Showing posts with label UMDAP. Show all posts
Showing posts with label UMDAP. Show all posts

Saturday, May 27, 2023

PRN: Rakyat perlu tolak UMDAP yang mahu selamatkan pemimpin ada kes mahkamah

agendaily.com
27/05/2023
PH dan UMNO bekerjasama dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi perlu dijadikan manifestasi untuk pengundi menolak pemimpin UMNO-DAP yang mahu menyelamatkan diri daripada kes mahkamah mereka sedang hadapi.

Pemimpin tertinggi UMDAP yang sedang berdepan kes mahkamah dilihat seakan sedang berusaha untuk membuang kes rasuah dihadapi mereka, ia terbukti dengan permohonan yang dibuat oleh dua pemimpin mereka baru-baru ini.

Kedua-dua pemimpin tertinggi UMDAP itu membuat permohonan untuk membuang kes rasuah yang sedang dihadapi mereka di mahkamah walaupun sudah berjalan hampir ke penghujung.

Terbaharu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng membuat permohonan membatalkan pertuduhan kes rasuah serta pengubahan wang haram terhadapnya, isteri, Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Peguamnya, RSN Rayer berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di Georgetown.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi (YAB) yang dihadapinya.

Kedua-dua mereka ini sudah menjalani perbicaraan sejak beberapa tahun dan sehingga hari ini belum ada keputusan dimuktamadkan oleh pihak mahkamah.

Langkah kedua-dua pemimpin UMDAP boleh dipertikaikan kerana bukankah sepatutnya mereka menunggu sehingga keputusan dibuat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang permohonan untuk membuang kes dihadapi mereka.

Berbeza dengan kes dihadapi pemimpin Perikatan Nasional (PN), setakat ini perbicaraan masih tidak bermula dan baharu dihadapkan ke mahkamah namun kerajaan dilihat seakan mahu menjadikan ia sebagai modal politik menjelang PRN di enam negeri nanti.

Untuk rekod, kes rasuah dan pengubahan wang haram Guan Eng dan isterinya sudah dibicarakan sejak 2020 yang lalu, sementara kes Zahid sudah dibicarakan sejak 2019.

Pemerhati politik melihat PRN bakal menjadi kayu pengukur kepada kerajaan campuran yang terdapat di dalamnya pemimpin tertinggi berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah tetapi masih diberikan jawatan dalam Kabinet.

Sekiranya rakyat menolak gabungan UMDAP, ia boleh dijadikan satu manifestasi dan mesej yang jelas kepada kerajaan campuran dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat tidak cakap serupa bikin.

Perdana Menteri (PMX) setiap kali dalam ucapannya bercakap mengenai soal melawan rasuah dan integriti tetapi pada masa sama masih melantik pemimpin UMNO yang terpalit kes mahkamah dalam barisan Kabinetnya.

Retorik kononnya melawan rasuah dan korupsi hanya meniti di bibir pemimpin kerajaan campuran tetapi tindakan pula berlainan yang dibuat apabila seakan tidak mempunyai prinsip lagi.

Lebih memburukkan lagi keadaan, situasi ekonomi dan kos sara hidup yang meningkat tidak ditangani dengan baik kerajaan campuran, malah tekanan diberikan kepada penyokong pembangkang dengan pelbagai tindakan undang-undang menggunakan agensi pihak berkuasa.

Kebelakangan ini, media melaporkan banyak kes tangkapan yang dibuat terhadap aktivis pembangkang kerana lantang mengkritik dalam media sosial.

Mengambil kira senario politik semasa, rasa tidak puas hati dan kemarahan rakyat akan diterjemahkan semasa PRN nanti dan terpulang kepada mereka untuk sama ada mahu melihat pemimpin gila kuasa dan korup terus menerajui kerajaan ataupun membuat perubahan demi masa depan negara yang lebih baik.

Kronologi kes Guan Eng:

Pada 11 Ogos 2020, Guan Eng didakwa atas kapasitinya sebagai ketua menteri ketika itu dan pengerusi Lembaga Perolehan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan membabitkan RM372,009 untuk isterinya melalui syarikat, Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Pertuduhan mendakwa ini bertujuan memastikan Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan jemputan untuk mencadangkan petempatan pekerja – di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah, dan sebahagian daripada Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang yang bernilai RM11,610,000.

