Tuesday, February 28, 2023

ADUN PKR diingatkan jangan ejek wakil rakyat PN hingga hina Islam

agendaily.com
28/02/2023
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, meninjau kebakaran yang memusnahkan motosikal penduduk di di Flat Tuna, Seberang Jaya, Seberang Perai, Pulau Pinang. - Gambar FB Muhammad Fawwaz

Seorang pemimpin politik di Pulau Pinang berpendapat wakil rakyat kerajaan yang memerintah tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan Islam, dalam usahanya menyemai kebencian terhadap Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, Ibrahim Ani yang juga seorang pemerhati politik tempatan mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR itu memohon maaf atas perbuatan menyinggung dan merendah-rendahkan Islam.

Menurutnya usaha memperlekehkan Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan kini telah melampaui diri Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, yang sebelum ini bukan sahaja berusaha membantu rakyat secara zahir, malah dilakukan juga dengan berdoa kepada Allah SWT.

“Tetapi perlekehan mereka (pemimpin PKR) melampaui batang tubuh Muhammad Fawwaz di mana hingga mengheret kepada ikhtiar dan tawakal beliau kepada Allah SWT. Doanya memohon kepada Yang Maha Berkuasa, bukannya yang ada kuasa tetapi bakhil!

“Itupun diejek dan diperolok-olokkan mereka hanya kerana cuba menyemai sebar kebencian kepada dirinya. Ini sudah keterlaluan kerana perbuatan memperlekeh amalan doa sebenarnya menghina agama yang suci ini.

“Oleh itu mereka yang berkenaan mesti segera meminta maaf atas perbuatan menyinggung merendahkan Islam itu. Atau bersedia laporan kepada pihak berkuasa kerana cuba mencetuskan ketidaktenteraman awam atas sikap berbaur perkauman dan agama melampau tersebut,” katanya dalam kenyataan diterbitkan lidah rasmi PAS, Harakah, dipercayai merujuk kepada ADUN PKR Machang Bubok, Pulau Pinang, Lee Khai Loon.

Difahamkan, perkara itu tercetus setelah Lee mendakwa Fawwaz gagal menjalankan fungsinya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dalam kes kebakaran beberapa buah motosikal penduduk di Flat Tuna, Seberang Jaya.

Lee dikatakan membuat kenyataan “YB kawasan tak buat kerja ke? Sampai mantan MP Pematang Pauh Nurul Izzah Anwar kena kembali buat kerja untuk Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan” hingga mencetuskan perbalahan di laman Facebooknya.

Dalam membalas satu komen netizen, ADUN Machang Bubok itu menulis “ADUN Seberang Jaya mana free, selalu pergi main golf kat KL mana ada masa jaga rakyat, ustaz Fawwaz datang apa apa pun tak dapat bantu, ambil gambar banyak dan doa doa sahaja. Sebagai wakil rakyat kena ambil tindakan dan bukan sekadar thoughts and prayers untuk dapatkan like kat Tiktok tapi kerja tak buat”.

Kejadian motosikal terbakar itu dilaporkan berlaku 2 Februari lalu. Difahamkan, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan telah mengadakan pertemuan dengan persatuan penduduk di flat berkenaan dan menguruskan bantuan zakat yang dikatakan telah pun diluluskan.

Mengulas Bajet 2023, Ibrahim berkata pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berusia 100 hari dalam hanya lima hari sahaja lagi, namun belum terlaksana segala janji dan reformasi yang pernah diikrarkan.

Menurutnya janji-janji Anwar cukup tersohor hingga membuak harapan ramai menanti detik direalisasikan setelah beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri.

“Malangnya semua itu dimungkiri bersama formula-formula karut Si Rafizi Ramli. Begitu juga laungan keramat ‘Reformasi’ menentang kronisme dan nepotisme, akhirnya menjadi halal kepada kawan dan keluarga sendiri.

“‘Lawan Tetap Lawan’ terhadap penyamun dan perompak, kini semuanya menjadi kawan.

“Malah, Belanjawan 2023 yang ditunggu-tunggu untuk menggegar sejarah, hanya sekadar indah khabar dari rupa. Sebaliknya, pembentangan bekas ‘Menteri Kewangan Terbaik Asia’ itu dilihat bagaikan ‘copy paste’ yang ‘dulu-dulu’.

“Enak terdengar cuma kalimah ‘Madani’, ‘Rahmah’ dan perkataan-perkataan Indonesia yang dilantunkan Anwar dalam ucapannya. Beliau juga terlihat ghairah untuk ‘berceramah’, tetapi seperti berada dalam khayalan ‘syok sendiri’,” kata Ibrahim lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-