan pengaruh di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Umno terus mencatatkan prestasi buruk pada pilihan raya, manakala PAS dan Bersatu memperoleh keuntungan di kerusi majoriti Melayu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: “Gelombang Hijau” yang mencetuskan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di 74 kerusi Parlimen pada PRU meneruskan momentumnya pada PRN semalam.

Bersatu dan PAS berjaya mengukuhkan kedudukan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, melemahkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), terutamanya Umno yang menjadi tonggak BN.

Berdasarkan keputusan rasmi dan tidak rasmi setakat ini, jelas bahawa “Gelombang Hijau” semakin kuat apabila turut melanda negeri pantai barat Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Walaupun gabungan perpaduan berjaya mengekalkan kuasa di ketiga-tiga negeri itu, kedudukan PN mengukuh, khususnya di kawasan Melayu di Pulau Pinang dan Selangor, yang selama bertahun-tahun dikuasai oleh PH dan BN.

Saguhati bagi PH-BN sebahagian besarnya adalah apabila PN diketepikan di Negeri Sembilan, hanya memenangi tiga kerusi. Bagaimanapun, gabungan itu memberikan persaingan hebat, terutamanya terhadap calon Umno, di kerusi-kerusi lain.

Sebelum pilihan raya, beberapa pemimpin PN, termasuk Presiden PAS Hadi Awang, meramalkan bahawa kemenangan bagi pakatan pembangkang boleh membawa kepada pertukaran kerajaan persekutuan.

Walaupun pemimpin PH dan BN menyangkal dakwaan itu, pemerhati politik menjangkakan timbul akibat daripada prestasi buruk Umno, yang akan dirasai dalam parti itu, dan sebagai lanjutan, juga dalam gabungan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, memandangkan Anwar mempunyai majoriti di Parlimen, wujudnya undang-undang anti-lompat dan hakikat bahawa Zahid Hamidi menerajui Umno dan BN, sebarang perubahan di peringkat persekutuan mungkin tidak berlaku dalam sekelip mata.

Prestasi kukuh PN pada PRN kali ini akan menyembunyikan isu-isu yang dihadapi gabungan itu sebelum pilihan raya, termasuk dakwaan wujudnya “kartel” dalam Bersatu, rasa tidak senang terhadap pencalonan, dan kekurangan sokongan daripada golongan bukan Melayu.

Mungkin salah satu isu terbesar yang perlu dihadapinya sebelum PRU akan datang adalah kononnya PAS lebih dominan daripada Bersatu, seperti yang didakwa oleh bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Faiz Na’aman.

PAS mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen berbanding rakan kongsinya itu, selain bertapak lebih kukuh di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bagaimana keputusan pilihan raya akan mengubah dinamik dalam PN masih belum dapat dilihat, tetapi buat masa ini, pakatan pembangkang mampu membelakangkan isu dalaman mereka.

Monday, July 3, 2023

Bina benteng kuat hadapi ‘Gelombang PN’, kata Tok Mat

freemalaysiatoday.com
Dineskumar Ragu -
 03 Jul 2023, 6:40pm
Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata gabungan itu ‘cuma’ perlu bina ‘benteng’ yang kuat.

BAYAN LEPAS: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Mohamad Hasan menepis cakap-cakap tentang impak ‘Gelombang Perikatan Nasional’ pada PRN akan datang.

Beliau berkata sebarang gelombang politik akan surut akhirnya, namun BN perlu perkasakan parti dan menjalankan gerak kerja dengan baik.

“Gelombang macam mana pun kita akan dapat pastikan boleh menahan – menjadi benteng – dan kita boleh menolak gelombang semula ke belakang,” katanya kepada pemberita di satu acara Umno Pulau Pinang.

Beliau ditanya pemberita tentang impak populariti PN pada PRU lalu ke atas peluang Umno pada pilihan raya di enam negeri akan datang.

PN menawan 74 kerusi Parlimen pada PRU15, dalam perkembangan yang disifatkan seterunya sebagai “Gelombang Hijau” – merujuk kepada PAS yang memenangi kerusi terbanyak dalam gabungan itu.

Berhubung pengagihan kerusi antara BN dan Pakatan Harapan di Pulau Pinang, Mohamad berkata majlis presiden masing-masing sedang memuktamadkan perkara itu, dan akan membuat keputusan dalam dua atau tiga hari.

“…itu adalah kata putus apabila majlis presiden telah pun memutuskan, saya berharap supaya semua pihak di peringkat negeri akur dengan keputusan yang dibuat tersebut.

