Sunday, February 19, 2023

Gabungan PH-BN ‘gembira’ di atas, ahli di bawah saling menolak

agendaily.com
19/02/2023
UMDAP - singkatan UMNO dan DAP setelah kedua-duanya bekerjasama dalam Pakatan Harapan sebagaimana disebut Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Penulis yakin ramai yang sudah mengikuti perbahasan sidang Dewan Rakyat baru-baru ini yang daripada situ kita dapat perhatikan tindak tanduk ahli-ahli Yang Berhormat (YB) – ada yang mampu berhujah dengan baik dan tidak kurang juga masih ada yang terpekik-pekik menonjolkan sikap kurang matang.

Yang menarik perhatian penulis ialah sikap YB kerajaan yang bertelagah sesama sendiri berhubung isu telur yang menunjukkan bahawa krisis yang belum selesai itu memberi tekanan kepada pemimpin kerajaan sehingga rasa tidak puas hati tidak dapat disembunyikan lagi.

Sesi perbahasan yang ‘panas’ di Dewan Rakyat itu bermula apabila Ahli Parlimen Ayer Hitam daripada Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong membidas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Presiden Amanah kerana gagal dalam menyelesaikan isu telur.

Kata Wee, langkah mengimport telur dari India dengan saiz D yang lebih kecil tapi dibenarkan menjual dengan harga melebihi 50 sen adalah diskriminasi terhadap penternak tempatan dalam negara.

Katanya, pengusaha tempatan yang mengeluarkan telur gred A, B dan C iaitu saiz lebih besar dari penternak import tidak dibenarkan menjual pada harga melebihi 50 sen.

Kenyataan Wee yang berteraskan fakta itu tidak disukai Ahli Parlimen Kampar daripada DAP, Chong Zemin yang bangkit mempertikaikan kenyataan itu kerana menghentam kerajaan dan dilakukan oleh YB kerajaan sendiri.

Selain gelagat itu, kita turut dihidangkan dengan sikap pemimpin sesama parti daripada Amanah iaitu Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan yang menghentam ‘rakannya’ Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kerana berbeza pendapat maksud kerajaan Madani.

Sany mendakwa maksud Madani yang disampaikan Dzulkefly sukar difahami dan berbelit-belit, manakala Dzulkefly berkata, Sany boleh berucap pada gilirannya berbahas maksud Madani menggunakan ‘bahasa’ yang senang pada pandangannya.

Bukan itu sahaja, apabila Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam perbahasannya menyelitkan panggilan akronim baru UMDAP untuk merujuk kerjasama UMNO dan DAP dalam kerajaan Perpaduan, ramai dalam kalangan pemimpin UMNO dan DAP berasa tidak selesa dengan gabungan nama itu.

Pemimpin kedua-dua parti berasa ‘panas’ dengan panggilan berkenaan walaupun pada hakikatnya mereka sudah bekerjasama dan sudah saling puji memuji di peringkat pemimpin atasan di pentas politik.

Sebenarnya, apa yang penulis perhatikan, hubungan terpaksa gabungan UMNO-DAP, BN-PH adalah rapuh kerana di peringkat penyokong bawahan pun, mereka masih belum dapat menerima kenyataan yang boleh bekerjasama antara satu sama lain.

Walaupun pimpinan atasan cuba untuk merasionalkan hubungan itu dengan pelbagai alasan, ia tidak dapat menidakkan prinsip penyokong bawahan bahawa prinsip kedua-dua gabungan parti adalah berbeza sama sekali.

Daripada tinjauan yang penulis lakukan, penyokong kedua-dua parti yang berseteru sebelum ini meletakkan jangkaan bahawa kerjasama mereka hanya mampu bertahan selama satu penggal sahaja.

Maksudnya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), kerjasama ‘ekspres’ kedua-dua gabungan itu tidak dapat diteruskan kerana masing-masing melihat BN membawa liabiliti kepada PH dan begitulah sebaliknya.

Cubaan penyokong masing-masing untuk berbaik juga tidak dapat diteruskan ke peringkat seterusnya kerana ada satu batu penghalang besar antara kedua-dua mereka yang tidak akan mampu dihilangkan dalam masa yang singkat.

Bahkan, untuk menjernihkan hubungan itu juga bukan mudah dan tidak akan dapat dilakukan dalam masa lima tahun ini kerana masing-masing mempunyai persepsi dan prasangka antara satu sama lain yang sudah sekian lama tertanam dalam jiwa dan minda.

Mohd Azam Mohd Atan
Penganalisis politik dan ekonomi

Artikel ini pertama kali disiarkan dalam Warta Rakyat. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-