Ahli Parlimen DAP itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat ketua menteri, Aras 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kronologi kes Zahid:

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018, serta 20 Februari 2019, Zahid, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seysen di sini terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 66, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi lapan tuduhan rasuah, Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat, iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya seorang pegawai badan awam, iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian KDN.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama, iaitu boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sunday, February 19, 2023

Gabungan PH-BN ‘gembira’ di atas, ahli di bawah saling menolak

agendaily.com
19/02/2023
UMDAP - singkatan UMNO dan DAP setelah kedua-duanya bekerjasama dalam Pakatan Harapan sebagaimana disebut Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Penulis yakin ramai yang sudah mengikuti perbahasan sidang Dewan Rakyat baru-baru ini yang daripada situ kita dapat perhatikan tindak tanduk ahli-ahli Yang Berhormat (YB) – ada yang mampu berhujah dengan baik dan tidak kurang juga masih ada yang terpekik-pekik menonjolkan sikap kurang matang.

Yang menarik perhatian penulis ialah sikap YB kerajaan yang bertelagah sesama sendiri berhubung isu telur yang menunjukkan bahawa krisis yang belum selesai itu memberi tekanan kepada pemimpin kerajaan sehingga rasa tidak puas hati tidak dapat disembunyikan lagi.

Sesi perbahasan yang ‘panas’ di Dewan Rakyat itu bermula apabila Ahli Parlimen Ayer Hitam daripada Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong membidas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Presiden Amanah kerana gagal dalam menyelesaikan isu telur.

Kata Wee, langkah mengimport telur dari India dengan saiz D yang lebih kecil tapi dibenarkan menjual dengan harga melebihi 50 sen adalah diskriminasi terhadap penternak tempatan dalam negara.

Katanya, pengusaha tempatan yang mengeluarkan telur gred A, B dan C iaitu saiz lebih besar dari penternak import tidak dibenarkan menjual pada harga melebihi 50 sen.

Kenyataan Wee yang berteraskan fakta itu tidak disukai Ahli Parlimen Kampar daripada DAP, Chong Zemin yang bangkit mempertikaikan kenyataan itu kerana menghentam kerajaan dan dilakukan oleh YB kerajaan sendiri.

Selain gelagat itu, kita turut dihidangkan dengan sikap pemimpin sesama parti daripada Amanah iaitu Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan yang menghentam ‘rakannya’ Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kerana berbeza pendapat maksud kerajaan Madani.

Sany mendakwa maksud Madani yang disampaikan Dzulkefly sukar difahami dan berbelit-belit, manakala Dzulkefly berkata, Sany boleh berucap pada gilirannya berbahas maksud Madani menggunakan ‘bahasa’ yang senang pada pandangannya.

Bukan itu sahaja, apabila Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam perbahasannya menyelitkan panggilan akronim baru UMDAP untuk merujuk kerjasama UMNO dan DAP dalam kerajaan Perpaduan, ramai dalam kalangan pemimpin UMNO dan DAP berasa tidak selesa dengan gabungan nama itu.

Pemimpin kedua-dua parti berasa ‘panas’ dengan panggilan berkenaan walaupun pada hakikatnya mereka sudah bekerjasama dan sudah saling puji memuji di peringkat pemimpin atasan di pentas politik.

Sebenarnya, apa yang penulis perhatikan, hubungan terpaksa gabungan UMNO-DAP, BN-PH adalah rapuh kerana di peringkat penyokong bawahan pun, mereka masih belum dapat menerima kenyataan yang boleh bekerjasama antara satu sama lain.

Walaupun pimpinan atasan cuba untuk merasionalkan hubungan itu dengan pelbagai alasan, ia tidak dapat menidakkan prinsip penyokong bawahan bahawa prinsip kedua-dua gabungan parti adalah berbeza sama sekali.

Daripada tinjauan yang penulis lakukan, penyokong kedua-dua parti yang berseteru sebelum ini meletakkan jangkaan bahawa kerjasama mereka hanya mampu bertahan selama satu penggal sahaja.

Maksudnya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), kerjasama ‘ekspres’ kedua-dua gabungan itu tidak dapat diteruskan kerana masing-masing melihat BN membawa liabiliti kepada PH dan begitulah sebaliknya.

Cubaan penyokong masing-masing untuk berbaik juga tidak dapat diteruskan ke peringkat seterusnya kerana ada satu batu penghalang besar antara kedua-dua mereka yang tidak akan mampu dihilangkan dalam masa yang singkat.

Bahkan, untuk menjernihkan hubungan itu juga bukan mudah dan tidak akan dapat dilakukan dalam masa lima tahun ini kerana masing-masing mempunyai persepsi dan prasangka antara satu sama lain yang sudah sekian lama tertanam dalam jiwa dan minda.

Mohd Azam Mohd Atan
Penganalisis politik dan ekonomi

Artikel ini pertama kali disiarkan dalam Warta Rakyat. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-