“Dan nanti kalau tidak akur…nanti akan ada perasaan tak puas hati dan akhirnya nanti kita tak dapat mengurus pilihan raya dengan baik. Yang penting kita nak menang,” katanya.

Ketika PRU 2018, PH menang 37 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang, manakala BN menang dua kerusi, dan satu oleh PAS. DUN Pulau Pinang dibubarkan pada Rabu lalu untuk memberi laluan kepada PRN yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Friday, May 12, 2023

DAP menentang Islam secara terbuka, punca PAS tolak kerjasama

agendaily.com
12/05/2023
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

DAP secara terbuka mencabar Islam, merendahkan dan mempertikai hak istimewa Bumiputera dengan meminggirkan bahasa kebangsaan.

Demikian kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menjelaskan punca partinya meninggalkan kerjasama dengan DAP sebelum ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata DAP juga menjaja Islamofobia dan menjadikan gelombang hijau sebagai ancaman kepada masyarakat bukan Islam.

“Banyak yang mempertikaikan kerjasama PAS dengan pihak lain, mengapa ia boleh berubah? Malah, PAS dianggap mengkhianati kerjasama kerana sepatutnya tetap tidak boleh diubah khususnya kerjasama bersama DAP yang telah dibatalkan.

“DAP secara terbuka menentang negara Islam dan mendesak supaya menetapkan sekularisme dalam Perlembagaan Persekutuan. Tindakan ini sekali gus menyalahtafsirkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan kerana ia ditafsirkan mengikut bahasa penjajah.

“Kemudian, mereka berlagak kononnya mereka ditindas oleh sifat perkauman Melayu. Laksana mendapat betis mahukan paha, setelah mereka diberikan hak kebebasan beragama, berbahasa dan berbudaya yang tidak diberikan oleh negara lain selain daripada Malaysia.

“Mereka menjaja Islamofobia dan menjadikan kemajuan PAS dalam PRU-15 dengan jenama Gelombang Hijau yang menjadi ancaman kepada masyarakat bukan Islam. Tanpa mereka mempedulikan kejayaan PAS memerintah beberapa negeri dalam keadaan majoriti besar Melayu Islam hidup aman dan harmoni dalam masyarakat majmuk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Menurutnya, al-Quran tidak mengizinkan kerjasama hingga berwala’ (kesetiaan) yang meninggalkan prinsip dan konsep asas perjuangan Islam.

Malah katanya pemimpin DAP terus menerus menentang pelaksanaan Islam di negara ini meskipun ia hanya untuk penganut Islam.

“Banyak kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin utamanya yang menentang pelaksanaan Islam, walaupun pelaksanaan Islam itu hanyalah bagi penganut Islam sahaja sebagaimana mengikut Perlembagaan Persekutuan, tanpa memaksa golongan bukan Islam.

“DAP terlebih dahulu bersikap proaktif apabila bertindak keluar daripada Barisan Aternatif kerana sifat anti-Islamnya yang ditunjukkan kepada PAS dan DAP juga terlebih dahulu bertindak mengeluarkan PAS daripada PR dengan alasan yang sama.

“DAP juga merancang untuk mendapatkan kuasa politik negara setelah kaumnya menguasai ekonomi supaya mereka dapat memerintah negara melalui pilihan raya dengan meletakkan calon-calon di kawasan Melayu dengan calon-calon Melayu yang berfahaman liberal, sekular, oportunis dan jahil agama. Bahkan, ada kalangan Melayu yang diumpan menjadi ketua kerajaan bonekanya,” katanya.

Menyentuh soal PKR dan Amanah, Abdul Hadi berkata dua parti itu lebih mengutamakan hubungan dengan DAP kerana menganggap strategi boleh membatalkan prinsip aqidah perjuangan, berpandukan kaedah matlamat menghalalkan cara sehingga bersedia menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran yang nyata serta menjadi jurucakap DAP terhadap orang Melayu Islam secara percuma.

Tambahnya, “PAS menolak PKR dan parti-parti liberal yang bekerjasama dengan DAP termasuk UMNO yang meninggalkan asas perjuangannya untuk membela agama, bangsa dan tanah air semata-mata kerana ingin mengejar jawatan, harta serta kepentingan diri.”

Tuesday, March 14, 2023

Trend pengundian PRU15 mampu ancam PH di Selangor

freemalaysiatoday.com
Sheridan Mahavera
14 Mar 2023, 8:41am

Perikatan Nasional menawan majoriti pengundi baharu di Selangor dan menggantikan Umno sebagai pilihan kedua pengundi di banyak kerusi Parlimen.

Pakatan Harapan memegang 40 daripada 56 kerusi DUN di Selangor tetapi Perikatan Nasional (PN) telah mencapai kejayaan dengan memenangi enam kerusi Parlimen.

PETALING JAYA: Penguasaan Pakatan Harapan di Selangor boleh terancam sekiranya trend pengundian pada PRU15 diteruskan pada pilihan raya negeri akan datang.

PH kini memegang 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi Perikatan Nasional (PN) mencapai kejayaan dalam PRU pada November dengan memenangi enam kerusi parlimen: Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat.

Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan bahawa PN memperolehi antara 65% dan 90% pengundi baharu yang ditambah ke dalam daftar pemilih berikutan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun.

Di Kapar, yang menjadi kubu kuat PH sebelum ini, menyaksikan PN menang sekitar 67.5% atau 34,400 daripada kira-kira 52,000 pengundi baharu. PH hanya berjaya menambah kira-kira 5,300 pengundi baharu, manakala BN memperoleh kira-kira 8,700.

Di Kuala Langat, calon PN daripada PAS memperoleh 52,867 undi berbanding 18,700 yang diperoleh parti Islam itu pada PRU14.

Sebaliknya, PH hanya berjaya meningkatkan undi sebanyak 7,800 walaupun hakikatnya terdapat lebih 35,800 pengundi baharu di kawasan itu. Undi BN turun kira-kira 7,400.

“Strategi media sosial dan retorik perkauman PN memberi impak, terutamanya dalam kalangan pengundi kali pertama,” kata Abbas Salimmi Adzmi, ketua sayap Pemuda dari Amanah, parti komponen PH.

Malah di kerusi Parlimen majoriti Melayu yang menyaksikan PN kalah, termasuk Shah Alam, Gombak, Hulu Langat dan Sepang, gabungan itu menduduki tempat kedua selepas PH. Majoriti PH di kerusi ini berkurangan antara 10,000 hingga 36,000 undi.

‘Gelombang hijau’ di Selangor

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali, beliau percaya “gelombang hijau” boleh membantu gabungan itu menamatkan pemerintahan 15 tahun PH di Selangor, selepas mendorong PN memenangi 74 kerusi pada pilihan raya.

“PN mendominasi media sosial terutamanya TikTok dengan video daripada pendakwah selebriti yang pro-PN,” kata Mazlan.

PN berharap untuk memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN yang akan memberikan majoriti mudah untuk mentadbir Selangor tetapi tidak menamakan kerusi itu.

Terdapat 10 kerusi DUN dalam enam kawasan Parlimen yang dimenangi PN pada PRU15, semuanya dengan lebih 70% bilangan pengundi Melayu.

Terdapat juga 12 kerusi DUN lain di seluruh Selangor di mana Melayu Islam merangkumi lebih 70% pengundi. Kerusi ini adalah di kawasan Parlimen Selayang, Gombak, Hulu Langat, Bangi, Shah Alam, Kota Raja dan Sepang.

Di lapan kerusi DUN lain, pengundi Melayu Islam membentuk lebih 60% daripada pengundi. Permatang, Taman Templer, Lembah Jaya, Pandan Indah, Dusun Tua, Seri Serdang, Meru dan Kota Damansara adalah kerusi yang pernah ditandingi PAS, parti terbesar dalam PN mengikut keahlian, sebelum ini.

Menghentikan ‘gelombang hijau’

Abbas percaya “gelombang hijau” PN mungkin tidak mempunyai kesan yang sama dalam PRN seperti yang berlaku pada PRU15. Beliau berkata PH dan sekutu baharunya BN kini menyedari strategi media sosial PN dan akan bersedia untuk menentang naratif mereka.

“Kerajaan Selangor telah melancarkan pelbagai inisiatif seperti insurans bersubsidi dan diskaun karnival beli-belah. Negeri juga telah menambah dana untuk program sedia ada seperti skim bantuan warga emas, yang membantu keluarga berpendapatan sederhana dan rendah,” kata Abbas.

Mazlan berkata, pengundi kali pertama yang menyokong PN pada PRU15 mungkin berubah fikiran selepas melihat prestasi kerajaan perpaduan.

“Keperibadian Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kerja kerasnya, kelayakannya sebagai pemimpin Islam yang progresif dan bagaimana dia turun ke lapangan untuk bersolat dengan orang yang berbeza setiap Jumaat, boleh mempengaruhi sentimen,” tambah Mazlan.

Tuesday, January 10, 2023

PN yakin menang besar PRN enam negeri, gelombang hijau meningkat

agendaily.com
10/01/2023
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang pada majlis dialog bersama ahli Gerakan di Ibu Pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang, malam tadi (9 Januari 2023). - Gambar FB Datuk Wan Saiful Wan Jan

Perikatan Nasional (PN) yakin mencapai kemenangan besar pada pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan di enam negeri dalam tempoh empat atau lima bulan lagi, kata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Timbalan Pengerusi PN itu berkata keyakinan berkenaan adalah berdasarkan kepada dapatan undi yang diperoleh mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) November lalu.

“Gelombang PRU-15 peringkat Parlimen baru-baru ini memberi sokongan yang kuat kepada negeri-negeri apabila kita menyapu bersih di negeri yang kita (PN/PAS) perintah (iaitu) di Kelantan, Terengganu dan di Kedah ada satu kerusi sahaja yang kita terlepas.

“(Ini) menandakan bahawa kita (PN/PAS) ada kekuatan. Dan bedah siasat yang kita lakukan mendapati bahawa undi di DUN-DUN dalam kawasan Parlimen (menunjukkan) kita menang keseluruhannya,” kata Ahli Parlimen Marang itu semalam (9 Januari 2023).

Abdul Hadi berkata demikian kepada media ketika ditanya mengenai persiapan PN menghadapi PRN enam negeri tidak lama lagi. Terdahulu, beliau menghadiri majlis dialog dengan parti Gerakan di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang, malam tadi.

Mengulas lanjut beliau juga yakin bahawa gelombang kejayaan itu dapat dikekalkan dalam situasi pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang disifatkannya sebagai tidak menentu ketika ini.

“Hendak kata (kerajaan) perpaduan bukan perpaduan. Kalau perpaduan mestilah kerajaan tiada pembangkang atau parti pembangkang terlalu kecil, tiada peranan baharu (dipanggil) kerajaan perpaduan. Kalau separuh pembangkang, separuh kerajaan bukan perpaduan.

“Istilah pun tidak betul. Kemudian masih banyak masalah yang tak selesai… kenyataan yang tidak dilaksanakan,” katanya.

Abdul hadi juga berkata proses agihan kerusi antara parti komponen PN menjelang PRN enam negeri itu juga sudah mencapai 80 peratus setakat ini.

Menurutnya perbincangan secara langsung berhubung rundingan pembahagian kerusi PRN telah dilaksanakan sejak PRU-15 lalu.

Menurutnya, ini termasuk persediaan membabitkan enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan Kelantan, Terengganu dalam berdepan PRN akan datang.

“Sebenarnya masa pilihan raya umum Parlimen dulu kita ada perbincangan langsung. Itu jadi asas perbincangan untuk DUN dan ia perlu dilihat kepada strategi untuk hadapi pilihan raya yang berikut

Mengenai majlis dialog itu, Abdul Hadi berkata program berkenaan bertujuan mendekatkan saf di antara parti komponen PN seterusnya menyalurkan maklumat yang betul kepada masyarakat khususnya golongan bukan Islam termasuk membincangkan isu Islamophobia.

“Isu Islamophobia sengaja ditimbulkan musuh Islam yang tidak senang dengan keamanan negara kita (terdiri daripada) masyarakat majmuk yang hidup harmoni antara satu sama lain.

“Kita jadi negara contoh di seluruh dunia, hubungan pelbagai kaum tidak sebagaimana negara lain tetapi ada pihak cuba hendak cetuskan Islamophobia untuk timbulkan ketegangan,” katanya.

Zahid dakwa ‘gelombang hijau’ PN, PAS kerana pengundi disogok wang?

agendaily.com
10/01/2023
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menuduh ganjaran wang menyebabkan berlakunya 'gelombang hijau' pada PRU-15 lalu.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengaitkan wang sebagai punca berlakunya ‘gelombang hijau’ – lonjakan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu hingga menyebabkan Barisan Nasional (BN) kalah teruk.

Tanpa mengemukakan sebarang bukti terhadap tuduhannya itu, Pengerusi BN yang hanya menang dengan majoriti 348 undi dalam saingan di Parlimen Bagan Datuk pada PRU-15 lalu, kini dilihat sudah belajar daripada Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang banyak bermain dengan ‘politik persepsi’.

Tuduhan Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri pada program Naratif Khas di RTM malam tadi (9 Januari 2023), mengingatkan kembali dakwaan cikgunya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Disember tahun lalu, bahawa parti ‘Melayu’ dan parti ‘Islam’ membiayai PRU-15 hasil dana syarikat perjudian.

Isu berhubung ‘gelombang hijau’ mula dimainkan rakan ‘sebantal’ baharu UMNO – DAP – apabila bekas pengerusi parti itu Lim Kit Siang melahirkan kebimbangan dengan gelombang kebangkitan orang Melayu beragama Islam ketika PRU-15 pada 19 November 2022, khususnya kemenangan besar PAS.

Kit Siang tidak menyembunyikan kebimbangan apabila melihat jumlah kerusi Parlimen dimenangi PAS, malah dalam satu tulisannya, dia mempersoalkan sama ada kemungkinan Malaysia bakal menjadi negara Islam sepenuhnya sebelum PRU-17 nanti.

“Adakah fenomena “gelombang hijau” yang kuat di Malaysia yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam sepenuhnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-17 sebelum 2032?” kata Kit Siang dalam blognya.

Kit Siang memperkecilkan kemenangan PAS walaupun berjaya menawan 44 kerusi Parlimen selepas PRU-15 lalu dengan mendakwa ia disebabkan strategi kotor parti tersebut semasa berkempen.

“Fenomena gelombang hijau tercipta hasil daripada politik toksik yang menipu, ketakutan, kebencian, kaum dan agama dan keputusan tidak dijangkakan selepas pertambahan pengundi 18 tahun yang menyaksikan seramai 1.4 juta pengundi baharu dalam daftar pemilih,” katanya lagi.

Serangan Kit Siang kini disambut pula oleh Zahid yang menuduh “ganjaran wang” menjadi punca pengundi menolak BN, khususnya UMNO pada PRU-15 lalu, sambil berkata akibatnya pengundi gagal menilai prestasi politik perkhidmatan yang dilaksanakan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sepanjang tempoh lima tahun lalu.

“Elemen politik telah berubah daripada politik pembangunan kepada politik perkhidmatan. (Namun), walaupun ahli Parlimen atau ADUN berkhidmat dengan gigih di kawasan mereka selama lima tahun, pemikiran (orang yang percaya) politik perkhidmatan mudah berubah apabila mereka dibeli oleh orang luar.

“Penganalisis politik yang menjalankan kajian empirikal dan bukan empirikal mengenai PRU-15 gagal menyedari bahawa ganjaran wang adalah faktor utama yang dipanggil ‘tsunami hijau’,” katanya dalam program itu.

Pada PRU-15 lalu, daripada 30 kerusi dimenangi BN, 26 adalah daripada UMNO – satu kekalahan paling teruk dalam sejarah lebih 60 tahun parti itu memerintah Malaysia sejak merdeka.

PN pula memenangi 74 kerusi, merampas beberapa kerusi kubu kuat BN dan Pakatan Harapan, menjadikan Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu “hijau”. Bagaimanapun, jumlah itu berkurangan setelah empat ahli Parlimen Bersatu Sabah keluar parti.

Kini, UMNO yang bersekongkol bersama DAP dalam kerajaan PH-BN, mula menyerang PN dan PAS dengan menanam satu doktrin bahawa gelombang kebangkitan rakyat Malaysia ketika PRU-15 lalu disebabkan diberi ganjaran wang dan menggunakan taktik kotor.

Friday, December 9, 2022

Kemungkinan 'gelombang hijau' landa P Pinang dalam PRN

malaysiakini.com
Ng Xiang Yi
Diterbitkan: Dec 9, 2022 6:26 PM
Kemenangan besar PN di Padang Serai membangkitkan kebimbangan pada PH Pulau Pinang - yang terletak bersebelahan - terhadap "gelombang hijau" yang tidak menunjukkan petanda akan mereda.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow meramalkan PH boleh hilang enam atau tujuh kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, berdasarkan trend yang dilihat dalam PRU15.

Walaupun ia tidak menjejaskan penguasaan PH di Pulau Pinang, Chow dilaporkan berkata pengaruh gabungan itu di negeri itu tidak akan menjadi sekuat dulu.
Chow Kon Yeow
Pada PRU15, PN menang 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah. Di Pulau Pinang, dua kubu kuat BN, iaitu Kepala Batas dan Tasek Gelugor, juga dirampas gabungan itu.

Namun kekalahan paling mengejutkan adalah di Permatang Pauh, apabila Nurul Izzah Anwar tewas di tangan calon PN Fawwaz Md Jan. Kerusi itu dipegang keluarga Anwar sejak 1982.

Tiga kerusi ini adalah kerusi separa bandar dengan orang Melayu merangkumi 70 peratus pengundinya.

Jika trend semasa beterusan, tidak mustahil PN akan menang di kerusi-kerusi majoriti Melayu dalam PRN akan datang.

Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat September lalu menunjukkan 26 daripada 40 kerusi DUN di Pulau Pinang adalah kerusi campuran di mana Melayu bukan majoriti pengundi, manakala 14 kerusi lagi memiliki sekurang-kurangnya 60 peratus pengundi Melayu.

Daripada 14 DUN tersebut, 11 terletak di Seberang Perai.
Guna Tiktok

Dua wakil rakyat Pulau Pinang menggsa PH negeri itu untuk lebih agresif dan giat dalam meningkatkan strategi propaganda dan komunikasi bagi melawan sentimen kaum dan agama yang dibangkitkan PN.

Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik mendakwa PN cuba menakut-nakutkan orang Melayu dengan dakwan golongan anti-Melayu, anti-Islam dan malah komunis akan mengawal Malaysia.
Muhammad Bakhtiar
Ini propaganda mereka. Jika anda dengar ceramah (Pengerusi PN) Muhyiddin Yassin, (Presiden PAS) Abdul Hadi Awang atau Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, tiada apa selain mencetuskan ketakutan," katanya yang juga timbalan pengerusi PKR Pulau Pinang kepada Malaysiakini.

Oleh itu, Bakhtiar menegaskan PH perlu menambah baik strategi komunikasi, terutama di platform seperti TikTok, untuk melawan naratif yang dibawa PN.

"Ketika saya masuk ke kampung semasa kempen, saya lihat golongan muda sentiasa menonton video TikTok di telefon mereka. Kita perlu kerja keras dalam hal ini.

"Tentulah kita tak boleh haramkan TikTok tetapi kita perlu mengawal kandungan di dalamnya, terutama yang menyebarkan fitnah dan tuduhan palsu," katanya lagi.

Beberapa hari lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata dia sedang melihat langkah untuk mengukuhkan undang-undang sedia ada bagi menambah baik kawalan terhadap kandungan media sosial yang provokatif dan ekstrem, namun pada masa sama tidak menjejaskan prinsip kebebasan bersuara.

Katanya, ketika pertemuan dengan wakil TikTok, dia ditunjukkan data tentang berapa banyak video provokatif yang dipadam secara automatik oleh sistem media sosial tersebut ketika dan selepas PRU15.

Antara 12 hingga 18 November, TikTok telah memadam 857 video, sementara 1,126 video lagi dipadam antara 20 hingga 26 November.

Tambah baik publisiti

Sementara itu, Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil turut membidas PN kerana menurutnya telah mengapi-apikan sentimen kaum dan agama serta menyebarkan maklumat yang salah ketika kempen.

"Tuduhan komunis, ejen Israel dan sebagainya tidak diasaskan pada fakta dan lebih kepada persepsi bohong yang dibina.
Faiz Fadzil
"Kerajaan Pulau Pienang perlu ambil serius kempen sebegini jika mahu kekalkan majoriti besar di kerana sasaran kempen PN adalah DAP yang menjadi tunggak kepada kerajaan PH di negeri ini," katanya.

Dia menggesa PH Pulau Pinang untuk menambah baik jentera publisiti dan mencadangkan agar turut menggunakan video pendek untuk mempromosikan dasar dan tindakan, terutama untuk orang Melayu di negeri itu.

"Naratif politik pula perlu dibaiki dari sudut kandungan dan penyampaian.

"Perlu lebih ramai tokoh agama membuat penjelasan kepada rakyat tentang sentimen perkauman yang dimainkan itu adalah fitnah," katanya lagi.

Selain menarik sokongan pengundi muda, Faiz juga berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap penceramah agama yang membangkitkan sentimen kaum dan agama di Pulau Pinang.

Wednesday, November 30, 2022

ULASAN | Kejutan 'Gelombang Hijau' dalam PRU15

malaysiakini.com
Fakhrurrazi Rashid
Diterbitkan: Nov 30, 2022 8:00 AM
ULASAN | Keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-15 sudah pun diketahui. Buat pertama kali dalam sejarah politik tanah air, tidak ada gabungan parti yang melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Akhirnya, kerajaan perpaduan atas muafakat antara gabungan parti politik dibentuk dan diterajui Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10.

PRU ke-15 memberi perspektif yang jelas dalam beberapa perkara.

Pertama, riwayat Umno-BN seperti telur di hujung tanduk. Kedua, Pakatan Harapan (PH) mampu mengekalkan momentum namun tidak mampu mempertahankan kubu kuatnya. Ketiga, Perikatan Nasional (PN) dapat menarik pengundi dan mengempur kubu kuat PH dan BN.

Sudah pasti perspektif ketiga itu mengejutkan ramai. Dalam diam, PN menjadi pesaing hebat kepada PH dan BN meskipun ia baru dua tahun berada dalam arena politik.

Berbeza dengan kempen di kawasan-kawasan lain di Semenanjung Malaysia, persaingan di Pantai Timur Malaysia, sebahagian Johor dan utara negara dihangatkan dengan perang saraf politik dipanggil ‘Gelombang Hijau’.
Jika PRU ke-14 gelombang itu meletakkan PAS sebagai kerajaan sekali lagi Terengganu, kali ini PAS berjaya menyapu bersih kerusi parlimen di Terengganu dan Kelantan.

Malah, berjaya PAS - bersama PN - membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah enam dekad diperintah BN.

Ledakan Gelombang Hijau juga meningkatkan jumlah kerusi PN di Perak dan Pahang, sama ada di peringkat parlimen mahupun dewan undangan negeri (DUN).

Lebih mengejutkan lagi apabila PN berjaya menumbangkan kerusi asas PH sejak 2008 di Selangor dan Pulau Pinang pada kali ini. Soalnya, bagaimanakah fenomena itu berlaku?

Kelebihan buat PAS

Pertama, PAS dilihat sebagai parti pilihan utama di kawasan demografi majoriti pengundi Melayu. Kecelaruan Umno yang terpalit dengan isu integriti, dan pengaruh PH yang kurang menonjol di wilayah itu, membolehkan PAS menggempur kawasan seperti Padang Terap, Baling, Permatang Pauh, dan Pokok Sena.

PAS dan PN mengukuhkan tapaknya di kerusi lebih 70 peratus majoriti Melayu melangkaui wilayah Pantai Timur pada PRU ke-15.

Kedua, penguasaan pemimpin PAS di wilayah Pantai Timur dan utara negara memperkukuh pengaruh mereka. Populariti figura seperti Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor; dan Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu) memainkan peranan utama dalam menarik pengundi Melayu atas pagar untuk mendekati PN.

Kepimpinan yang ditonjolkan oleh Sanusi dan Ahmad Samsuri yang mesra rakyat dan berkebolehan menerajui negeri memudahkan PAS menyantuni pengundi dengan lebih santai.

Berbeza dengan pemimpinPH dan BN yang tidak mempunyai figura menonjol bagi memberi persaingan di wilayah Pantai Timur dan utara.
Pendirian Sanusi dan Ahmad Samsuri yang tidak menjadi calon parlimen memberi kelebihan buat PAS memfokuskan sumber yang ada memenangkan calon di kawasan-kawasan strategik.

Ketiga, PAS hampir mendominasi kempen di media sosial. Penguasaan itu dikesan sejak awal apabila terdapat trend ustaz-ustaz menyampaikan tazkirah di platform seperti YouTube dan Facebook live.

Meskipun mesej disampaikan tidak menjurus menyokong parti politik secara langsung, ia membantu rakyat terbanyak memahami konteks yang lebih luas berkenaan nilai-nilai yang dekat dengan PAS, khasnya soal memilih pemimpin dan kerajaan serta isu-isu lain.

Perlu diurus dengan betul

Petunjuk-petunjuk itu memberi asas bahawa perang saraf Gelombang Hijau itu semakin relevan dalam politik negara dan ia semakin membesar tanpa kita sedari.

PAS mampu menumbangkan kerusi asas PH di Selangor sejak 2008 seperti Kuala Langat, Kapar, dan Hulu Langat. Apakah PAS dan PN mampu menggempur kubu kuat PH dan BN dalam pilihan raya negeri (PRN) Selangor tidak lama lagi?

Kemenangan di Mersing memberi peluang kepada PN menambah kekuatannya di kerusi Pantai Timur Johor seperti Kota Tinggi dan Tenggara yang merupakan kubu kuat BN dalam tempoh jangka panjang.

Dari sudut yang berbeza, Gelombang Hijau turut memberi kesan mendalam kepada politik negara. Agenda dan bahan kempen yang mengetengahkan sentimen kaum dan agama mewujudkan kebimbangan utama rakyat selepas keputusan PRU ke-15 diumumkan.

Situasi itu telah melebarkan jurang kesefahaman antara wilayah, bandar atau luar bandar, yang mempunyai jumlah demografi pengundi Melayu yang berbeza.

Jika ia tidak diuruskan dengan baik, beberapa isu sensitif yang dibangkitkan bakal meretakkan kesejahteraan negara yang mempunyai masyarakat majmuk.

Gelombang Hijau itu akan terus kukuh selagi tiada gabungan parti politik mampu mencabar dominasi PN, khususnya menjelang enam PRN tidak lama lagi.

Walau apa pun, fenomena itu perlu diuruskan dengan cermat oleh kerajaan. Pelaburan kepada infrastruktur asas dan ekonomi di wilayah Pantai Timur dan utara akan menyumbang persekitaran baru rakyat di kedua-dua wilayah yang selama ini bergelut dengan peluang ekonomi terhad dan pendapatan rendah.

Pendekatan itu sesuai untuk mencari keseimbangan antara ekonomi dan politik agar tidak berlaku jurang begitu besar antara wilayah atau kaum.
Dari sudut politik, gabungan parti politik seperti BN perlu bangkit dalam menyusun semula jentera mereka. Penyusunan semula BN akan menjadi penentu kepada keseimbangan dominasi PAS dalam politik Melayu.

PH pula perlu keluar dari zon selesa dan bergerak serius membangunkan jenamanya di Pantai Timur dan utara. Pemimpin baru perlu dilatih dan pelaburan harus dibuat untuk kerja-kerja parti bagi mendekatkan PH dengan kawasan majoriti Melayu.

PH tidak boleh dilihat menguasai kerusi-kerusi Pantai Barat Semenanjung Malaysia saja. Untuk masa hadapan - dengan penambahan undi yang agak signifikan untuk tempoh lima tahun, khasnya pengundi Melayu - Gelombang Hijau akan mengundang risiko kepada kubu kuat PH di Selangor dan Pulau Pinang.

Soalnya, apakah kerajaan pimpinan Anwar dapat mengimbangi fenomena Gelombang Hijau dengan tindakan dasar yang adil?

Atau kita akan menyaksikan Gelombang Hijau menguasai naratif di dalam dan luar parlimen dengan isu-isu perkauman dan agama dalam tempoh lima tahun akan datang?

FAKHRURRAZI RASHID ialah penyelaras penyelidik Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Monday, September 25, 2017

Seruan untuk ahli PAS hadir ke Fastaqim 2.0

ABDUL HADI AWANG
25 SEPTEMBER 2017
FIRMAN Allah SWT:

يُرِيدُونَ لِيُطۡفِ‍ُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ الصف.

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah As-Saff: 8)

Gelombang Hijau yang dibawa oleh PAS adalah gelombang kebangkitan rakyat bersama PAS untuk kembali mempertahankan Islam dan menyelamatkan negara dengannya.

Pendekatan kita adalah menyatukan kepelbagaian kaum berkonsepkan masyarakat madani dengan menghormati hak Islam untuk diamalkan dan memberi jaminan keadilan untuk masyarakat bukan Islam serta menentang sikap chauvinis dan perkauman sempit yang diamalkan oleh parti-parti tertentu.

Maka dengan ini, saya menyeru seluruh ahli PAS di segenap peringkat dan pelosok negeri, kawasan dan cawangan untuk hadir ke Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Terengganu pada 29 hingga 30 September 2017 bagi menunaikan janji dan taat setia kepada perjuangan Islam dan keazaman untuk menyelamatkan negara tercinta ini.

Semoga segala pengorbanan untuk perjuangan Islam dan usaha bagi memastikan kemenangannya diberi ganjaran setimpal di sisi Allah SWT. Saya mendoakan para peserta selamat dalam perjalanan dan memandu berhati-hati di jalan raya dengan penuh berhemah.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 4 Muharram 1439 / 25 September 2017 

HARAKAHDAILY 
   25/9/2017

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-